Rojak Daily Logo

Kembara Solo, Adakah Anda Berani?

0
comments
Kembara Solo, Adakah Anda Berani?
Melancong mengubah persepsi dan menjadi lebih berdikari. (Gambar: theaidasue.com)

Anda gemar mengembara tetapi sering mengalami kesukaran mendapatkan rakan sekepala? Atau mungkin kebanyakan rakan terikat dengan komitmen kerja dan keluarga. Sanggupkah anda mengorbankan minat ini kerana tiada siapa yang sudi menemani? Ayuh cabar diri dan rancang trip solo anda hari ini!

Perancangan Rapi

Bermula sebelum anda menempah tiket penerbangan lagi. Kenal pasti lokasi, jaringan pengangkutan, cuaca, jenis suis, lokasi makanan halal, pusat informasi pelancong, matawang yang digunakan, tempat tukaran wang dan bahasa pertuturan. Keperluan penting lain ke sana seperti visa dan suntikan imunisasi. Jika perlu, anda boleh menempah hotel yang mempunyai wifi di dalam bilik, tiket keretapi, tiket masuk ke lokasi terkenal di sana, menyewa kereta atau motosikal dan menempah pakej lawatan ke destinasi tertentu yang sukar untuk dikunjungi atas faktor jarak atau keselamatan. Jika anda berkunjung ke negara yang menggunakan bahasa tempatan dalam komunikasi seperti China, Vietnam dan Perancis, penting untuk mempelajari beberapa perkataan asas seperti "Di mana bilik air?", "Boleh minta kurang?", "Terima kasih", "Saya tidak mahu" dan "Di mana money changer terdekat?".

Gambar: intrepidnomads.com

Waktu Penerbangan & Barangan Penting

Seelok-eloknya rancang perjalanan agar anda dapat tiba di destinasi tersebut pada waktu siang bagi memudahkan urusan mendapatkan pengangkutan awam dan hotel. Pelancong yang tiba pada lewat malam mudah untuk menjadi mangsa ulat teksi serta dikenakan cas yang tinggi untuk bilik penginapan. Sebolehnya, packing keperluan anda dalam satu beg sandang belakang. Letakkan barangan penting di satu tempat yang selamat dan mudah untuk anda mengambil barangan keperluan seperti pasport, wang, peta, visa, pen dan tiket penerbangan. Asingkan duit, nombor telefon penting dan kad bank di beberapa tempat berbeza sebagai persediaan sekiranya perlu berhadapan saat tidak diduga.

Gambar: theindiansage.com

Senyum & Temui Rakan Baru

Ringankan mulut untuk senyum dan mulakan perbualan ringan dengan penduduk tempatan serta pelancong tetapi pada masa sama bersedia dengan sebarang bahaya dan kemungkinan. Sikap ramah ini boleh membantu mendapatkan maklumat tambahan tentang lokasi menarik atau bahaya buat pelancong dan membolehkan anda mengenali sikap serta gaya hidup penduduk di negara tersebut. Usah terlalu ramah dan gunakan kebijaksanaan serta gerak hati untuk menilai sesuatu perkara. Sentiasa sediakan pelan B dalam apa jua keadaan.

Gambar: thefuturecomedy.com

Aplikasi Telefon & Kad Sim Tempatan

Kos penggunaan telefon bimbit untuk roaming agak tinggi, cara terbaik dapatkan kad sim tempatan. Install segala aplikasi yang memudahkan kembara anda seperti Uber, Converter Plus, Roadtrippers, Waze, Kayak, Viator, TripAdvisor, Stay.com, TV Food Map dan Qibla Compass. Pastikan anda telah menyimpan nombor telefon penting dan nota perjalanan di dalam telefon bimbit. Jangan lupa untuk cas telefon bimbit, power bank dan kamera.

Gambar: calgaryherald.com

Kita Enjoy!

Nikmati percutian ini dengan semaksimumnya. Usah peduli mata liar yang memerhati. Paling penting, maklumkan lokasi terkini serta lokasi yang bakal anda kunjungi kepada kenalan dan saudara mara di Malaysia. Dan, ikut gerak hati bagi mengelakkan bahaya yang mendepani.

Gambar: easyrock.com.ph
 
 
Comments