Rojak Daily Logo

10 Festival Dunia Wajib Pergi dan Cara Untuk Ke Sana!

0
comments
10 Festival Dunia Wajib Pergi dan Cara Untuk Ke Sana!
Sambutan festival Holi (Gambar: happyholiwishes-2016.com)
Saksikan sendiri beberapa festival menarik di negara serata dunia yang menghimpunkan jutaan manusia. Tanda kalender anda dan rasakan pengalamannya.
 
Gambar: www.telegraph.co.uk

Karnival Rio de Janeiro – Brazil (Februari atau Mac)
Ini adalah di antara karnival paling meriah dalam dunia! Dianggar hampir 2 juta pengunjung berkumpul di jalanan untuk menyaksikan acara ini. Karnival ini adalah yang paling tua di Brazil iaitu mula diadakan sejak tahun 1823. Di dalam karnival ini, ia dipenuhi dengan acara perarakan kereta berhias, tarian samba dan sebagainya.

Cara untuk ke sana:
Dari Kuala Lumpur, anda boleh mengambil penerbangan Etihad ataupun KLM dan terus terbang ke Rio de Janeiro, Brazil.


Gambar: edition.cnn.com
Festival ais dan salji Harbin – Harbin, China (5 Januari – 5 Februari)

Pameran ini menempatkan ukiran ais dan salji yang cukup indah dan menawan di dalam dunia. Setiap tahun, ais dan salji ini dibina mengikut bentuk yang berbeza dan dihiasi dengan lampu, cahaya dan juga laser. Anda tidak harus melepaskan peluang untuk ke Harbin dan nikmati sendiri keasyikan arca dan ukiran ini. 

Cara untuk ke sana:
Anda boleh memilih penerbangan Air China secara terus dan turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Harbin Taiping.
 

Gambar: www.seattleglobalist.com
Dia de Los Muertos (Day of the Dead) – Mexico (2 November)
Day of the Dead merupakan hari cuti di negara Mexico kerana pada hari tersebut, semua orang berkumpul bersama keluarga dan teman-teman untuk memperingati mereka yang telah meninggal dunia. Bagi menghormati si mati, seluruh bandar dihiasi dengan tengkorak dan pelbagai barangan berunsur kematian serta mereka yang menyambutnya boleh memakai seperti si mati. Anda boleh terbang ke mana-mana sahaja bandar di dalam Mexico untuk sama-sama merasai suasana festival ini. 
 

Cara untuk ke sana:
Ada penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar Mexico dengan menggunakan pelbagai penerbangan seperti British Airways, KLM dan juga Cathay Pacific. Namun, kebanyakkannya akan berhenti transit di dua destinasi sebelum terus sampai ke Mexico. Kebanyakkan penerbangan mengambil masa lebih dari 24 jam.
 

Gambar: boston.com

Running of The Bulls – Pamplona, Sepanyol (Julai)
Pamplona adalah ibu negeri bagi Navarre, Sepanyol. Kebiasaannya, enam hingga 12 ekor lembu jantan digunakan bagi festival ini. Lembu jantan yang digunakan adalah dari baka Toro Bravo. Festival dikejar lembu jantan ini diadakan di jalanan dimana semua perlu berkumpul dan menunggu roket pertama dilepaskan pada jam 8 pagi untuk pemberitahuan, pintu lembu jantan akan dibuka. Roket kedua pula akan dilepaskan bagi memberitahu enam lembu telah dilepaskan. Roket ketiga akan dilepaskan bagi memberitahu semua lembu telah memasuki kawasan jalanan dan seterusnya setelah tamat acara, roket keempat dilepas bagi menandakan lembu jantan telah dimasukkan ke dalam kandang. Setiap tahun hampir 200 ke 300 orang cedera akibat daripada asakan lembu jantan dan rempuhan manusia. Berani untuk anda cuba?

Cara untuk ke sana:
Anda boleh menggunakan penerbangan KLM dan Qatar Airways untuk ke Sepanyol tetapi anda perlu memilih untuk turun di Barcelona atau pun Madrid. Kemudian, naik pengangkutan awam untuk sampai ke bandar Navarre.
 

Gambar: igotravel.info

Festival Holi – India dan Nepal (Hujung Februari atau Mac)
Festival Holi ataupun pesta warna ini merupakan festival purba bagi penganut Hindu. Sambutan Holi dimulai dengan pembakaran Holika dimana semua orang berkumpul bagi acara keagamaan dan keesokan paginya, pesta warna ini diadakan. Setiap peserta akan bermain, berlari, mengejar sesama mereka sambil membaling serbuk berwarna-warni dan air berwarna. Pesta ini diraikan oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira orang asing, tua, muda, kaya atau miskin. Menariknya lagi, orang yang bukan berbangsa Hindu juga turut menyambut perayaan ini terutamanya di negara Asia Tenggara, Asia, benua Eropah dan juga Amerika.

Cara untuk ke sana:
Untuk penerbangan ke India atau Nepal, ada penerbangan tempatan yang menawarkan perkidmatan ke sana antaranya Malaysia Airlines, Air Asia dan juga Malindo Air.

Gambar: www.theapricity.com

Carnival of Venice – Venice, Itali (Diantara Februari dan Mac)
Tradisi karnival ini telah bermula sejak lebih 900 tahun dahulu. Melalui karnival ini, semua orang bebas untuk melalukan perkara-perkara yang mahu dilakukan sepanjang hidup tanpa sebarang rasa bersalah, terima kasih kepada topeng muka. Kemeriahan bandar Venice ketika karnival ini berlangsung adalah sangat meriah dimana ia dipenuhi dengan orang tempatan dan pelancong yang memakai topeng muka, kostum, ada kumpulan muzik, badut dan sebagainya. Terusan juga dipenuhi dengan bot yang disimbahi cahaya berwarna-warni dan malam di Venice ketika karnival ini sangat bercahaya. Bagi anda yang datang ke Venice untuk merasai pengalaman ini, anda akan terasa seumpama berada di dalam kisah klasik dongeng. 

Cara untuk ke sana:
Ada yang memilih untuk pergi ke Venice dari Lapangan Terbang Changi, Singapura kerana ada penerbangan terus ke Venice. Anda akan turun di Lapangan Terbang Marco Polo dengan menggunakan penerbangan Etihad, KLM ataupun British Airways.
 

Gambar: www.emlii.com

Festival Tanglung Pingxi – Taiwan (Februari)
Festival ini menjadi saksi langit gelap di daerah Pingxi di Taiwan dihiasi ribuan cahaya tanglung. Mengikut tradisi, festival ini disambut bagi meraikan perginya unsur-unsur kejahatan di bandar Pingxi. Jadi, tanglung-tanglung ini dilepaskan sebagai pemberitahuan bahawa bandar ini sudah selamat. Menariknya lagi, tanglung ini turut diletakkan pelbagai ucapan, gambar dan dilepaskan di langit malam dan menjadikan suasananya cukup indah.

Cara untuk ke sana:
Malaysia Airlines dan Air Asia X ada menawarkan penerbangan terus ke Taipei. Apabila tiba di Taipei, anda boleh menaiki kereta api untuk ke bandar Pingxi. Taiwan mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik di rantau Asia.
 

Gambar: www.latomatina.org

La Tomatina – Sepanyol (Hari Rabu terakhir bulan Ogos)
Satu keadaan bagi menerangkan festival ini, merah! Festival yang wajib anda hadir ini diadakan di bandar Bunol, berdekatan Valencia di Sepanyol. Perang tomato ini memerlukan anda membaling, melenyek, memecah dan mengotorkan orang lain dengan tomato segar yang disediakan untuk tujuan berhibur. Tomato yang digunakan diambil dari kawasan Extremadura dimana ia lebih murah harganya. Kerajaan tempatan Bunol telah menetapkan beberapa peraturan bagi perang tomato ini antaranya, dilarang membawa objek keras dan membaling apa-apa barang selain tomato. Kemudian, anda harus menghancurkan tomato tersebut dahulu sebelum membalingnya kepada orang lain. Selain itu, jangan sesekali mengoyakkan baju orang lain. Anda juga harus memberi laluan kepada lori yang membawa tomato ke jalanan dan terakhir, apabila kedengaran bunyi tembakan, maka acara tamat dan anda harus berhenti membaling tomato. 

Cara untuk ke sana:
Untuk ke festival ini, anda boleh terus ke Valencia dan menginap disana. Dari bandar Valencia ke bandar Bunol adalah sejauh 30km. Dengan menggunakan KLM atau Turkish Airlines, ada penerbangan dari Kuala Lumpur ke Valencia namun selalunya ia akan transit di Istanbul terlebih dahulu sebelum terus ke Valencia.


Gambar: thecottagesuvarnabhumi.com

Festival air Songkran – Thailand (13 – 15 April)
Sejarahnya, festival air ini jatuh pada hari yang paling panas di Thailand. Oleh itu semua orang keluar ke jalanan dan membaling air kepada sesama sendiri. Selain dijadikan sebagai acara tradisi dan kebudayaan, ia juga menarik pelancong asing yang datang ke Thailand semata-mata untuk menyertai festival Songkran. Anda boleh menggunakan apa-apa sahaja alatan untuk membaling air kepada orang lain antaranya pistol air, baldi, hos air ataupun menggunakan tangan sendiri. Hampir semua daerah di Thailand meraikan festival ini jadi terpulang kepada anda untuk menjelajah ke mana-mana daerah di Thailand. Jangan anda terkejut nanti apabila melihat gajah turut mengambil bahagian dalam festival ini dengan menyerbur air kepada orang ramai!

Cara untuk ke sana:
Banyak pilihan untuk anda ke Thailand antaranya Malaysia Airlines, Air Asia, Malindo Air dan juga Thai Airways. Bagi yang sukakan cabaran, anda boleh menggunakan kereta api dari KL Sentral untuk sampai ke Thailand namun ia memakan masa lebih dari sehari untuk sampai ke sana.


Gambar: www.festivalsherpa.com
Festival Tanglung Bunga Sakura – Jepun
Negara matahari terbit ini sememangnya meraikan musim bunga sakura. Festival ini diadakan di setiap daerah di Jepun. Sepanjang festival ini, bandar dan taman-taman dihiasi dengan tanglung. Antara lokasi bagi festival Tanglung Bunga Sakura yang boleh anda lawati adalah:

- Festival Yaedake di Okinawa – Hujung Januari hingga pertengahan Februari
- Festival Matsuyama Shiroyama Koen di Matsuyama, Ehime – Awal April
- Festival Matsue Jozan Koen di Matsue, Shimane – Hujung Mac hingga awal April
- Festival Takato Joshi Koen di Takato-machi Ina-city, Nagano – Awal april
- Festival Takada Koen di Joetsu-city, Niigata – April
- Festival Kitakai Tenshochi di Kitakami, Iwate – Pertengahan April hingga awal Mei
- Festival Hirosaki di Hirosaki-city, Aomori – Awal Mei
 

Cara untuk ke sana:
Ada banyak penerbangan untuk ke Jepun antaranya Malaysia Airlines, Air Asia X, All Nippon dan Jetstar Japan. Anda boleh memilih untuk mendarat di Tokyo dan kemudiannya menaiki kereta api untuk ke bandar-bandar tersebut mengikut pilihan anda.

 
 
Comments