Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Sebelum Masuk Usia 35 Tahun, Anda Boleh Menyimpan Di Lima Tabung Simpanan Terbaik Ini

Ramai individu berhasrat mahu menabung tetapi gagal melakukannya.

0
comments
Sebelum Masuk Usia 35 Tahun, Anda Boleh Menyimpan Di Lima Tabung Simpanan Terbaik Ini
Masih ramai yang tidak mempunyai perancangan menabung secara konsisten. (Gambar: competition.org.za)
Boleh dikatakan secara rawak ramai anak muda ketika ini sudahpun menanggung beban hutang yang banyak biarpun belum memperolehi kerja tetap atau kediaman sendiri.

Mana tidaknya, hampir 90 peratus graduan di Malaysia dibelenggu hutang pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebaik sahaja tamat pengajian.

Keadaan ini sedikit sebanyak sudah tentu mengganggu komitmen bulanan mereka, apatah lagi untuk menyimpan bagi merancang masa depan.

Lebih parah apabila ada beberapa kajian pakar ekonomi membuktikan bahawa tiga daripada empat rakyat Malaysia sukar menyimpan walaupun RM1,000 bagi kes-kes kecemasan.

Persoalannya, berapa banyak sebenarnya kita perlu mengasingkan simpanan daripada duit gaji? Ada yang sarankan 20 peratus, dan ada yang kata perlu simpan sehinggga 30 peratus. Malah, ada juga mencadangkan perlu menyimpan sehingga 60 peratus daripada jumlah pendapatan bersih.

Pendek kata, setiap daripada kita perlu ada disiplin dan tahu tempat terbaik untuk menyimpan dan jumlahnya pula bergantung kepada pendapatan dan komitmen sendiri. 

Jadi, jika memilih menyimpan di suatu tempat, yang manakah paling sesuai untuk dijadikan sebagai tabung simpanan? Di sini, seorang usahawan yang juga pakar kewangan, Nur Aliah Mohd Nor berkongsi lima tempat terbaik untuk simpan duit sebelum memasuki umur 35 tahun.

Perkongsian info tersebut menerusi 'posting' terbaharunya di Facebook menjadi tular di media sosial sehingga dikongsi lebih 7,000 netizen dan 1,300 'like'.

Lima tabung simpanan terbaik itu adalah:

1. Amanah Saham Bumiputera (ASB)

ASB menawarkan pelaburan menerusi simpanan dan pinjaman yang memberi dividen menguntungkan.


Tetapkan matlamat anda jika mahu menyimpan menerusi ASB.

Nur Aliah berkata, setiap penyimpan perlu menetapkan matlamat pelaburan sama ada untuk membeli rumah, perbelanjaan perkahwinan atau melancong ke luar negara dan seterusnya membezakan antara pelaburan ASB dan pinjaman ASB.

"Pinjaman ASB akan menjurus kepada 'force saving' (simpanan paksaan) manakala pelaburan ASB biasa ialah simpanan ASB," katanya.

Tambahnya, setiap pelabur perlu mengetahui kemampuan diri sebelum melabur.

"Kita boleh menentukan komitmen bulanan kita sendiri, sebab hanya kita saja tahu berapa pendapatan kita sebulan dan hanya kita lebih tahu kemampuan bulanan kita."

Sebagai contoh, kita mampu membuat simpanan ASB sebanyak RM1,000 sebulan tetapi ada baiknya, simpanan ini dipecahkan kepada dua bahagian:

- 'Force saving' (RM700)
- Simpanan ASB (RM300)

Penyimpan harus ingat simpanan ASB biasa pun penting jika berlaku kecemasan. Boleh guna dulu duit simpanan tersebut tetapi jangan sesekali tamatkan pinjaman ASB anda tanpa alasan yang munasabah.

2. Tabung Haji


Simpanan di tabung ini sangat digalakkan kerana selain patuh syariah, ia juga memerlukan modal awal yang rendah dan simpanan yang dijamin. Pemberian dividen dan bonus juga setiap tahun juga kompetitif dan ia dikecualikan daripada cukai.

Bagi penyimpan yang beragama Islam, boleh mendaftar untuk menunaikan haji dengan simpanan sebanyak RM1,300.

3. Skim Persaraan Swasta (PRS)

Mungkin tidak ramai yang tahu, PRS ini melengkapkan pelan simpanan persaraan wajib seseorang individu melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Walaupun kebanyakan pekerja sudah mempunyai simpanan di KWSP, sangat digalakkan untuk menyimpan dalam PRS sebagai simpanan tambahan untuk persaraan.

Nur Aliah berkata, selain dapat pelepasan cukai individu sehingga RM3,000 setahun, simpanan ini dapat melawan inflasi dan berpeluang mendapat pulangan pelaburan yang baik.

Bagi menggalakkan remaja untuk menyimpan, kerajaan juga mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM1,000 secara 'one-off' di bawah Insentif Muda PRS pada Bajet 2017 yang lalu.

4. Simpan Emas Untuk Dana Pendidikan

Simpanan menerusi emas antara pelaburan yang lebih terjamin untuk masa hadapan.


Cuba kira berapa nisbah gram emas yang diperlukan untuk perbelanjaan di pengajian universiti awam dan swasta hari ini? 

Sebagai contoh, pinjaman yang diberikan oleh PTPTN untuk pengajian jurusan sastera di IPTA iaitu RM6,500 setahun. 

Cara pengiraan:
RM6,500 × 5 tahun = RM32,500
Maka jumlah pinjaman sekitar RM32,500. 

Jadi kita boleh andaikan, kos pengajian universiti tempatan sekitar RM35,000 hingga RM40,000 pada hari ini. Ia bersamaan nilai dalam lingkungan 210 hingga 240 gram emas.

Kalau kita menyimpan 1 gram emas sebulan untuk anak bermula dari hari kelahirannya, maka ia akan ambil masa 18 hingga 20 tahun untuk cukupkan emas sebanyak itu. 

Cara pengiraan:
20 tahun × 12 = 240 gram
 
Harus ingat, simpanan emas adalah kalis inflasi. Pendek kata, 240 gram emas itu cukup untuk menampung pendidikan anak-anak walau apa pun berlaku kepada ekonomi dan matawang ringgit. Berita baik, anak-anak ini tak perlu mengambil pinjaman PTPTN. 

Jika menyimpan 1 gram sebulan sejak hari kelahiran, pada umur 18 tahun setiap anak akan memiliki 240 gram emas dengan nilai hari ini sekitar RM43,200 (RM180 x 240 gram). Ia cukup untuk kos pengajian universiti tempatan tanpa perlu pinjaman PTPTN bukan!

Bagaimanapun, soalan paling penting di sini adalah di mana nak membeli emas 1 gram ini?

Nur Aliah berkata, bagi 'gold bar' untuk 1 gram harga jika mengikut per gram, ianya sangat mahal. Ini disebabkan kos pembuatan emas bersaiz kecil memang mahal. 

"Kosnya dalam linkungan RM210 hingga RM250 mengikut syarikat yang berlainan.

"Alternatifnya adalah simpanan menerusi Public Gold untuk mereka yang berpendapatan sederhana melalui akaun GAP.

"Walaupun ia akaun emas, tetapi ianya boleh keluarkan emas fizikal dan simpan sendiri (kalau mahu). Dan yang pastinya, harganya termurah di pasaran Malaysia sekarang. Kita boleh buka satu akaun untuk setiap anak (dengan nama ibu atau bapa sebagai pemilik bersama)," katanya.

5. Tabung Warna

Cara ini adalah yang paling mudah, menarik dan menguntungkan.

Nur Aliah berkata, cara simpanan ini memang sesuai untuk golongan yang mempunyai disiplin tinggi dan ingin menyimpan secara tetap.

"Tetapkan dahulu warna tabung yang anda inginkan. Contohnya, jika pilih warna hijau dan oren (RM5 dan RM20), jadi anda perlu menyimpan duit kertas RM5 dan RM20 setiap kali anda terima duit tersebut.

"Anda tak boleh belanjakan dengan menggunakan duit RM5 dan RM20 tersebut untuk perbelanjaan harian anda," katanya.

Menyimpan duit mengikut warna bukan sahaja kelihatan menarik, malah mendidik kita untuk lebih berjimat dan menghargai setiap duit yang diterima. 

Apabila hujung tahun, anda boleh keluarkan duit simpanan tersebut dan laburkan di tempat yang betul. Mudah bukan!

Walau apapun, mulakan dari sekarang untuk mendapatkan jumlah simpanan yang banyak. Menyimpan ini memang aktiviti yang ‘membosankan’. Kalau tidak mampu untuk menyimpan, tambahkanlah pendapatan.
 
 
 
Comments