Rojak Daily Logo

Hargai Karya Street Art

0
comments
Hargai Karya Street Art
Street art bukan vandalisme. (Gambar: www.arch2o.com)

Street art adalah seni visual yang dilakukan di tempat awam. Seni yang turut digelar ‘seni provokasi’ ini semakin mendapat tempat setelah ledakan seni graffiti yang bermula pada tahun 1980. Street art sering didorong oleh keinginan artis untuk berkomunikasi secara langsung dengan orang awam melalui seni lukisan mereka. Artis street art sering kali menjadikan ruang kosong ini untuk mereka membentangkan isi berbentuk sosial yang mengetengahkan nilai estetik dan jati diri mereka bagi menarik perhatian. Artis street art sering mengembara ke negara-negara luar untuk menyebarkan reka bentuk mereka. Sesetengah daripada mereka begitu mendapat perhatian media dan dunia terhadap hasil kerja dan gaya yang mereka persembahkan.

Disini kami menyenaraikan antara artis terkemuka di Malaysia:

CLOAKWORK

Anda boleh melihat hasil seni street art Cloakwork di sekitar Kuala Lumpur. Jejaka berusia 25 tahun ini mendefinisikan Cloakwork sebagai tersembunyi manakala work lebih melambangkan pergerakan. “Sepanjang bergelar pelajar ilustrasi, saya sering terfikir untuk membuat sesuatu yang luar biasa dan akhirnya, saya temuinya di dalam graffiti”, ujarnya. Menceritakan pengalamannya ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang street art, agak susah untuk dia melakar sesuatu bentuk yang diinginkan. Lebih mencabar apabila risau disalah anggap sebagai vandalisme namun setelah banyak melakukan kajian dan latihan, dia kini mampu tersenyum dan berbangga dengan hasil kerja yang cukup memukau. Cloakwork gemar melukis graffiti pada waktu malam tanpa disedari oleh sesiapa. Pendiriannya, konkrit kosong pada hari cerah, kerja-kerja cloakwork mula mengambil alih pada waktu malam dan hasilnya, seni graffiti berwarna-warni pada keesokkan paginya. Lebih gemar menggunakan tin spray, Cloakwork sering melakukan kajian terhadap warna dan komposisi. Menurutnya lagi, sebelum memulakan sebarang lakaran, dia akan mencari gambar yang menarik perhatiannya dan mula melakar berdasarkan gambar yang dipilih. Kemudian, dia akan merancang warna apakah yang sesuai untuk sesuatu objek yang telah dilakar. Menjadikan Low-Bros dan The Weird Crew sebagai inspirasi, Cloakwork berharap street art lebih diterima ramai, semakin berkembang dengan jayanya serta mampu membawa nilai-nilai positif kepada masyarakat dan negara. “Masyarakat kini boleh menilai sendiri seni graffiti dan cantik dan street art bukan vandalisme”, katanya lagi. Tebaru, dia telah mengembara ke Taiwan untuk Wallriors 2016, sebuah festival graffiti dan telah melukis sebuah street art yang terbesar dalam kerjayanya. Anda boleh melihat hasil street art Cloakwork di www.iamcloakwork.com/graffiti.

Karya street art Cloakwork

ESCAPEVA

Segalanya bermula secara tidak sengaja buat Escapeva.  Ajakan teman untuk mengecat taman papan luncur beberapa tahun dahulu telah bertukar menjadi minat. Escapeva bermula pada tahun 2006 dan mula serius untuk menjadi artis solo sepenuh masa pada tahun 2010. Escapeva turut mempunyai krewnya tersendiri iaitu KIS Crew.  Menggunakan rol pengecat dan cat spray sebagai bahan utama, Escapeva memulakan sesuatu proses street art dengan mencari subjek dan gambar rujukan. Kemudian dia akan membuat lakaran, merancang warna dan melukis grid pada dinding kosong sebelum memulakan lakaran dan lukisan.“Salah satu pencapaian yang membanggakan adalah apabila street art kami di tempat letak kereta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menjadi viral dan mendapat liputan banyak media. Satu lagi adalah di tebing sungai stesen LRT Dato Keramat dan Stesen Damai”, ujar Eki. Menjadikan artis tatu, artis jalanan, artis graffiti dan artis seni halus sebagai sumber inspirasi, Escapeva mahu menyampaikan mesej gembira, unsur penceritaan dan maksud tersirat dalam karya street art mereka. Mereka turut membuat lukisan berunsur provokasi namun ia dilukis di kawasan yang tidak terlalu terbuka kerana tidak mahu menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Apakah harapan Escapeva untuk street art di Malaysia? Harapan mereka cuma satu. Semoga artis-artis street art di Malaysia terkenal di seluruh dunia. Anda boleh melihat hasil karya Escapeva di fb.com/thegreatescapeva atau di Instagram mereka, @escapeva.

Karya street art Escapeva

CRACKO ART GROUP

Cracko Art Group bermula dengan hasil usaha Craig @ Cracko, Anddy Romeo, Aniq Azrei dan Vivi Kartina yang ingin mendidik masyarakat tentang seni dan pada masa yang sama membantu badan kebajikan kanak-kanak di Kota Kinabalu pada tahun 2008. Pada tahun 2010, mereka mengecat sebuah bangunan kebajikan terbiar dan hasil gabungan lapan artis street art ini  maka terbentuknya Cracko Art Group. Selain melakukan street art, ahli-ahli  Cracko Art Group juga berkebolehan dalam seni halus, ilustrasi, melukis kartun, seni grafik, jurugambar, pelukis mural, pemuisi, pelukis tatu, pembuat barang kemas, ahli muzik serta artis graffiti. Terpengaruh dengan program-program TV seperti MTV, sukan papan luncur, muzik hip hop dan muzik punk rock menjadi pencetus ilham kreatif mereka sentiasa mencuri perhatian. Menggunakan car aerosol dan cat dinding yang berkualiti tinggi sebagai bahan utama lukisan mereka, perbincangan amat penting dalam proses melukis street art. Cracko Art Group akan berbincang sesama mereka tentang idea, contoh lakaran, dan akhirnya setelah mencapai kata sepakat, semua idea itu segera direalisasikan di ruangan kosong. Paling membanggakan apabila projek anjuran Petronas yang dipanggil #TANAHAIRKU telah dianjurkan di Johor, Kuching serta Kota Kinabalu dan Cracko Art Group telah dipilih untuk mewakili Kota Kinabalu. Rekaan mereka telah diluluskan oleh pihak Petronas dan pemilik Wisma Sabah lalu terbentuklah lukisan yang cukup cantik hasil karya Anddy Romeo, Aks Kwan dan Harold Egn. Tidak terhenti disitu, pada tahun 2011, Cracko Art Group turut dianugerahkan anugerah galakan rantau asia di dalam sebuah pertandingan graffiti 'IRONLAK' di Australia. Karya installation art mereka "Journey to Happyland" yang dilukis di bangunan warisan telah menerima liputan daripada majalah IM pada tahun 2012. Terbaru, pada tahun 2015, mural mereka bertajuk “In Solidarity with Everyone on Mount Kinabalu” juga telah menjadi viral dan menerima banyak liputan media tempatan dan antarabangsa. Bagi Cracko Art Group, mereka berbangga apabila mendapat tempat dalam industri street art di Malaysia. Mengharapkan lebih banyak projek dan kolaborasi besar-besaran, Cracko Art Group mahu memupuk semangat hormat-menghormati sesama insan dan lebih berjaya pada masa akan datang.

 

Karya street art Cracko Art Group

Gambar: chocomintsnow.blogspot.my

Street art popular serata dunia:

 

Berlin, Jerman

Cape Town, Afrika Selatan

LA, California

Moscow, Rusia

Lodz, Poland

Lisbon, Portugal

Istanbul, Turki

 
 
Comments