CLOSE
CLOSE

Jangan Ketawa, Lagi Dua Tahun Kita Boleh Tengok 'Kereta' Terbang!

Syarikat perkhidmatan pengangkutan terkenal, Uber memperkenalkan projek Elevate.


  • Share:

Jangan Ketawa, Lagi Dua Tahun Kita Boleh Tengok 'Kereta' Terbang!
Satu persidangan khas bagi kenderaan masa hadapan dikenali sebagai 'Elevate Summit' akan dianjurkan Uber di Los Angelas, Amerika Syarikat pada Mei ini. (Gambar: Uber)
Pernahkah anda menonton filem Back to the Future Part II yang dibarisi pelakon terkenal seperti Michael J. Fox, Chistopher Lloyd, Lea Thompson dan Thomas F. Wilson?

Filem Hollywood yang dikeluarkan pada tahun 1989 itu cukup terkenal dengan jalan ceritanya yang berkisar pengembaraan masa. Dua watak utamanya iaitu Marty McFly (lakonan Fox) dan Doc Brown (Lloyd) masuk ke mesin masa yang dibina menggunakan sebuah kereta DeLorean untuk mengembara dari tahun 1985 ke 2015.

Rata-rata peminat filem cukup seronok melihat 'gambaran masa hadapan' mengikut perspektif manusia pada tahun 1985. Antara ramalan masa hadapan filem itu yang menjadi cukup ikonik adalah teknologi hoverboard (papan luncur terapung) dan juga kereta terbang.

Walaupun tahun 2015 sudah berlalu, masih banyak ramalan yang dibuat filem itu yang belum menjadi kenyataan.

Namun, mungkin juga ramalan mereka cuma tersasar beberapa tahun sahaja kerana sebuah syarikat gergasi dunia mempunyai perancang yang besar menjelang tahun 2020.

SELAMAT DATANG KE MASA HADAPAN

Masyarakat secara umumnya mengenali syarikat Uber sebagai sebuah perkhidmatan pengangkutan. Inovasi yang dihasilkan dalam industri tersebut seterusnya diperkembangkan untuk merangkumi beberapa perkhidmatan lain seperti penghantaran makanan.

Walaupun telah mengalami beberapa masalah berkaitan pengurusan sejak kebelakangan ini, syarikat yang beroperasi di lebih 633 bandar di seluruh dunia itu telah menjana pendapatan sebanyak AS$6.5 bilion (RM25.41 bilion) pada tahun 2016.

Pada November lalu, Ketua Bahagian Produk Uber Jeff Holden mengumumkan projek 'kereta' terbang yang dikenali sebagai 'Elevate'.

Sebuah persidangan khas bagi kenderaan masa hadapan yang dikenali sebagai 'Elevate Summit' juga akan dianjurkan oleh syarikat tersebut pada Mei ini di Los Angelas, Amerika Syarikat. Mereka dijangkakan akan memperincikan projek Elevate ini dengan lebih mendalam semasa persidangan tersebut.

Uber mahu melancarkan perkhidmatan ujian bagi Elevate menjelang tahun 2020. Perkhidmatan ini membolehkan pengguna menempah sebuah 'kereta terbang' melalui aplikasi Uber di telefon pintar mereka bagi tujuan perjalanan.

Setakat ini tiga bandar sudah diumumkan bagi tujuan perkhidmatan ujian pada tahun tersebut iaitu Los Angelas dan Dallas-Fort Worth di Amerika Syarikat serta Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Holden juga mengatakan bahawa Uber telahpun menandatangani Penjanjian Akta Angkasa Lepas dengan pihak Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA). Melalui perjanjian ini, mereka boleh menghasilkan sistem kawalan udara yang baru bagi mengawal kenderaan penerbangan rendah tersebut.

Walaupun ramai mengatakan lakaran kereta terbang tersebut kelihatan seperti sebuah helikopter moden, pihak Uber mengatakan bahawa kenderaan mereka adalah lebih senyap, efisen, murah, mesra alam dan bakal menggunakan teknologi pemanduan sendiri.

Kenderaan tersebut juga adalah lebih selamat kerana tidak bergantung kepada mana-mana bahagian khusus kenderaan untuk kekal terapung di udara.

“Kelebihan terbesar (perkhidmatan ini) adalah penjimatan masa. Perjalanan yang mengambil masa berjam-jam di darat hanya akan mengambil masa beberapa minit sahaja di udara,” jelasnya.

REALISTIK KE PROJEK NI?


Walaupun projek Elevate ini kedengaran indah, terdapat juga keraguan sama ada ianya berbaloi dari sudut kewangan atau adakah penumpang berani menaiki penerbangan dengan teknologi pemanduan sendiri?

Di antara mereka yang menimbulkan keraguan ini termasuklah individu yang cukup sinonim dengan inovasi teknologi iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, SpaceX dan Tesla, Inc., Elon Musk.

“Sememangnya agak ketara bahawa saya suka benda yang mampu terbang tetapi agak sukar untuk membayangkan kereta terbang adalah penyelesaian yang mampu berkembang pesat,” katanya kepada agensi berita Bloomberg.

Beliau turut menyatakan kebimbangan seandainya penutup 'sport' rim jatuh dari langit dan akhirnya membunuh seseorang!

Holden bagaimanapun mengatakan pihak Uber sudahpun membuat kajian yang mendalam dan percaya servis ini sememangnya mampu berkembang pesat.

“Kami sudah pun melakukan segala kerja keras dan mampu membina banyak 'skyport' (stesen di mana pelanggan menaiki kereta terbang). Kami mampu beroperasi dengan berpuluh ribu penerbangan setiap hari bagi setiap bandar,” ujarnya.

Sebenarnya, Uber tidak keseorangan dalam membangunkan teknologi kereta terbang. Sekurang-kurangnya 19 syarikat lain juga sedang membuat perancangan yang sama.

Ini termasuk syarikat penerbangan gergasi Boieng dengan projek “Aurora Flight Sciences”, syarikat penerbangan gergasi Eropah, Airbus dengan projek “Vahana”, dan sebuah syarikat baru milik pengasas Google, Larry Page yang dikenali sebagai Kitty Hawk.

 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top