Rojak Daily Logo

Raya Checklist Untuk Orang Bujang

0
comments
Raya Checklist Untuk Orang Bujang
Wehooo! Raya datang lagi

Esok raya! Sebelum berangkat ke kampung halaman, pastikan semua kelengkapan raya anda kali ini tersedia.

Gambar: www.wonderfulmalaysia.com

1) Cuti raya dah approved!

Ini paling penting. Mungkin ada yang dah mohon cuti sebulan sebelum raya. Ada pula yang cuti baru approved semalam. Asalkan cuti diluluskan dengan baik, anda boleh pulang berhari raya dengan tenang dan gembiranya. Balik pejabat nanti siaplah kerja berlambak.

2) Tiket bas / kapal terbang pergi balik dah tersedia. Dan jika anda memandu kereta, pastikan kereta telah diservis

Boleh buat drama airmata kalau last minit baru nak cari tiket bas, tiket habis. Tiket kapal terbang pula kalau esok nak balik malam ni baru nak beli, harga melambung macam boleh pergi Paris. Jadi siapkan segalanya awal-awal. Bagi anda yang memandu pulang ke kampung, pastikan kereta siap diservis dan berada dalam keadaan baik.

3) Pastikan baju raya siap ditempah, diambil atau dibeli

Pada yang hantar tempah, pastikan dah siap dan diambil dan mana pula yang beli ready made tahun ini, jangan kelam-kabut nak beli malam raya. Buat anda yang recycle balik baju tahun lepas, tidak mengapa. Kami faham.

4) Biskut raya yang sudah anda tempah, sampai ke tangan

Kalau malas buat, kuih tunjuklah jawabnya. Tak pulang ke kampung halaman dengan tangan kosong? Pasti ada biskut raya yang anda tempah dari rakan sepejabat. Sebelum bercuti, ambil tempahan anda tu. Jangan senyap je sampai pagi raya baru ingat biskut tak ambil lagi.

5) Duit raya sudah ditukar dan sampul raya dah ada

Kalau masa sekarang baru terhegeh-hegeh nak pergi bank tukar duit, mungkin kakak bank tu kirim salam je. Selalunya pertengahan Ramadan, khidmat tukar duit raya telah dibuka oleh pihak bank. Sampul raya juga penting. Tak payah beli, ambil sahaja sampul raya syarikat anda bekerja. Kalau tiada, mintak pada kawan-kawan.

6) Dah bermaafan dengan semua teman serumah, teman sekerja sebelum pulang ke kampung

Jika ada yang bermasam muka, terguris hati, maafkanlah. Andai terhabiskan kicap, terpecahkan telur, tercuri mee maggi, ampunkanlah. Semoga ikatan persahabatan anda terus terpelihara.

7) Duit balance gaji selepas raya mencukupi

Jangan terlalu asyik berbelanja sampai habis gaji sebulan. Ingat, ada minggu lagi selepas raya sebelum tiba gaji yang seterusnya. Uruskan kewangan anda dengan baik untuk mengelakkan masalah makan serdak biskut raya setiap hari selepas raya nanti.

8) Keselamatan rumah ketika pulang beraya

Sebelum pulang beraya, maklumkan pada jiran tetangga yang anda akan pulang ke kampung dan kembali pada hari apa. Minta jasa baik jiran-jiran yang beraya di kawasan kejiranan tersebut untuk tengok-tengok rumah anda. Selain itu, simpan nombor kecemasan jika anda mengetahui sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Manalah tahu, malang tidak berbau.

 
 
Comments