Rojak Daily Logo

Setiap Pendaki Wajib Tawan 7 Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia

0
comments
Setiap Pendaki Wajib Tawan 7 Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia
Ekspedisi G7

Rata-rata ramai yang menjadikan hiking sebagai hobi bagi mengisi masa lapang. Ada pula yang menjadikan hiking sebagai trend dan mendaki ternyata memberikan banyak kebaikan. Bagi penggemar hiking, G7 (Gunung 7) semestinya perlu ada dalam senarai wajib panjat kerana ia sangat mencabar mental dan fizikal. G7 adalah tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang merentasi Banjaran Titiwangsa. G7 terdiri daripada Gunung Tahan (2,190m), Gunung Chamah (2,171m), Gunung Ulu Sepat (2,158m), Gunung Yong Yap (2,168m), Gunung Korbu (2,183m), Gunung Gayong (2,173m) dan Gunung Yong Belar (2,181m).


Bagi Muhammad Syamil Ng, 24, pendakian dia dan 10 lagi temannya ke G7 adalah suatu pengalaman yang amat mencabar namun berharga. Menceritakan permulaannya mendaki, minat untuk mendaki timbul selepas dia kehilangan ayahnya. Dengan keadaan emosi yang tidak menentu, teman-teman mengajak dia ke Bukit Tabur di Taman Melawati kerana kebetulan bukit tersebut sedang menjadi perhatian ramai. Menurut Syamil, “Permandangan di atas tersangatlah cantik, tenang dan dari situlah lama-lama timbul minat untuk mendaki. Saya lebih enjoy perjalanan mendaki daripada nak sampai ke puncak.”


Gambar: vesparunner.blogspot.com

Minat mendaki dia tidak hanya terbatas di sekitar bukit-bukit di Lembah Klang sahaja. Inilah yang membawa Syamil dan teman-teman rapat ketika di sekolah dan di universiti untuk kembali berkumpul, membentuk kumpulan mendaki tersendiri dan mengharungi pendakian paling mencabar. Syamil dan 10 lagi temannya, Wan Ahmad Rushdi, Wan Reza, Shahmi Azri, Reza Rashid, Ameer Nazmi, Mohd Hafidz, Juan, Razak, Syaza dan Sufyan berdepan dengan pengalaman yang paling mencabar ketika ekspedisi pendakian G7 baru-baru ini. Memilih Trans Titiwangsa V1 yang merupakan tiga gunung sekaligus, pendakian kali ni tak seperti gunung-gunung lain sebab ia perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa yang merupakan tulang belakang Semenanjung Malaysia. Pendakian mereka selama tujuh hari ini digelar V1 ataupun Version 1 kerana ia merangkumi pendakian ke Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar sebagai gunung utama G7. Ia bermula di Cameron Highlands, Pahang dan berakhir di Ulu Kinta, Perak.


“Bermula jam 7 pagi, pendakian kami disambut dengan hujan lebat sebab masa tu baru start monsoon. Bila mula, kami kena panjat 387 anak tangga dan kemudiannya perlu berjalan di atas getah paip yang diameternya hanya sebesar botol air mineral. Hujan mencurah-curah dan ada bahagian paip yang ditenggelami air banjir jadi kami kena redah. Kemudian kami perlu merentasi sungai tetapi ada pokok tumbang jadi kami perlu panjat dan berjalan atas pokok tu. Air sungai terlalu deras dicampur air hujan dan air lumpur, agak mengerikan,” cerita Syamil.

Mereka bersebelas ditemani seorang pemandu arah bernama Bob dan masing-masing membawa beg hampir seberat 16kg setiap satu. Walaupun pendakian V1 ini selalunya mengambil masa enam ke tujuh hari, tetapi mereka bertekad untuk memendekkan pendakian ini kepada empat hari jadi setiap hari, mereka perlu berjalan selama 12 ke 13 jam untuk cukupkan ekspedisi selama empat hari.

  

Tambah Syamil, “Sepanjang pendakian kami, hujan tak berhenti langsung. Jadi kami terpaksa berjalan dengan lumpur dan kadang-kala terpaksa berjalan mengharungi lumpur yang separas lutut. Hari pertama kami tiba di puncak Gunung Yong Belar jam 9 malam, kami nak dirikan khemah tapi tanah semua berlumpur basah. Jadi dalam keadaan mengigil tu terpaksalah dirikan jugak sebab kami semua dah terlalu sejuk, lapar dan penat. Bayangkan bila masuk khemah, air lumpur turut meresap masuk dalam khemah jadi semua dah macam dalam kolam lumpur. Sengsaranya Tuhan je yang tahu.”

“Esok pagi, kami semua macam down dan nak give up tapi tetap kena teruskan pendakian. Lima pagi kami bergerak ke Puncak Gayong, masih hujan, jalan trekking berlumpur dan kami berjalan dalam 12 ke 13 jam dan sampai ke puncak jam 9 malam. Keadaan sama bila kami tiba di puncak, nak dirikan khemah untuk tidur. Makanan yang kami bawa macam mee segera dan biskut habis rosak dan lembab.” 

 

“Esoknya jam 5 pagi kami bergerak ke puncak Korbu pula. Bila sampai je kat puncak, masing-masing dahpenat gila jadi kami tak celebrate pun. Malam kami tidur di puncak Korbu, hati girang fikirkan esok dah boleh balik sebab untuk balik, ada satu jalan turun yang cepat dan hanya ambil masa lapan ke sembilan jam je. Tapi Bob pulak sampaikan berita buruk iaitu ada tanah runtuh kat laluan pendek tu jadi kami terpaksa guna jalan yang sama masa naik untuk turun ke bawah. Dan pada waktu tu juga, mungkin semua penat dan emosi tak stabil, ada yang bergaduh dan tak dapat capai kata sepakat. Bergaduh suruh call helikopter padahal semua phone dah habis bateri.”

“Tapi akhirnya kami terpaksa bersetuju untuk turun jalan yang sama kami naik dan pelbagai dugaan pula menimpa. Salah seorang daripada kami iaitu Sufyan terjatuh dalam arus sungai deras dan lemas tetapi sempat berpaut pada dahan kayu. Kami juga terjumpa ular sawa besar gila sedang rehat dan perjalanan terpaksa dipanjangkan ke 20 jam sebab nak sampai bawah cepat. Kaki luka dan melecet tak payah cakap, sejuk menggeletar, penat dan akhirnya alhamdulillah, kami semua berjaya sampai ke bawah.”

 

Untuk menjadikan hiking sebagai hobi, pelbagai perkara penting harus diutamakan. Bagi Syamil dan bagi orang yang mahu mula mendaki, pastikan keselamatan diutamakan. “Selain itu, bawa air minum yang cukup terutamanya jika anda dalam ekspidisi mendaki. Kalau boleh, pergilah dengan orang yang berpengalaman. Maksudnya jika anda baru mahu cuba mendaki, pastikan dalam kumpulan anda itu ada orang yang berpengalaman mendaki. Sepanjang pendakian pula, jangan buang sampah merata-rata dan pastikan bawa balik sampah anda. Paling penting sekali, have fun!” jelas Syamil lagi.


Mendaki merupakan aktiviti luar yang sangat bagus dan setiap daripada anda patut cuba mendaki walau sekali dalam hidup. Menceritakan gunung-gunung yang telah ditawan, Syamil telah mendaki banyak gunung dan sudah semestinya menyimpan impian untuk memanjat Gunung Everest suatu hari nanti. 

 
 
Comments