Rojak Daily Logo
Back to top

Gabungan Ayam Pencen Bersama Rempah Minangkabau Tambat Selera Pelanggan

Bagi mereka yang belum pernah rasa, anda boleh mencuba Satay Minang Pak Yat.

0
comments
Gabungan Ayam Pencen Bersama Rempah Minangkabau Tambat Selera Pelanggan
Sate Minang yang berasal dari Padang, Indonesia turut popular di negara ini. (Gambar: Aina Medina)
Setiap tempat di setiap negara pastinya mempunyai makanan yang melambangkan kawasan berkenaan seperti contoh nasi kerabu yang sinonim dengan Kelantan.

Indonesia juga tidak terkecuali. Padang yang merupakan ibu negeri dan bandar terbesar di Sumatra Barat antara bandar yang menghimpunkan pelbagai jenis makanan setempat yang menyelerakan termasuk sate Minang.

Tidak hanya terkenal dan dijual di sana, hidangan tersebut turut boleh didapati di sini. Walaupun mengambil masa untuk dikenali dalam kalangan masyarakat setempat tetapi Satay Minang Pak Yat antara yang terkenal di sekitar Sungai Buloh, Selangor.

PEMINTAAN MEMBERANGSANGKAN

Menjamah sate Minang bersama minuman ABC memang cukup menyelerakan.


Pemiliknya, Asra Waldo Zainal, 56, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Yat berkata, meskipun hidangan berkenaan adalah hidangan Padang, ia juga mendapat sambutan di sini apatah lagi hidangan satenya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Pak Yat berkata, permintaan yang semakin memberansangkan menerusi jualan dan tempahan sate yang diterimanya membuatkan dia percaya menu berkenaan istimewa dalam kalangan penggemarnya.

Untuk pengetahuan pembaca, sate Minang atau sate Padang tidak mempunyai rasa yang sama dengan sate tempatan di sini.

Gabungan ayam pencen yang dimasak sehingga dua jam bersama pelbagai rempah ratus antaranya rempah Minangkabau yang diimport khas dari Indonesia bukan sahaja berupaya mengekalkan keaslian resepi, malah melengkapkan lagi cita rasa sate itu.

Walaupun kacang tetap menjadi bahan utama kuahnya tetapi cara penyediaannya berlainan sama sekali. Malah, cara ayam di perap juga berbeza.

DULU 2 EKOR TAPI SEKARANG 200 EKOR

Rasa sate Minang sebenarnya berbeza dengan sate tempatan di sini.


Menurut Pak Yat, sejak memulakan perniagaan 23 tahun lalu, dia dan isteri tidak pernah menukar atau mengubah resepi sebaliknya, mengekalkan resepi sedia ada.

"Dulu, kami hanya menjual dua ekor ayam sehari. Berbeza dengan situasi kini di mana Pak Yat boleh menjual kira-kira 200 ekor ayam dalam tempoh yang sama," katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Tambahnya, cita rasa yang berbeza dan keenakan satenya pasti menambat selera pelanggan, lebih-lebih lagi jika menjamu selera di restoran. 

"Sekarang Satay Pak Yat dah ada dua cawangan di Paya Jaras. Sekiranya pelanggan ingin menikmati hidangan dalam suasana kampung, mereka boleh menjamu di kedai pertama Pak Yat yang terletak di antara rumah-rumah, kampung," katanya.

Sementara itu, isteri merangkap pembantu Pak Yat, Leli Suryani Takun berkata, selain sate, mereka juga menyediakan pelbagai menu lain antaranya soto, bihun sup, gado-gado, bakso, ais batu campur (ABC) serta banyak lagi.

Selain sate, pelanggan juga boleh mencuba bihun sup di gerai Satay Minang Pak Yat ini.

Leli menambah, bihun sup yang dijual turut mempunyai rasa yang berlainan berbanding bihun sup lain kerana ia menggabungkan dua resepi turun temurun untuk menghasilkan rasa yang diinginkan.

Bagi yang ingin merasai keenakan sate Minang Pak Yat anda boleh mencari gerainya dengan menggunakan aplikasi Waze, Sate Minang Pak Yat.

Waktu operasi: Setiap hari Isnin sehingga Ahad

Masa: Bermula 12 tengah hari sehingga 2 pagi.

Alamat: Sate Minang Pak Yat (Paya Jaras)
2986 Jalan Kuala Selangor, Sungai Buloh, Selangor. 

 
 
 
Comments