Rojak Daily Logo
Back to top

Menikmati Lautan Kabus, Mandi Sambil Rebus Telur Percuma Jadi Kenangan Terindah

Lokasi Betong, Thailand antara destinasi percutian popular yang menjadi tumpuan ramai pelancong.

0
comments
Menikmati Lautan Kabus, Mandi Sambil Rebus Telur Percuma Jadi Kenangan Terindah
Pengunjung boleh mandi dalam kolam air panas di Betong Hot Spring tanpa sebarang bayaran yang dikenakan. (Gambar: Eiylla Syaharith)
Keindahan puncak bukit, Iyerweng yang dipenuhi lautan kabus menjadi tarikan utama pada pelancong yang datang bercuti atau berkunjung ke Betong, Thailand.

Menariknya, lautan kabus itu mampu dilihat seawal jam 5.30 hingga 10 pagi tatkala menanti kehadiran sinaran mentari pagi dan uniknya puncak gunung ini menjadi tumpuan pelancong seawal jam 3 pagi lagi.

Rojak Daily Skop! berkesempatan mengunjungi puncak setinggi 2,085 meter dari paras laut itu meninggalkan satu kenangan yang cukup indah ketika bercuti di Betong, Thailand baru-baru ini.

Mungkin destinasi ini bukanlah sehebat kawasan pergunungan di negara yang mempunyai musim sejuk tetapi ia menjadi pilihan terbaik buat mereka yang mahu menikmati keindahan panorama alam semujadi.

RASAI PENGALAMAN BERKHEMAH

Menikmati keindahan panorama pada waktu pagi cukup mengujakan pengunjung di The Sea of Mist, Iyerweng, Betong, Thailand.


Bagi mereka yang ingin melihat lautan kabus ini boleh memilih sama ada menaiki kenderaan pacuan empat roda ataupun motosikal. Cuma menaiki kereta agak mencabar sedikit kerana terpaksa menaiki bukit yang tinggi selain keadaan jalan yang tidak rata.

Menariknya di kawasan ini, mereka yang ingin bermalam di puncak bukit Iyerweng turut disediakan kawasan berkhemah yang mampu menampung antara 50 hingga 80 pengunjung pada satu-satu masa dengan kadar sewa yang cukup berpatutan termasuk menyewa khemah.

Penat mendaki bukit pasti akan hilang setelah sampai di puncak dan bergambar cantik di atas Sky Walk dengan berlatarbelakangkan kepulan kabus yang memutih yang memenuhi kawasan pergunungan itu dan Iyerweng juga telah diwartakan sebagai kawasan pelancongan.

Bukan itu sahaja kunjungan ke Betong juga pasti tidak lengkap jika tidak mengunjungi Piyamit Tunnel, Taman Bunga Luruh, Betong Hot Spring, peti Pos terbesar di dunia dan Gua Tham Kra Chaeng atau Krasaeng.

Piyamit Tunnel adalah salah satu terowong yang pernah digunakan oleh pihak komunis Malaya bagi menyusup masuk ke Tanah Melayu dan pekan Betong ini merupakan pekan komunis dan salah satu markas besar komunis.

PETI POS TERBESAR DI DUNIA

Peti pos terbesar di dunia manakala Betong Mongkollit Tunnel (kanan) antara tarikan pada pengunjung jika ke Betong, Thailand.


Betong Hot Spring atau kolam air panas pula terletak kira-kira 20 kilometer dari Betong dan apa yang menarik perhatian ramai pengunjung, tempat ini dibenarkan untuk mandi tanpa memerlukan sebarang bayaran selain boleh merebus telur.

Selain itu juga, kenangan terindah bergambar di peti pos paling besar di dunia juga sukar dilupakan sebaik melihat peti berwarna merah setinggi sembilan meter itu.

Kadar makanan di sini juga amat berpatutan harganya dan mudah diperolehi kerana terdapat banyak gerai makanan halal di sepanjang jalan di pekan Betong ataupun menghala ke Yala, Thailand.

Pengunjung boleh memilih menunggang motosikal untuk ke puncak bukit Iyerweng menyaksikan permandangan berkabus.

Apa yang pasti, bagi mereka yang ingin berkunjung ke sini perlu tiba di pintu sempadan Malaysia - Thailand di Betong yang dibuka dari jam 6 pagi hingga 6 petang.

Jangan bimbang, kemudahan hotel di sini juga banyak dan harga bagi setiap bilik yang disediakan juga murah dan berpatutan.

Meskipun destinasi ini boleh dikatakan paling dekat dengan Malaysia tetapi mereka yang berkunjung ke sini pastinya tidak menyesal untuk datang lagi.
 
 
 
Comments