CLOSE
CLOSE

Selain signboard IPOH, Ini 10 Tarikan Best Di Ipoh!

Tunggu apa lagi, dekat je!


  • Share:

Selain signboard IPOH, Ini 10 Tarikan Best Di Ipoh!
Gambar: Tourism Perak dan Mohd Zairi Mohamad Rozali

Masih mencari-cari tempat untuk dilawati menjelang cuti nanti? Ipoh, Perak sedia menanti kedatangan anda dengan pelbagai tarikan. Terletak di kawasan tengah, ia cukup mudah dilalui dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ataupun kemudahan kenderaan awam seperti kereta api. Ipoh merupakan destinasi permai untuk anda menenangkan fikiran dan lari dari kesibukan ibu kota. Istimewanya lagi, Ipoh telah tersenarai di tangga keenam bagi tempat paling best untuk dilawati di Asia oleh Lonely Planet. Jadi apa tunggu lagi, sahut cabaran Visit Perak 2017 dan Discover Perak, jom kenali Ipoh dengan lebih dekat!

1) Pekan Lama Ipoh

Salah satu mural di Pekan Lama

Jika mural dinding cukup terkenal di Pulau Pinang, tidak kurangnya juga di Ipoh. Artis Ernest Zacharevic yang berkarya di dinding Pulau Pinang turut mencantikkan dinding-dinding di Ipoh dengan muralnya. Terdapat lapan mural yang terletak di Pekan Lama Ipoh dan anda boleh berjalan kaki bagi mencari lapan lukisan ini. Selamat berjaya.

  • Paper Plane (4.598776 N, 101.077827 E)
  • An Old Uncle Drinking Coffee (4.59843 N, 101.078542 E)
  • A Yellow Hummingbird (4.596715 N, 101.078483 E)
  • A 'Kopi' Break (4.596771 N, 101.078612 E)
  • A Bag Of Coffee (4.595918 N, 101.078195 E)
  • Girl On A Wall In Bandar Timah (4.59691 N, 101.078152 E)
  • Old Town Relives Nostalgia With Trishaw (4.59531 N, 101.078511 E)
  • Tin Mining Town With Chinese-Style Painting (4.5964 N, 101.079252 E) 

2) Stesen Keretapi Ipoh 

Seni binanya yang cantik

Turut dipanggil Taj Mahal Ipoh, seni bina stesen keretapi Ipoh menjadi tarikan utama bagi bangunan ini. Direka oleh Arthur Benison Hubback, seni bina Inggeris lama dengan sentuhan moden dan dikelilingi oleh keindahan taman bunga cukup digemari pelancong apabila ke bandar Ipoh. Selain Stesen Keretapi Ipoh, dua lagi bangunan yang mempunyai seni bina yang sama adalah Dewan Bandaraya Ipoh dan Mahkamah Tinggi Ipoh yang terletak hanya diseberang Stesen Keretapi Ipoh. 

3) Padang Ipoh

Mercu tanda Padang Ipoh

Sesuai bagi anda yang mahukan suasana hijau di waktu petang, Padang Ipoh boleh dijadikan tapak rekreasi untuk anda sekeluarga menghirup udara segar. Terletak di hadapan salah satu sekolah premier di Ipoh, SMK St Michael, masjid India Muslim Ipoh serta bangunan ikonik HSBC Ipoh, kawasan ini sering menjadi tumpuan pengunjung melakukan aktiviti ataupun berjalan kaki melihat kawasan sekeliling.

4) Concubine Lane

Meriah diwaktu hujung minggu

Concubine Lane akan membawa anda ke tahun 1892 dimana pekan lama Ipoh dibina semula pada tahun 1892 selepas hagus terbakar. Concubine Lane merupakan beberapa lorong kedai yang masih mengekalkan seni bina dan kenangan terdahulu. Hujung minggu adalah waktu yang paling meriah di Concubine Lane dimana anda boleh membeli pelbagai cenderamata, makanan, ais kepal, tau fu fah, gula kapas dan sebagainya. Di kawasan ini juga terletak banyak kafe-kafe hipster tumpuan muda mudi serta butik hotel dengan ciri unik masing-masing.

5) Movie Animation Park Studios (MAPS) 

Pintu utama MAPS

26 Jun ini merupakan tarikh dimana tarikan terbaru di Ipoh, MAPS akan dibuka pada umum. MAPS terletak di bandar Meru, bersebelahan dengan Tol Jelapang. Terdapat hampir 23 tarikan di dalam MAPS ini sahaja dan ia meliputi enam zon taman tema dan 15 permainan yang mendebarkan. Sesuai untuk mereka yang gemarkan ledakan adrenalin serta keluarga yang mahu membawa anak-anak mereka berhibur, pastikan anda mengunjungi MAPS apabila ia dibuka kelak. Walaupun masih belum dibuka, anda boleh menempah tiket awal MAPS disini.

6) Kinta Riverfront

Kinta Riverfront pada waktu malam.

Mini I-City ini juga terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh. Bukan sahaja dilimpahi cahaya berwarna-warni lampu LED, Kinta Riverfront terletak di persisiran Sungai Kinta dan menjadi destinasi keluarga dan muda-mudi menghabiskan malam mereka. Selain menikmati keindahan cahaya LED yang menerangi pokok-pokok, terdapat juga restoran-restoran untuk anda menjamu selera. Penat berjalan, anda boleh cuba aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Kinda Riverfront dan Taman DR Seenivasagam. 

7) Lost World of Tambun (LWOT)

Pintu utama Lost World of Tambun

Antara taman tema air yang popular di negeri Perak selain Taman Tema Bukit Merah di Taiping, LWOT menawarkan pelbagai aktiviti riadah bukan sahaja taman tema air, malah kolam air panas, spa mewah, restoran klasik serta zoo safari. Terletak tidak jauh dari exit Tambun atau Ipoh, kawasan LWOT ini dikelilingi banjaran batu kapur, rimbunan pokok menghijau, persekitaran yang mendamaikan dan ia amat sesuai buat anda yang inginkan kedamaian menenangkan.

8) Taman Rekreasi Gunung Lang

Tasik yang dikelilingi bukit batu kapur

Taman RekreasiGunung Lang amat terkenal bagi warga Ipoh dan inilah masanya ia turut menjadi tarikan bagi pengunjung luar. Terletak lima kilometer dari bandar Ipoh, Gunung Lang merupakan banjaran gunung batu kapur di tengah Lembah Kinta. Lebih tertumpu pada eko pelancongan, Taman Reksreasi Gunung Lang menawarkan bot untuk anda merentasi tasik Gunung Lang. Tiba diseberang, anda akan disambut dengan pelbagai jenis rumah lama, tumbuhan serta binatang yang dibela untuk tujuan penyelidikan. Taman Rekreasi Gunung Lang juga sering menjadi tempat pasangan pengantin baru mengabadikan gambar kenangan mereka.

9) Kuil Sam Poh Tong

Rekaan dalamannya

Sebuah kuil gua yang cukup terkenal di Ipoh, Kuil Sam Poh Tong terletak di Gunung Rapat, 5km dari pusat bandar Ipoh. Dikatakan kuil gua terbesar di Malaysia, ia menempatkan pelbagai patung Buddha diantara stalaktit dan stalagmit. Dengan sedikit pendakian 246 anak tangga, anda akan bertemu dengan pintu gua yang permandangan persekitaran bandar Ipoh. Selain kuil, terdapat tasik ikan koi dan kura-kura untuk tumpuan anda.

10) Makanan Ipoh

Taugeh Ipoh yang terkenal

Sebut sahaja Ipoh, pasti anda telah terbayang keenakan sajiannya. Kami jamin, anda tidak akan sesekali berlapar dan terdapat pelbagai menu untuk anda cuba setiap hari. Antara yang paling popular jika pegunjung ke Ipoh sudah tentu nasi ganja Yong Suan, tau fu fah Funny Mountain, kuewtiaw kicap Mat Jasak, Nasi Ayam Hainan, laksa Padang Polo, chee cong fun Hollywood dan banyak lagi. Namun tahukah anda, selain semua makanan ini, taugeh Ipoh amat terkenal kerana rasanya yang manis, berjus dan padat. Rahsianya, disirami dengan air dari gunung batu kapur di sekitar kawasan Ipoh yang memberi cukup khasiat pada taugeh ini agar tumbuh sihat. Anda harus mencuba aneka masakan taugeh dan rasakan sendiri kesegaran dan keenakan taugeh khas dari Ipoh. 


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top