CLOSE
CLOSE

Fenomena 'Super Blue Blood Moon' Kembali Selepas 152 Tahun!

Ia akan menjadi pengalaman pertama kali seumur hidup yang tidak boleh dilepaskan.


  • Share:

Fenomena 'Super Blue Blood Moon' Kembali Selepas 152 Tahun!
Pelbagai kisah mitos masyarakat zaman dulu yang percaya fenomena gerhana bulan mempunyai kaitan dengan kehadiran iblis. (Gambar: Robin Ohia - Flickr)
“Engkau laksana bulan, tinggi di atas kayangan. Hatiku dah kau tawan, hidupku tak keruan”. Begitulah ungkapan penuh puitis yang sering didendangkan oleh Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Walaupun lirik lagu "Engkau Laksana Bulan” tersebut ditujukan buat seorang wanita, simbolik bulan telah digunakan bagi menggambarkan suatu keadaan yang cukup indah.

Tidak boleh dinafikan bahawa kemunculan bulan yang terang menghiasi langit pada waktu malam merupakan suatu permandangan yang cukup menawan. Lebih mengujakan lagi adalah fenomena 'supermoon' yang telahpun disaksikan oleh orang ramai pada akhir tahun lalu.

Namun, tahukah anda satu fenomena bulan yang amat jarang untuk ditemui akan hadir membuat kemunculan pada minggu depan?

Marilah kita beramai-ramai pada 31 Januari ini menyaksikan keindahan fenomena yang dikenali sebagai 'Super Blue Blood Moon'.

GABUNGAN TIGA DALAM SATU

Pasti ada yang tertanya mengapakah fenomena ini dianggap begitu istimewa sekali? Jawapannya adalah kerana 'Super Blue Blood Moon' ini menggabungkan tiga fenomena bulan secara serentak iaitu 'supermoon, blue moon' dan juga gerhana bulan penuh.

Menurut kebanyakan laman sesawang sains dan astronomi, kali terakhir kejadian seperti ini berlaku adalah pada Mac 1866 iaitu hampir 152 tahun yang lalu!

Fenomena tersebut bakal menjadi pengalaman kali pertama seumur hidup buat sesiapa sahaja yang dapat menyaksikannya. Lebih mengujakan, kedudukan negara hemisfera timur seperti Malaysia mempunyai zon waktu yang lebih awal berbanding kawasan lain di dunia.

Ini bermakna anda bakal menjadikan anda antara kelompok manusia hidup yang terawal untuk melalui pengalaman tersebut!

Seperti yang disaksikan pada Disember tahun lalu, bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang ketika berlakunya fenomena supermoon. Ini adalah kerana kedudukan bulan di angkasa lepas berada pada kedudukan orbit yang paling hampir jaraknya dengan bumi.

Bahagian kedua yang membentuk peristiwa luar biasa ini adalah fenomena 'Blue Moon' iaitu kejadian yang berlaku apabila bulan penuh muncul buat kali kedua dalam tempoh bulan kalendar yang sama, contohnya Januari, Februari, Mac dan seterusnya.

Walaupun perkataan 'blue' bermaksud warna “biru” di dalam bahasa Inggeris, bulan tidaklah akan berwarna seperti tersebut ketika berlakunya kejadian.

Kedua kejadian tadi akan berlaku serentak dengan peristiwa gerhana bulan penuh yang juga dikenali sebagai peristiwa 'Blood Moon'. Kejadian ketiga ini berlaku apabila kedudukan bumi berada selari di antara kedudukan matahari dan bulan.

Keadaan ini akan memaksa cahaya matahari menembusi atmosphera bumi yang kemudiannya menapis keluar kebanyakan cahaya biru. Akibatnya, bulan yang kebiasaannya berwarna putih mutiara akan secara perlahan-lahan bertukar menjadi kemerahan dan sebab itulah nama 'blood moon' yang bermaksud bulan berdarah jika ditukar daripada bahasa Inggeris.

Kejadian 'Blood Moon' yang berikutnya akan muncul pada 19 Januari 2019 tetapi kali ini peristiwa tersebut tidak akan berlaku serentak dengan kejadian 'Blue Moon'.

DI MANA, BAGAIMANA SAYA INGIN MELIHAT?

Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), fenomena luar biasa ini bakal bermula jam 6.51 petang pada 31 Januari dan berlanjutan sehingga 12.08 malam pada 1 Februari.

Ini bermakna gerhana berlaku buat penduduk di Semenanjung Malaysia ketika bulan terbit di ufuk Timur manakala bagi penduduk di Sabah dan Sarawak pula, gerhana bermula selepas dari bulan terbit.

Sepanjang tempoh lima jam 17 minit tersebut, bulan akan bertukar secara perlahan-lahan dari warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali semula kepada warna asalnya. Fasa gerhana penuh maksima pula adalah pada waktu 9.29 malam.

Berbeza dengan kejadian gerhana matahari, fenomena gerhana bulan adalah selamat untuk dilihat secara langsung. Tiada juga peralatan khusus yang diperlukan untuk menyaksikannya, cuma yang mungkin mempengaruhi adalah keadaan cuaca setempat.

Namun begitu, pihak ANGKASA mengatakan bahawa penggunaan teleskop dan binocular akan dapat membantu anda untuk melihat dengan lebih jelas.

Observatori Negara Langkawi ANGKASA pula akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena tersebut. Beberapa buah teleskop mudah alih akan disediakan kepada pengunjung yang hadir dan penyertaan adalah percuma.

Lokasi-lokasi lain yang boleh dikunjungi oleh orang ramai untuk aktiviti pencerapan adalah seperti berikut:
  1. Planetarium Negara, Kuala Lumpur
  2. Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan
  3. Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor
  4. Balai Cerap Al-Khawarizimi, Tanjung Bidara, Melaka
  5. Pantai Tok Jembal, Terengganu (anjuran Balai Cerap Kusza)
  6. Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah (Sabah Stargazers Observertory)
  7. Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan

KISAH PELIK DARI SERATA PELUSUK DUNIA

Masyarakat Inca percaya kejadian gerhana bulan adalah petanda bencana besar bakal menimpa mereka.


Walaupun peluang menyaksikan kejadian gerhana bulan dianggap sebagai pengalaman yang menyeronokkan bagi kebanyakkan masyarakat moden, pihak National Geographic mengatakan  keadaan yang sebaliknya pula berlaku buat masyarakat masa lampau.

Masyarakat Inca yang tinggal di beberapa kawasan di benua Amerika Utara dan Selatan pada kurun ke-16 percaya kejadian gerhana bulan adalah petanda bencana besar bakal menimpa mereka.

Di antara kepercayaan yang wujud pada ketika itu adalah gerhana bulan disebabkan oleh seekor harimau bintang yang menyerang dan memakan bulan. Serangan tersebut jugalah yang menyebabkan bulan berwarna merah ketika fenomena tersebut berlaku.

Mereka akan berasa bimbang sekiranya harimau bintang tersebut tidak kenyang sesudah memakan bulan dan akan turun ke bumi untuk memakan manusia pula. Disebabkan itu, mereka cuba menghalau haiwan pemangsa tersebut dengan mengajukan lembing kearah bulan.

Mereka juga akan membuat sebanyak mungkin bunyi bising termasuklah dengan cara memukul anjing peliharaan mereka supaya ia turut sama mengeluarkan teriakan dan bunyi.

Kaum Mesopotamia purba juga beranggapan kejadian gerhana bulan diakibatkan oleh satu serangan jahat daripada sekumpulan tujuh iblis.

Masyarakat tersebut percaya apa sahaja yang berlaku di langit ada hubung kaitnya dengan keadaan di bumi. Oleh kerana raja adalah ketua di bumi maka sebarang serangan di langit seperti apa yang mereka percaya berlaku ketika gerhana bulan, juga merupakan percubaan serangan ke atas raja mereka juga.

“Daripada kajian yang dilakukan, kami mendapati bahawa kaum Mesopotamia mempunyai kemahiran untuk meramalkan apabila akan berlakunya kejadian gerhana bulan,” ujar E.C. Krupp yang merupakan pengarah bagi Griffith Observatory di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS).

Apabila sebarang peristiwa gerhana bulan sudah hampir tiba, puak tersebut akan melantik seorang raja sementara bagi tujuan dijadikan korban seandainya kumpulan Iblis tadi datang menyerang.

“Seperti yang dapat dijangkakan, raja sementara ini adalah orang yang tidak penting. Dia akan dilayan dengan baik dan mewah tetapi sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa.

“Raja yang sebenar akan bertindak seperti rakyat biasa pada waktu ini dan sesudah gerhana bulan tamat, dia akan kembali memegang takhta walaupun tiada serangan ke atas raja sementara tadi,” jelas Krupp lagi.

Terdapat juga kepercayaan yang dipegang oleh kaum Hupa, sebuah masyarakat orang Asli yang tinggal di California Utara, AS.

Jelas Krupp, kaum ini percaya bulan mempunyai seramai 20 orang isteri dan banyak binatang peliharaan yang terdiri daripada singa dan ular. Apabila bulan tidak membawa makanan yang mencukupi buat kesemua binatang peliharaannya, mereka akan menyerang bulan sehingga luka berdarah.

“Gerhana akan berakhir apabila warna bulan bertukar dari merah ke putih kerana ini adalah waktunya para isteri kepada bulan datang merawatnya,” cerita Krupp lagi.

Begitulah di antara beberapa kepercayaan karut masyarakat zaman lampau. Namun, masyarakat Malaysia jangan pula berasa takut mendengar cerita ini dan menyorok di rumah ketika kejadian 'Super Blue Blood Moon' pada minggu hadapan pula!

Kami jamin tiada harimau bintang akan turun dari langit!
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top