CLOSE
CLOSE

Plug-in: Anda Terlalu Sibuk? Apa Kata Guna 'Uber Manusia'

Teknologi realiti maya (VR) terbaru ini mampu mewakilkan diri anda ke tempat lain sambil berinteraksi.


  • Share:

Plug-in: Anda Terlalu Sibuk? Apa Kata Guna 'Uber Manusia'
Tidak perlu guna robot sebaliknya manusia sendiri boleh menjadi wakil anda ke mana saja. (Gambar: sway.com)
Tentu anda pernah dengar ungkapan “ada duit, semua boleh jalan”, bukan?

Dengan kepesatan perkembangan teknologi moden, sudah banyak perkhidmatan yang anda boleh nikmati sekiranya mempunyai wang. Dari menempah makanan, penghantaran barangan, perkhidmatan cucian, pemandu kenderaan, perkhidmatan penulisan tesis dan bermacam-macam lagi.

Malah, anda juga kini mampu mengupah orang lain untuk mewakili diri anda ke sebarang majlis, upacara mahupun tempat yang anda inginkan. Walaupun bunyinya seolah-olah mimpi, ia kini telahpun menjadi realiti melalui konsep 'Uber Manusia'.

Adanya konsep terbaru ini, kita boleh ucapkan “selamat tinggal” kepada ungkapan “terlalu sibuk sehinggakan tak cukup tangan” kerana kita boleh mengupah tangan orang lain untuk mewakili diri kita!

WAJAH, GAYA PAKAIAN SEMUA BOLEH

Kecanggihan teknologi 'Uber Manusia' mampu memudahkan urusan manusia.


Sesudah membuat penampilan sulung di persidangan teknologi Asia, EmTech, pada minggu lalu, konsep 'Uber Manusia' ini secara amnya memaparkan seseorang 'wakil' yang memakai skrin khas di kepalanya yang memaparkan wajah diri anda.

Skrin tersebut juga akan memainkan suara anda dan wakil tersebut akan menghadiri majlis yang anda inginkan sambil menuruti sebarang perintah anda.

Malah, anda juga boleh memilih pakaian yang bakal digayakan oleh wakil tersebut supaya mahu kelihatan lebih mirip terhadap imej diri anda sebenar.

Produk yang menggunakan konsep tersebut diberi nama ChameleonMask dan ia dibangunkan oleh penyelidik teknologi realiti maya (VR) dari Jepun iaitu Jun Rekimoto.

Tanpa perlu meninggalkan bilik tidur, anda boleh berinteraksi dengan tetamu lain di majlis yang dihadiri oleh wakil anda tersebut!

Selain daripada kamera yang membolehkan anda melihat kawasan di sekitar majlis tersebut, ChameleonMask juga menyediakan dua saluran suara untuk anda iaitu peribadi dan awam.

'Uber Manusia' akan menggunakan skrin khas di kepala mereka untuk bertindak mewakili anda.

Saluran suara peribadi membolehkan anda berkomunikasi dan memberi arahan secara tertutup dengan wakil anda. Saluran suara awam pula boleh didengari oleh orang ramai dan diguna untuk berkomunikasi dengan mereka.

“Rekaan ini adalah berdasarkan hipotesis kami yang beranggapan sebarang ciri-ciri fizikal mahupun sosial mampu dirangkumkan oleh seorang wakil manusia yang meniru seorang pengguna dari jarak jauh,” ujar kenyataan dari pihak ChameleonMask.

Teknologi seperti ini bagaimanapun bukanlah satu ciptaan serba baru. Sebelum ini juga terdapat sistem di mana pengguna mampu mengawal dan melihat dari jarak jauh tetapi sistem tersebut diguna pakai oleh sebuah robot.

Menurut pihak ChameleonMask, dengan menggunakan manusia sebagai wakil dan bukannya robot, interaksi yang berlaku terasa lebih “tulen dan semulajadi”.

Kajian yang dijalankan mendapati bahawa orang ramai yang berinteraksi dengan wakil yang memakai ChameleonMask sememangnya percaya mereka sedang berinteraksi dengan pengguna jarak jauh teknologi tersebut.

“Ia juga dapat mengelakkan masalah robot kawalan jauh daripada berkeliaran di merata kawasan,” ujar kenyataan tersebut lagi.

DARI KACA TV KE DUNIA REALITI

Penyanyi popular, Kanye West pernah menggunakan teknologi hampir sama untuk pembukaan galeri seninya sebelum ini.


Umum sudah mengetahui bahawa terdapat beberapa teknologi yang bermula sebagai imaginasi dalam televisyen (TV) dan filem tetapi akhirnya menjadi kenyataan di dunia realiti. Antaranya adalah iPad dan Google Glass yang mendapat inspirasi daripada siri TV klasik, 'Star Trek' dan banyak contoh lain lagi.

Konsep yang mirip dengan 'Uber Manusia' ini juga telah membuat kemunculan di kaca TV sejak sekian lama. Antaranya adalah sebuah episod dalam siri sitkom terkenal, 'Arrested Development'. Di dalam episod tesebut, seorang manusia telah menjadi wakil kepada seorang jutawan yang dijatuhkan hukuman penjara.

Wakil tersebut telah mengambil tempat jutawan tersebut di dalam penjara dengan memakai topi dengan tulisan “surrogate’ yang bermaksud “orang pengganti” dalam Bahasa Inggeris, manakala ia turut dilengkapi dengan alat pendengar telinga dan kamera yang diikat di dahinya.

Selain itu, beberapa siri sitkom terkenal yang lain seperti 'Modern Family' dan 'The Big Bang Theory' juga pernah menayangkan episod yang memaparkan konsep yang hampir serupa dengan konsep 'Uber Manusia' tersebut.

Malah, penyanyi rap terkemuka, Kanye West juga pernah mewakilkan dirinya dengan sebuah robot ke upacara pembukaan galeri seni milik dirinya dan isteri, Kim Kardashian.

Buat masa ini konsep tersebut hanya berada di Jepun tetapi cuba bayangkan sekiranya ia ditawarkan di Malaysia kelak.

Mungkin ada yang pergi mesyuarat dengan klien dengan menghantar 'Uber Manusia' dan mungkin juga ada ahli politik yang menghantar wakil untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen!

Namun, harap-harap tiada lelaki berpoligami yang menghantar wakil untuk menemani isteri pertama atau muda pula!
 
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top