CLOSE
CLOSE

Nak Makan Kat Mana? Ini 5 Jawapan Terbaik Untuk Anda

Destinasi makanan unik dan menarik ini pastinya memberi pengalaman berbeza pada pengunjung.


  • Share:

Nak Makan Kat Mana? Ini 5 Jawapan Terbaik Untuk Anda
Jika mahukan suasana yang berbeza untuk menjamu selera apa kata anda singgah ke The Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh, Perak. (Gambar: The Banjaran Hotsprings Retreat - Facebook)
Tidak kira sama ada anda seorang pelajar ataupun sudah bekerja, bujang mahupun berkeluarga, salah satu soalan yang paling sukar untuk dijawab di dalam kehidupan ini adalah: “nak makan dekat mana hari ini?”

Tidak boleh dinafikan bahawa rakyat negara ini sememangnya gemar makan. Malah, menurut kajian perubatan British, The Lancet pada tahun 2013 mendapati Malaysia mempunyai kadar obesiti paling tinggi di Asia dengan 44 peratus lelaki dan wanita sebanyak 49 peratus.

Walaupun keputusan kajian itu mengingatkan kita terhadap aspek menjaga pemakanan, tiada salahnya jika sekali-sekala kita menikmati hidangan makanan yang menyelerakan di luar rumah.

Di antara faktor yang mampu membangkitkan lagi selera dan pengalaman makan di luar rumah adalah suasana tempat makan yang menjadi pilihan.

Sebagai panduan kepada pembaca, Rojak Daily Skop! paparkan lima tempat makan di negara ini yang menyediakan suasana destinasi menjamu selera yang cukup unik dan sukar untuk dilupakan.

1. TUMPUAN TIDAK BERBELAH BAGI

Di sini pengunjung akan menikmati makan dalam suasana gelap.


Pasti ada yang rasa menyampah dengan gelagat rakan, pasangan atau ahli keluarga yang tidak mampu berenggang dengan telefon pintar ketika keluar makan. Senario tersebut dapat dielakkan sekiranya anda memilih untuk makan di Dining In The Dark Kuala Lumpur.

Restoran yang terletak di kawasan Changkat, Bukit Bintang ini memerlukan anda untuk menikmati sajian 4 kelompok hidangan di dalam keadaan serba kegelapan!

Ya, di sini anda akan diminta untuk meninggalkan telefon bimbit dan jam tangan anda di dalam peti khas sebelum masuk ke kawasan makanan tertutup tanpa sebarang lampu atau cahaya.

Mengikut teori di sebalik suasana ini, tanpa kemampuan melihat makanan, deria rasa dan bau anda akan meningkat dan seterusnya pengalaman menikmati makanan tersebut juga akan bertambah tinggi.

Malah, anda juga bebas dari sebarang ganguan lain seperti telefon bimbit dan dapat memberi tumpuan penuh kepada sajian yang dihidangkan bersama teman yang hadir bersama anda.

Lebih menarik lagi, sajian anda akan dihidangan oleh pekerja yang buta penglihatan! Sudah pasti selepas anda berada di sini anda akan lebih memahami dan menghargai apa yang mereka perlu lalui setiap hari.

2. EH, TAK GAYAT KE MAKAN KAT SINI?

Pengguna media sosial pasti pernah melihat dan tahu serba sedikit mengenai Dinner In The Sky, bukan? Kini pengalaman luar biasa menikmati hidangan pada ketinggian 40 hingga 50 meter di udara pada tahun ini akan diadakan di Bukit Bintang.

Anda bukan sahaja dapat menikmati pemandangan cantik sekitar bandar raya Kuala Lumpur dari udara tetapi juga akan disajiankan dengan 3 jenis hidangan istimewa yang disediakan oleh Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur.

Anda digalakkan untuk membuat tempahan awal ke sini kerana satu sesi hanya akan membawa maksima 22 pelanggan untuk ‘terapung’ di udara.

Di antara syarat yang ditetapkan adalah pelanggan perlu berumur 13 tahun ke atas, mempunyai ketinggian minima 145 cm, berat maksima 150 kilogram dan berada di dalam keadaan kesihatan yang baik.

Sebagai peringatan, anda juga digalakkan untuk membuang air terlebih dahulu sebelum ‘naik ke udara’ supaya tidak menggangu pelanggan lain kerana mereka juga terpaksa turun dan menunggu anda sekiranya anda perlu ke bilik air!

3. TERASA MACAM DALAM ESKIMO PUN ADA

Pengunjung pasti teruja apabila makan dalam rumah iglo seperti berada di Kutub Utara.


Pernahkah anda terimpikan untuk bermain di dalam iglu seperti di Kutub Utara? Mungkin juga anda mempunyai anak atau adik kecil yang meminati kuasa hebat sepertimana dimiliki watak Elsa dalam filem animasi Frozen?

Kini, pengalaman sebegitu mampu anda perolehi sekiranya anda berkunjung ke Ice Café yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang.

Kafe yang dibuka pada setiap hari dari 10.30 pagi hingga 10.30 malam itu terbahagai kepada tiga zon interaktif. Di sini, pengunjung boleh menikmati suasana sejuk tanpa perlu memakai suit tebal selain dapat bermain di dalam kafe sepuas-puasnya.

Terdapat pelbagai juadah enak yang disediakan buat pelanggan dan harga yang ditawarkan juga cukup berpatutan dari RM15 hingga RM36.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Ice Café ini, ikuti kisah penulis Rojak Daily Skop! yang ke sana baru-baru ini.

4. WAH, CANTIK BETUL TEMPAT NI!

Memang unik apabila menjamu selera dalam gua.


Sekiranya anda ingin bercuti ke sebuah pusat peranginan air panas, apa kata anda melawat The Banjaran Hotspring Retreat yang terletak di Ipoh, Perak.

Selain daripada menyediakan kawasan istirehat yang jauh dari kesibukan dan hiruk piruk kotaraya, di sini juga terletakkan keindahan semula jadi bumi Malaysia terutamanya gua batu kapur.

Bagi mereka yang mahukan tempat makan dengan suasana dan pemandangan yang begitu mengujakan, anda bolehlah ke Jeff’s Cellar yang terletak di dalam gua batu kapur semula jadi di sini.

Keadaannya yang sungguh indah dan romantik pasti menjadikannya tempat yang amat sesuai untuk meraikan orang tersayang.

Walaupun Jeff’s Cellar merupakan sebuah bar wain, anda tidak perlu risau tentang status halal makanannya.

Menurut seorang jurucakap pusat tersebut, makanan yang disediakan di sana tidak mengandungi sebarang alcohol mahupun daging khinzir.

5. INI BARU SUASANA KAMPUNG SEBENAR

Pulau Langkawi sememangnya dikenali sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama di negara ini. Hanya tujuh minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,terdapat sebuah restoran yang mempunyai suasana yang cukup menarik.

Dikenali dengan nama Pia’s The Paddy, restoran ini dikelilingi dengan kehijauan sawah padi yang cukup indah. Rata-rata pengunjung ke sini bukan sahaja memuji suasana tetapi keenakan masakan yang di sediakan.

Malah, daripada markah maksima lima yang diperuntukkan oleh laman sesawang pelancongan terkenal TripAdvisor, Pia’s The Paddy memperoleh sebanyak 4.5 markah!

“Ramai yang mengesyorkan saya mencuba rendang daging di sana dan kebetulan memang saya tengah mengidamkan rendang daging. Saya dan pasangan pun pergi ke sana untuk mencubanya. ianya sememangnya menakjubkan!,” komen seorang pengguna dalam laman sesawang tersebut.
 
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top