CLOSE
CLOSE

Nak Melancong Kena Bijak Pilih Waktu Terbaik Beli Tiket Penerbangan!

Masa sesuai untuk menempah tiket penerbangan sangat penting agar pelancong dapat berjimat.


  • Share:

Nak Melancong Kena Bijak Pilih Waktu Terbaik Beli Tiket Penerbangan!
Destinasi Sapporo di Jepun antara lokasi tumpuan pelancong terutama pada mereka yang ingin bermain salji. (Gambar: takarajima-travel.com)
Terdapat suatu ungkapan dalam Bahasa Inggeris yang agak terkenal dalam kalangan generasi millennial yang bermaksud: “Seandainya kegiatan berjalan-jalan (untuk melancong) itu adalah percuma, anda mungkin tidak mampu berjumpa dengan saya lagi”.

Ungkapan tersebut dengan cukup mudah berjaya merangkumi realiti kehidupan masa kini. Dunia digital tanpa sempadan telah mendedahkan lebih ramai manusia kepada lokasi-lokasi pelancongan yang begitu menarik. Malah, keinginan untuk menerokai kawasan-kawasan tersebut semakin tersemat di sanubari ramai.

Warga Malaysia tidak terkecuali berada dalam kelompok trend tersebut. Mengikut satu kajian mengenai tabiat melancong penduduk tempatan yang dilakukan oleh VASE.AI, menunjukkan sebanyak 54 peratus rakyat negara ini melancong ke destinasi di dalam negara sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, 18 peratus melancong ke destinasi luar negara manakala 27 peratus pula bercuti di kedua destinasi dalam dan luar negara.

Namun, ungkapan di atas tadi juga mededahkan faktor kos untuk melancong kebiasaannya bukan sesuatu yang murah dan faktor inilah yang menyebabkan orang ramai tidak melakukan aktiviti tersebut dengan lebih kerap lagi.

Di sini, Rojak Daily Skop! ingin berkongsikan sedikit panduan yang diharapkan dapat membantu anda untuk menjimatkan kos pelancongan anda ke destinasi impian.

TERBANG TINGGI DI AWAN, MERENTASI SEMPADAN

Mungkin ramai yang tidak tahu membeli tiket penerbangan ke London tiga bulan lebih awal boleh jimat sebanyak 57 peratus.


Enjin pencarian pelancongan iaitu Kayak baru-baru ini mendedahkan waktu terbaik untuk menempah tiket penerbangan ke destinasi pelancongan utama di dunia. Penjimatan yang mampu diperolehi oleh orang ramai adalah sekitar 15 hingga 57 peratus!

Ramai yang berpendapat bahawa lebih awal anda menempah tiket penerbangan maka lebih banyak penjimatan yang akan diperolehi. Bagaimanapun, data yang berjaya dikumpul sebenarnya menunjukkan teori itu tidak semestinya benar.

Waktu terbaik bagi menempah tiket penerbangan ke London sebagai contoh adalah tiga bulan sebelum perjalanan di mana anda mampu membuat penjimatan sehingga 57 peratus!

Ini berbeza sekiranya anda ingin ke Yangon, Myanmar, tempahan satu bulan lebih awal memberikan penjimatan sehingga 61 peratus.

Waktu terbaik untuk membuat tempahan tiket penerbangan ke Manila, Filipina pula perlu dilakukan lebih awal iaitu empat bulan sebelum perjalanan. Di sini, penjimatan yang mampu dicapai adalah sehingga 41 peratus.

Bagi mereka yang ingin pergi menikmati keindahan negara matahari terbit iaitu Jepun, masa terbaik menempah tiket perbangan ke Tokyo adalah lima bulan sebelum perjalanan manakala sekiranya anda berhajat ke Sopporo, anda digalakkan menempah dua bulan lebih awal.

Bagi anda yang mengikuti panduan ini, anda mampu membuat penjimatan kos penerbangan sehingga 15 peratus ke Tokyo dan 44 peratus bagi perjalanan ke Sapporo.

Berikut waktu terbaik bagi menempah penerbangan ke beberapa destinasi lain di Asia:
  • Bali, Indonesia – Satu bulan lebih awal (penjimatan sebanyak 52 peratus)
  • Bangkok, Thailand – Satu bulan lebih awal (penjimatan sebanyak 29 peratus)
  • Krabi, Thailand – Satu bulan lebih awal (penjimatan sebanyak 37 peratus)
  • Ho Chi Minh City, Vietnam – Satu bulan lebih awal (penjimatan sebanyak 36 peratus)
  • Hong Kong – Tiga bulan lebih awal (penjimatan sebanyak 43 peratus)
  • Taipei, Taiwan – Satu bulan lebih awal (penjimatan sebanyak 27 peratus)
  • Seoul, Korea Selatan – Lima bulan lebih awal – (penjimatan sebanyak 17 peratus)
  • Colombo, Sri Lanka – Satu bulan awal (penjimatan sebanyak 26 peratus)
Bagaimanapun, bagi anda yang ingin melawat destinasi yang lebih jauh lagi, anda perlu membuat perancangan lebih lama untuk mendapat penjimatan terbaik untuk kos penerbangan.

“Bagi destinasi seperti Los Angeles, Amerika Syarikat atau Christchurch di New Zealand, lebih awal anda menempah lebih bagus, sehingga ke tempoh tujuh bulan lebih awal,” ujar Pengurus Rantau Kayak, Asia Tenggara, Whey Han Tan, seperti dilaporkan oleh laman sesawang, AsiaOne.

KEINDAHAN TANAH AIR TERCINTA

Bagi mereka yang mahukan cabaran, percutian ke Gunung Kinabalu pastinya menyeronokkan.


Di sebalik keinginan untuk menjejak kaki di bumi asing, tanah air kita sebenarnya mempunyai pelbagai destinasi menarik yang mungkin belum pernah dikunjungi penduduk tempatan sendiri. 

Sesuatu yang sering dilupa adalah destinasi-destinasi tersebut kebiasaannya adalah lebih menjimatkan kos percutian berbanding percutian ke luar negara.

Di antara tarikan utama Malaysia adalah pertembungan dunia moden dan alam semula jadi. Di sini, anda mampu menikmati pemandangan seperti rumah kayu traditional yang berlatar belakangkan bangunan pencakar langit yang tinggi.

Malah, anda juga boleh singgah hotel bertaraf lima bintang serba mewah hanya beberapa meter sahaja dari terumbu karang yang menakjubkan.

Malahan, sekiranya anda ke laman sesawang rasmi, Toursim Malaysia anda bukan sahaja mampu melihat pelbagai pakej pelancongan dalam negeri yang menjimatkan tetapi anda mungkin juga terkejut apabila menemui destinasi menarik yang tidak pernah anda ketahui sebelum ini!

Apapun, tidak kira sama ada anda ingin ke luar negara atau dalam negeri, kami di Rojak Daily Skop! ingin mengucapkan “selamat bercuti!”
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top