CLOSE
CLOSE

5 Premis Kontena 'Insta Worthy' Patut Anda Kunjungi

Lokasi cantik dan unik menjadi pilihan pengunjung yang gemar memuat naik gambar ke media sosial.


  • Share:

5 Premis Kontena 'Insta Worthy' Patut Anda Kunjungi
Hotel istimewa untuk haiwan peliharaan iaitu Cocomomo Pets Hotel di Ardence Labs, Setia Alam, Shah Alam, Selangor antara lokasi cantik untuk dimuat naik ke media sosial.(Gambar: Ardence Labs at Klang Valley - Facebook)
“Facebook adalah media sosial untuk golongan tua,” begitulah ungkapan yang boleh kita dengar daripada golongan muda masa kini. Walaupun kenyataan sebegitu sukar diterima buat segelintir, tanggapan sedemikian terbukti mempunyai kebenarannya.

Merujuk pada banyak kajian pemasaran yang dilakukan sebelum ini menunjukkan semakin ramai golongan milenia meninggalkan media sosial yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg.

Meskipun, Facebook telah mengemaskini beberapa fungsi supaya selari dengan pesaingnya, golongan muda kini lebih tertarik dengan platform yang berasaskan gambar dan video seperti aplikasi Instagram.

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), seramai 56.1 peratus daripada pengguna Internet di Malaysia menggunakan aplikasi Instagram pada tahun 2017.

Memandangkan 76.9 peratus penduduk negara ini menggunakan Internet, dianggarkan pengguna aplikasi tersebut pada tahun lepas adalah 13.74 juta orang.

Lebih mengujakan lagi, angka ini adalah peningkatan yang besar berbanding dengan jumlah 46.7 peratus daripada pengguna Internet pada tahun 2016.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh perunding penyelidikan Kantar TNS pada tahun tersebut menunjukkan rakyat negara ini merupakan pengguna Instagram yang paling aktif di rantau Asia Pasifik.

SUASANA IKUT 'INSTA WORTHY'

Mengikut kenyataan daripada Kantar TNS, perkembangan teknologi dan kamera telefon pintar yang semakin canggih menjadi faktor penyumbang kepada populariti aplikasi Instagram kerana pengguna boleh mengambil dan berkongsi gambar dan video secara serta-merta.

Memandangkan aplikasi ini lebih tertumpu kepada gambar dan video, maka wujud istilah 'Insta Worthy' merujuk kepada kawasan atau pemandangan yang amat sesuai untuk dimuat naik dan dikongsikan di Instagram.

Menariknya, semakin ramai pengusaha perniagaan berusaha memastikan suasana dan hiasan premis mereka memenuhi kriteria 'Insta Worthy' tersebut.

Buat orang ramai yang tercari-cari lokasi unik untuk memuat naik gambar mereka di Instagram, Rojak Daily Skop! menyenaraikan beberapa premis berasaskan kontena yang menarik perhatian ramai pengunjung.

1. ARDENCE LABS

Ia suatu yang unik apabila kontena dijadikan sebuah kafe.

Di sebalik kepesatan pembangunan di Setia Alam, Shah Alam, wujud kawasan baru dikenali Eco Ardence. Di sini, anda boleh mengunjungi Ardence Labs iaitu sebuah hab perniagaan seluas 27 ekar yang menggunakan kontena yang diubah suai menjadi premis perniagaan.

Di antara penyewa di kawasan berhadapan tasik ini adalah Jaya Grocer (kedai runcit), hotel istimewa untuk haiwan peliharaan iaitu Cocomomo Pets Hotel, Ardence Arena (akedemi bola sepak) dan pusat pendidikan perkebunan mikro, Plant Catridge.

Tidak terkecuali, i1 Fitness (gimnasium), Famous Kleener (dobi), Health Lane, Master Clean (pusat cucian kasut dan kulit), Ballon Lab (dekorasi parti) dan juga kedai basikal, Cykel & Cyclist.

Bagi premis makanan dan minuman, anda boleh temui Llao Llao, Tealive, Gindako, Croissant Taiyaki, Big Blind, Hinata Café, Let’s Joy Café, Haraju Cube, Aroi Mak Mak, Laughing Monkey, U-Mai, Bamboo Biryani, Ottimo Dessert, Mich’sology, Chaiwalla & Co., Piacevole Patisseries & Bistro, Kebab Bowl dan U Bistro.

2. UPTOWN KONTENA

Kontena juga digunakan sebagai kedai menjual pakaian.


Seandainya, Ardence Labs merupakan kawasan perniagaan urban berasaskan kontena yang terletak di kawasan bandar, Uptown Kontena pula adalah tapak bazaar niaga di pesisiran pantai Kuala Terengganu.

Terletak di Pantai Tok Jembal di Gong Badak, Uptown Kontena bukan sahaja menyediakan pelbagai perniagaan makanan tetapi juga bisnes pakaian, keperluan harian, barangan rumah, gajet dan lain-lain lagi.

Pihak pengurusan juga membuka peluang kepada ahli muzik, pelukis, pemain api atau ular, ahli silap mata, ahli seni belon dan sesiapa sahaja yang berbakat dijemput membuat persembahan di situ. Mereka berharap kawasan ini akan menjadi 'incubator' keusahawanan bagi Terengganu.

3. FARMVILLE CAFÉ & HOMESTAY

Pengunjung yang mahukan kelainan boleh menginap di FarmVille Café & Homestay, Sekinchan, Selangor.


Di antara kawasan yang semakin meningkat dari sudut populariti di Instagram adalah keindahan sawah padi yang terletak di Sekinchan, Selangor. Jarak lebih kurang 90 kilometer saja dari hiruk piruk Kuala Lumpur, semakin ramai warga kota sebenarnya yang menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi persinggahan.

Bagi mereka yang ingin tinggal lebih lama di kawasan ini, anda boleh mengunjungi hotel yang berasaskan kontena iaitu FarmVille Café & Homestay. Selain daripada reka bentuknya yang cantik dan unik, ia juga dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, trampolin, kawasan permainan golf mini dan sewaan basikal.

4. CONTAINER HOTEL KUALA LUMPUR

Cukup mempersonakan apabila menginap di Hotel Container.

Bertempat di Jalan Delima, Kuala Lumpr, hotel unik ini telah mendapat inspirasi dari konsep Jepun 'Kyosho Jutaku' iaitu tempat tinggal yang kecil tetapi bergaya.

Mula beroperasi pada tahun 2013, ia menawarkan pelbagai jenis bilik untuk didiami seperti bilik kontena deluxe dan suite, bilik konkrit berbentuk tong dan juga bilik berkonsepkan perkhemahan.

Mereka kini telah membuka cawangan Container Hotel di Pulau Pinang, Ipoh dan hotel dengan bilik lebih kecil iaitu Capsule by Container Hotel di Gateway KLIA2.

5. LE GARDENZ CAFÉ

Replika bas bertingkat London antara tarikan pada pengunjung jika ke Le Gardenz Café, Seri Kembangan, Selangor.


Kafe bertempat di Kawasan Perindustrian Balakong, Seri Kembangan, Selangor ini mula beroperasi pada Oktober 2014.

Dibina menggunakan beberapa kontena yang digabungkan menjadi bangunan yang unik, mereka menawarkan set makanan seperti sarapan, sajian barat dan juga pencuci mulut.

Bagi pengguna aktif Instagram, anda pasti akan terjumpa pelbagai sudut menarik di sini untuk dikongsikan kerana bukan sahaja suasana luaran menarik tetapi juga rekaan dalamannya.

Antara yang memikat pada bahagian dalaman Le Gardenz Café ini adalah replika bas bertingkat London,  penjara Teddy Bear dan pelbagai sudut hidangan.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top