Pengalaman Jadi VIP Tonton Real Madrid, Remaja Ini Kongsi 'Tips' Menang Peraduan

Peminat tegar bola sepak ini seolah bawa tuah pada Real Madrid 'kenduri' gol ke atas Deportivo La Coruna baru-baru ini.


  • Share:

Pengalaman Jadi VIP Tonton Real Madrid, Remaja Ini Kongsi 'Tips' Menang Peraduan
Rezeki buat Wan Abdul Hadi apabila menang peraduan tiket VIP menyaksikan perlawanan bola sepak antarabangsa, Real Madrid menentang Deportivo La Coruna anjuran Astro bersama beIN Sports menerusi Astro Circle. (Gambar: Wan Abdul Hadi)
“Seronok ke tengok bola dekat stadium? Bukan ke tengok dekat TV lagi menarik? Boleh zum ke jarak yang lebih dekat, boleh tengok dari pelbagai sudut, boleh tengok ulangan aksi dan boleh dengar ulasan pengacara. Jadi, kenapa tak tengok dekat TV sahaja?”

Persoalan seperti di atas seringkali dilontarkan terhadap peminat tegar sukan bola sepak.

Namun, seandainya diberikan pilihan sama ada menonton satu perlawanan bola sepak di stadium ataupun hanya di televisyen, pastinya penggemar sejati sukan nombor satu dunia itu akan membuat pilihan pertama.

Walaupun diakui apabila seseorang itu berada di stadium, dia tidak mampu melihat aksi dari pelbagai sudut ataupun melihat ulangan sesuatu babak jaringan gol tetapi pengalaman hadir sendiri merasai suasana secara langsung di stadium sememangnya tiada tolok bandingan.

Ia boleh diibaratkan seperti bercuti di sebuah kepulauan berbanding hanya melihat tempat tersebut melalui gambar atau video ataupun hadir menyaksikan sendiri sebuah konsert berbanding menontonnya di televisyen.

Jika pengalaman hadir ke stadium itu sudah cukup untuk membuatkan peminat bola sepak teruja, bayangkan pula perasaan seorang peminat tempatan di sini yang mendapat tajaan bertaraf VIP untuk ke luar negara menyaksikan perlawanan pasukan bola sepak terkemuka di dunia!

Pengalaman berharga tersebut berjaya dikecapi Wan Abdul Hadi Wan Abd Rasid. Pada bulan lalu, dia dipilih memenangi tiket perlawanan di antara Real Madrid dan Deportivo La Coruna di Sepanyol.

KISAH SEORANG ‘PAKAR’ MENANG PERADUAN

Wan Abdul Hadi mempunyai banyak pengalaman menang peraduan sehingga dia juga berjaya menjejak kaki di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, Sepanyol.


Dalam kalangan rakan dan keluarga, Wan Abdul Hadi sememangnya dikenali seorang yang mempunyai tuah yang baik. Dia seringkali menyertai dan menang peraduan yang dianjurkan oleh stesen radio, televisyen, laman sesawang dan banyak lagi.

Di antara hadiah peraduan yang berjaya dimenangi oleh pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak sebelum ini termasuklah wang tunai, minyak wangi, tiket wayang dan juga tiket konsert.

“Memang apabila rakan-rakan mengetahui saya menang peraduan terbaru ini, ramai mula ‘membodek’ saya. Tak lama selepas saya muat naik berita tersebut di Instagram Stories, adalah dalam 12 atau 13 orang yang DM (mesej secara peribadi) bertanya jika boleh ikut saya ke Sepanyol,” ujarnya kepada Rojak Daily Skop!.

Bagi peraduan terbaru yang dianjurkan Astro bersama saluran, beIN Sports, Wan Abdul Hadi memenangi pakej VIP menyaksikan perlawanan La Liga di antara pasukan Real Madrid dan Deportivo La Coruna.

Pertembungan di antara dua kelab Sepanyol tersebut berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, Sepanyol pada 21 Januari lalu.

Selain daripada tiket perlawanan berstatus VIP, pakej untuk dua orang itu turut termasuk tiket penerbangan pergi dan balik ke Madrid, penginapan empat hari tiga malam di Hotel AC Aitana, lawatan eksklusif ke Stadium Santiago Bernabeu dan aktivti bersiar-siar di sekitar bandar Madrid sambil ditemani seorang pemandu pelancong.

“Saya mula mengetahui mengenai pertandingan tersebut melalui laman sesawang Astro Circle. Setiap minggu, memang paling kurang sekali saya akan melayari laman tersebut dan kebetulan suatu hari semasa saya buka, peraduan tersebut baru sahaja dibuka kepada orang ramai. Apa lagi saya ‘join’lah.

“Saya baca syarat-syarat dan macam mana mereka memilih pemenang. Peserta perlu menjawab soalan objektif berkaitan dengan pasukan Real Madrid.

“Selepas itu, katakanlah jumlah penyertaan ada 1,000 kesemuanya. Hadiah ada 10 jadi 1,000 bahagi dengan 10 bersamaan 100 maka setiap penyertaan yang ke seratus akan mendapat hadiah.

“Penyertaan ke seratus yang pertama akan mendapat hadiah utama. Maka saya pun hantarlah banyak kali penyertaan,” ceritanya lagi.

JEJAK KAKI DI KOTA BERSEJARAH

Wan Abdul Hadi menerima layanan VIP sebaik tiba di Madrid, Sepanyol selama 4 hari 3 malam.


Wan Abdul Hadi bersama adiknya tiba di Lapangan Terbang Adolfo Suarez di Madrid-Barajas, Sepanyol pada pagi 19 Januari lalu. Tidak lama selepas itu, mereka mula menyedari mengapa hadiah yang dimenanginya itu dikatakan sebagai pakej 'VIP'.

Sebaik sahaja keluar dari lapangan terbang, mereka dibawa ke hotel penginapan dengan menaiki sebuah kereta mewah, Audi A8.

“Sebelum sampai ke sana sebenarnya saya dah pelik tengok invois untuk pengangkutan dari airport. Kosnya adalah 150 Euro (RM722.66) bagi perjalanan sehala ke hotel dan saya terpikir kenapalah mahal sangat?.

"Rupa-rupanya masa sampai di sana, mereka menjemput kami menggunakan kereta Audi A8 dan masa pulang pula, mereka menghantar kami ke lapangan terbang menggunakan kereta Mercedes,” ceritanya sambil ketawa.

Pada sebelah petangnya, mereka berdua dibawa menghadiri lawatan persendirian ke Stadium Santiago Bernabeu.

Gelanggang keramat buat pasukan Real Madrid berkapasiti 81,044 tempat duduk itu mula di buka pada tahun 1947 dan dianggap sebagai salah sebuah arena sukan paling terkenal dan berprestij di dunia.

Pada hari Sabtu pula, Wan Abdul Hadi dan adiknya dibawa melawat beberapa tempat menarik di sekitar bandar Madrid sambil ditemani seorang pemandu pelancong.

“Kali ini kami tidak guna kereta cuma naik teksi saja tetapi segala bayaran tambang dan tiket masuk ke tempat yang dibawa, mereka yang tanggung.

"Selain daripada tempat-tempat yang disenaraikan di dalam itinerari, mereka juga menanggung kos tambang sekiranya kami mahu melawat ke tempat lain di sekitar bandar tersebut.

“Apa yang saya suka dekat sana ialah tidak ada sebarang kesesakan lalu lintas walaupun di kawasan pusat bandar mahupun pusat membeli belah. Mungkin ini disebabkan ramai orang di sana yang lebih gemar menaiki pengangkutan awam,” ujarnya lagi.

Malangnya, bukan keseluruhan pengalaman di sana menyeronokkan kerana dia kehilangan sejumlah wang di hotel pada pagi Ahad.

“Sesudah sarapan di restoran hotel tersebut, saya naik semula ke bilik tetapi saya tertingal beg di kerusi. Masa tu adik saya pergi beli barang di kedai runcit dan semasa dia balik ada seorang staf hotel yang kenal kami sedang menunggu adik saya di lobi.

"Dia beri beg saya kepada adik saya tetapi duit di dalamnya sudah tiada. Anggaran duit yang hilang lebih kurang 60 hingga 70 Euro (RM288.59 hingga RM336.69). Nasib baik dah masuk hari ketiga di sana, kalau dari hari pertama dah hilang memang naya jugaklah” katanya.

KONGSI KEGEMBIRAAN REAL MADRID 'KENDURI' GOL

'Tuah' Wan Abdul Hadi seolah menyebelahi pasukan Real Madrid menang besar terhadap Deportivo La Coruna.


Perlawanan di antara Real Madrid dan Deportivo La Coruna berlangsung pada Ahad, jam 4.15 petang. Oleh kerana tiket perlawanan yang dimenangi Wan Abdul Hadi adalah berstatus VIP, dia dan adiknya seolah-olah menghadiri sebuah acara gala yang menyediakan sesi makan.

“Saya kagum melihat kawalan keselamatan di stadium. Setiap longkang dan kawasan di sana mereka periksa untuk pastikan tiada bahan letupan atau apa-apa yang merbahaya. Pasukan keselamatan siap ada naik kuda, jadi memang kita boleh lihat kawalan keselamatan mereka agak tinggi,” tambahnya lagi.

Walaupun pasukan pelawat berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-23, Real Madrid berjaya bangkit dan akhirnya menang penuh bergaya 7-1. Gol-gol pasukan yang mendapat jolokan 'Los Blancos' itu dijaringkan Luka Modric dan dua gol masing-masing daripada Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Nacho Fernandez.

“Semasa Real Madrid bolos awal, saya terpikir mesti ramai kawan-kawan yang akan bahan saya pasal pergi jauh-jauh tapi kalah. Sekali menang besar jadi memang saya seronok habislah. Mak saya pun cakap saya bertuah kerana pergi sana, saya dapat tengok kenduri gol,” ujarnya.

Apa yang melucukan adalah sebelum dan sesudah kehadiran Wan Abdul Hadi dan adiknya ke ibu kota Sepanyol tersebut, prestasi pasukan kendalian lagenda Perancis, Zinedine Zidane itu sebenarnya agak teruk. Daripada enam perlawanan sebelum itu, pasukan tersebut tewas dua kali, seri dua kali dan hanya menang dua kali.

Kemudiannya, hanya selang beberapa hari sahaja sesudah Wan Abdul Hadi pulang semula ke tanah air, Real Madrid tewas mengejut dan tersingkir dari pertandingan Copa del Rey apabila mereka tewas 1-2 kepada pasukan kerdil CD Leganes di gelanggang sendiri.

Nampaknya tuah Wan Abdul Hadi bukan terhad kepada menang peraduan saja tetapi turut merebak sehingga ke luar negara apabila pasukan yang sedang berada dalam prestasi buruk akhirnya kenduri gol dengan kehadiran peminat Malaysia ini di stadium keramat itu!

BAGAIMANA NASIB 'LOS BLANCOS' SELEPAS INI?

Sebenarnya, pada awal pagi tadi berlangsungnya perlawanan La Liga di antara Real Madrid dengan pasukan yang menyingkirkan mereka daripada saingan Copa del Rey pada bulan lepas iaitu CD Leganes.

Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 3-1 buat Real Madrid hasil jaringan Lucas Vasquez, Casemiro dan sepakan penalti daripada ketua pasukan, Sergio Ramos.

Bagaimanapun, prestasi buruk pada awal musim buat pasukan juara Eropah sebanyak 12 kali tersebut bermakna mereka sekadar menghuni tangga ketiga La Liga setakat ini.

Lebih mengecewakan, mereka ketingganlan sebanyak 13 mata daripada pasukan pendahulu liga yang juga merupakan seteru ketat mereka iaitu F.C. Barcelona. Melihat kedudukan terkini, apakah ramalan Wan Abdul Hadi buat pasukan Real Madrid pada penghujung musim nanti?

“Rasanya mereka akan menamatkan musim di tangga ketiga La Liga. Rasanya tempat pertama atau kedua dah tak boleh capai sebab jarak mata dah jauh sangat,” ujarnya.

Wan Abdul Hadi merupakan peminat pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan telah mengikuti perkembangan pasukan yang mendapat jolokan 'Setan Merah' tersebut semenjak dari bangku sekolah rendah lagi kerana mengikuti arwah atuknya.

Walaupun menjangkakan Real Madrid bakal kecewa di dalam saingan La Liga, dia meramalkan pasukan tersebut bakal menjejakkan kaki ke perlawan akhir Liga Juara-Juara UEFA pada 26 Mei nanti.

Pasukan yang diramalkannya untuk melengkapkan perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Stadium NSC Olimpiyskiy di Kiev, Ukraine itu adalah tidak lain daripada pasukan kesayangannya sendiri iaitu Manchester United.

“Rasanya Real Madrid memang hanya menumpukan perhatian terhadap Liga Juara-Juara UEFA sahaja sekarang. Lagipun aura mereka dalam kejohanan tersebut memang lain daripada yang lain,” katanya yang meminati dua pemain pasukan Manchester United iaitu penjaga gol, David De Gea dan pemain tengah, Ander Herrera.

Tidak mengejutkan, apabila Rojak Daily Skop! bertanyakan mengenai pasukan yang bakal memenangi perlawanan akhir tersebut, Wan Abdul Hadi memilih pasukan Manchester United.

Sekiranya 'tuah' yang dimilikinya selama ini menjadi ukuran, pastinya pilihan tersebut menjadi berita baik buat pasukan 'Setan Merah'.

Rojak Daily Skop! ingin membuat cadangan kepada pihak Manchester United, sekiranya ramalan Wan Abdul Hadi tadi membuat 'tuah’ sekali lagi dan menjadi kenyataan, jangan lupa menaja remaja ini untuk melawat Old Trafford pula!
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top