Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

10 Bintang Kelahiran Borneo Dengan Pencapaian Membanggakan

Bersinar dalam bidang yang diceburi.

0
comments
10 Bintang Kelahiran Borneo Dengan Pencapaian Membanggakan
Gambar: YouTube, ONE Championship dan Buro 24/7

Selamat menyambut hari Malaysia kami ucapkan kepada semua rakyat Malaysia! Hari Malaysia diraikan 16 September setiap tahun bersempena memperingati penubuhan Malaysia apabila negeri Sabah dan Sarawak bergabung membentuk tanah air kita. Dua negeri yang terletak di kepulauan Borneo itu berpegang teguh pada identiti mereka dan sehingga kini, Sabah dan Sarawak antara negeri yang paling menonjol dari segi budaya, tradisi dan masyarakatnya. Anak-anak kelahiran Borneo juga cukup cemerlang dalam bidang yang diceburi mereka. Siapakah 10 individu ini?

1. Dayang Nurfaizah 

Bintang kelahiran Kuching, Sarawak ini tidak perlukan pengenalan rapi. Mendengar suara merdunya sahaja boleh membuatkan sesiapa sahaja meremang bulu roma. Dayang Nurfaizah bukti jelas bahawa bakat sebenar lebih penting dan boleh membawa kita ke mana sahaja. Dayang cukup berhasil menyanyikan lagu-lagu yang menusuk kalbu dan layak digelar antara penyanyi Malaysia terhebat.


2. Ummu Shaikhah Stacy Anam

Bermula dari rancangan Akademi Fantasia, bakat anak asal Penampang, Sabah ini mula meniti di bibir peminat. Pernah dilabel sebagai 'Britney Spears Malaysia' kerana kelincahannya menyanyikan lagu-lagu rancak, Stacy semakin dikenali dan lagu-lagunya segera memanjat tangga carta-carta radio. Tidak hanya pernah mengondol beberapa anugerah dalam industri seni tanah air, Stacy turut mendapat pengiktarafan dari Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah dan turut dianugerahkan Ikon Remaja Sabah kerana kerja kerasnya dalam membuktikan anak Sabah juga mampu mengejar impian. 

3. Zee Avi

Si jelita kelahiran Miri, Sarawak ini menceburi industri muzik arus perdana melalui saluran YouTube pada tahun 2007. Berkelulusan rekaan fesyen dari American International University di London, Zee Avi mula beralih angin ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk bergelar penghibur dengan kerjasama label rakaman Brushfire Records dan Monotone Records. Meletakkan namanya di persada antarabangsa tidak sesekali membuatkan Zee Avi lupa pada asal-usul. Zee Avi turut meletakkan sebuah lagu dalam dialek Sarawak bertajuk 'Siboh Kitak Nangis' dalam album keduanya. Atas pencapaian seninya, Zee Avi turut dikurniakan pingat Pegawai Bintang Kenyalang oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada tahun 2012.

4. Ann Osman

Ann Osman merupakan seorang atlet tempur Mixed Martial Art (MMA) wanita pertama di Malaysia! Mendengar gelaran itu sahaja membuatkan kita bangga dengan pencapaian Ann Osman di pentas lawan antarabangsa . Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Ann mula bertanding di peringkat amatur perlawanan MMA pada tahun 2012 dan kemudiannya menerima tawaran bertanding di One Fighting Championship (ONE FC) pada tahun 2013. Selain bertempur, Ann turut mempunyai sebuah syarikat pelancongan di Sabah bernama 'Borneo Paddles'. Tambah bangga, Majalah TIME telah menamakan Ann Osman sebagai salah seorang daripada Next Generation Leaders pada tahun 2015.

5. Henry Golding

Hos TV popular yang kini bergelar pelakon, Henry Golding melakar sebuah lagi sejarah bagi dirinya apabila telah terpilih untuk membintangi filem antarabangsa bertajuk Crazy Rich Asians dan juga A Simple Favor di samping Anna Kendrick dan Blake Lively. Anak kelahiran Sarawak ini turut berbangga berketurunan Iban dan tidak pernah sesekali melupakan tanah air. Terbaru, Henry bakal menyelusuri asal-usulnya dalam rancangan terbaharu di saluran Discovery, Surviving Borneo.

6. Atikah Karim

Pemilik nama asal, Dayang Nur Atikah Karim kini sedang menempa nama di pentas antarabangsa sebagai seorang model. Atikah yang berasal dari Tanjung Aru, Sabah ini pernah memenangi Ford Models Supermodel of the World Malaysia ketika berumur 18 tahun. Tahun 2015 menjadi tahun baginya berhijrah ke bandar New York demi impian. Anak Bajau-Brunei ini melangkah penuh gaya dalam beberapa pentas peragaan jenama terkemuka dunia seperti Polo Ralph Lauren, Banana Republic, Kimora Lee Simmons, Libertine, Kate Spade dan terbaru, Kenzo. 

7. Sada Borneo

Bagi anda yang mengikuti rancangan realiti Asia's Got Talent, pasti anda tahu bakat apakah yang diketengahkan oleh sekumpulan pelajar dari Sarawak ini. Dengan membawa alunan muzik akustik gitar, sape, alat muzik tradisional guiro serta alunan siulan burung dan hutan cukup membuatkan empat juri selebriti, Anggun, Vannes Wu, Malanie Chisholm dan David Foster buka mata akan alunan muzik hutan hujan dari Borneo ini. Melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sudah cukup membuktikan Sada Borneo mahu meletakkan tradisi dan budaya Malaysia di mata dunia. 

8. Daphne Iking

Berasal dari Keningau dan kemudiannya membesar di Penampang, Sabah, hos TV dan pelakon, Daphne Iking antara anak sabah yang menyinar dalam industri hiburan. Daphne Iking mula menempa nama menerusi beberapa program seperti Explorace, Ringgit Sense, The Brand, Majalah Tiga, The Breakfast Show, Bella dan pelbagai lagi. Bakatnya dalam lakonan pula mula dicungkil menerusi drama KL Lights di 8TV dan mula mendapat perhatian pengarah filem dan turut membintangi beberapa filem seperti Belukar, My Spy dan Prelude in F Minor.  Turut petah berbicara dalam bahasa Malaysia dah juga Sabah, Daphne Iking turut pernah memenangi pertandingan ratu cantik kaum Kadazan-Dusun, Unduk Ngadau pada tahun 2003 mewakili Lembah Klang. Daphne turut aktif membuat video tentang negeri Sabah di salurannya, Daphne Iking di laman YouTube.

9. Hafiz Suip

Berasal dari Kuching, Sarawak, Hafiz Suip mula dicungkil bakatnya menerusi rancangan Akademi Fantasia. Keluar sahaja dari rancangan itu sambil membawa gelaran juara, Hafiz tidak lagi menoleh ke belakang. Satu-persatu lagunya menjadi hit dan menjadi kegemaran semua. Hafiz memcatatkan kejayaan yang membanggakan apabila dia memenangi Anugerah Vokal Terbaik sekaligus menjadi juara keseluruhan di Anugerah Juara Lagu 26 menerusi lagu Awan Nano. Hafiz turut membanggakan negeri Sarawak apabila mengondol tiga anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dan Rakaman Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2013. Kecemerlangan ini turut mengangkat Hafiz sebagai penerima Anugerah Sarawak Youth Icon and Sports.

10. Mia Palencia

Namanya masih menjadi sebutan netizen apabila kemunculannya di acara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 cukup membanggakan. Lagu hasil ciptaan sepenuhnya Mia Palencia, So Many Hands merupakan antara lagu tema Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 dan menjadi memori indah buat negara. Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, penulis, komposer dan juga penyanyi ini mempunyai hampir 18 tahun pengalaman dalam industri muzik. Mungkin ada diantara kita yang kurang mengenali nama ini, nama Mia Palencia cukup popular di dalam kalangan majlis korporat dan dia pernah membuat persembahan dalam acara berprestij bagi nama Mercedes, BMW, Porsche, Cartier dan Louis Vuitton.

 
 
Comments



Back to top