Rojak Daily Logo
Back to top

'Port' Makan Durian Paling 'Best', Boleh Cuba Sebiji Secara Percuma!

Penggemar raja buah boleh makan puas-puas dalam suasana kampung.

0
comments
'Port' Makan Durian Paling 'Best', Boleh Cuba Sebiji Secara Percuma!
Siapa saja boleh 'jatuh cinta' dengan durian tidak kira usia. (Gambar: Adelia Amin)
Bagi penggemar durian, melihat gambar sahaja mampu membuatkan diri tidak keruan. Kalau dah mengidam, memang kena pergi cari cepat-cepat, Jika tidak memang tidur tak lena, mandi tak basah la ibaratnya.

Penangan raja buah itu memang terbukti  kerana bukan sahaja digilai oleh masyarakat tempatan malah pelancong asing juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati keenakannya. Pantang ada sahaja pesta durian, pasti orang ramai datang serbu.

Tapi yang tak 'best', kalau nama pesta, ada pula sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan menjual buah yang tak masak, atau tidak elok. Lebih malang, harganya mungkin lebih mahal dari yang sepatutnya.

Kepada kaki durian, tak payah pening-pening dah nak fikir beli kat mana, nak makan durian murah kat mana. Kalau anda adalah penggemar durian yang mahu makan puas-puas dan nak rasa sendiri pengalaman kutip buah durian, di sini penulis kongsikan kebun durian yang sangat selesa dan hanya terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur saja!


RASA TERUJA MACAM MASUK KAMPUNG SENDIRI

Merasai durian yang segar dari kebun memang cukup puas.


Terletak kira-kira 24 kilometer dari bandar Kuala Lumpur dengan pemanduan selama lebih kurang 30 minit, dusun durian milik Haji Wahab dan isterinya, makcik Saadiah ini terletak di Kg Batu 5, Jalan Bangi Lama.

Difahamkan, kebun ini yang mempunyai keluasan tiga ekar menempatkan 90 batang pokok durian kampung. Pemandangan hijau di kiri dan kanan sebelum sampai ke dusun sememangnya memberi rasa teruja seolah-olah memasuki kawasan kampung sendiri.
 
Di simpang masuk, terdapat longgokan tanah merah dan penulis dimaklumkan kerja-kerja merata tanah sedang dijalankan bagi membangunkan kediaman mereka di situ.

Masuk sahaja kawasan dusun, anda akan disambut mesra oleh Haji Wahab dan isterinya dengan longgokan buah durian yang baharu sahaja gugur!

Paling 'best' ketika berada di sini, duriannya sangat segar kerana ia dipungut terus dari kebun dan jatuh pada setiap hari. Sebelum pilih durian, kebiasaannya Haji Wahab akan memberi sebiji durian untuk anda rasa dahulu dan ia adalah percuma!

Jangan bimbang kerana durian yang dijual di sini memang kualiti terbaik dan bukannya ditebuk tupai atau tidak elok.


SUASANA MENDAMAIKAN SAMBIL LAYAN DURIAN

Pelanggan boleh tukar dengan durian lain jika termakan yang 'mangkak'.


Apa yang paling menyeronokkan ketika berada di sini pastinya suasananya yang mendamaikan sambil menikmati keenakan durian di bawah pokok dengan duduk di atas para yang dibuat sendiri oleh pemilik kebun ini.

Sebagai ingatan, jangan lupa bawa air untuk diminum sebab di sini tidak disediakan air minuman.

Di sini, harga durian bagi sekilogram adalah RM15 dan jika durian yang anda makan tidak elok atau ‘mangkak’ (tidak masak) boleh tukar dengan durian lain.

Tahun ini, Haji Wahab berkata, musim durian tiba lambat sedikit berbanding tahun sebelumnya yang akan gugur sekitar Jun dan Julai.

“Rezeki kami pada tahun ini, durian di kampung ini saja yang menjadi tetapi kampung sebelah tidak berbuah,” katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Jangan lupa petua orang dulu-dulu, lepas makan durian minum air sedikit dalam kulit durian itu.

Pada anda yang ingin ke dusun ini, masih sempat lagi sebelum musim durian bakal ke penghujungnya tidak lama lagi. 

Jika nak ke sini, anda dinasihatkan menghubungi dulu Haji Wahab di talian 016-9962335 untuk memaklumkan kehadiran anda.

Paling ideal untuk datang adalah waktu pagi kerana buah baru gugur dan masih segar. Jadi, apa lagi yang ditunggu!
 
 
 
Comments