Rojak Daily Logo

Al-Quran Braille, Braillet Malaysia Bantu OKU Buta Thailand Membaca, Menulis

Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan menerusi satu acara jelajah.

0
comments
Al-Quran Braille, Braillet Malaysia Bantu OKU Buta Thailand Membaca, Menulis
Al-Quran braille dan braillet antara sumbangan daripada PPTD Malaysia kepada golongan OKU cacat penglihatan di Thailand. (Gambar: PPTD)

Lazim kita tahu golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami cacat penglihatan kebanyakkan daripada mereka mencari rezeki dengan menjual tisu dan melakukan khidmat mengurut. Namun, tanpa kita sedar mereka juga masih mempunyai semangat untuk membaca dan menulis meskipun berdepan kekurangan.

Di sini, stok al-Quran braille untuk kegunaan Muslim yang cacat penglihatan masih mencukupi tetapi tahukah kita di negara jiran seperti Thailand, golongan ini sukar mendapatkan kemudahan ini kerana kos produk tersebut sangat mahal. Senaskhah al-Quran braille di sana berharga RM5,000 berbanding RM1,000 termasuk dengan terjemahan di sini.

Pengarah Projek, Jelajah CSR PPTD: Misi Al-Quran Braille Putrajaya - Bangkok 2017, Khairul Azar Omar berkata, Kedutaan Malaysia di Bangkok menyedari pemasalahan ini sebelum mencadangkan satu acara konvoi diadakan untuk membantu golongan ini.

"Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) sudah banyak kali mengadakan siri jelajah dan projek al-Quran braille ini adalah yang pertama untuk projek ke luar negara buat kali ketiga. Matlamat acara ini adalah mengumpul dana untuk menyumbang al-Quran Braille kepada golongan OKU cacat penglihatan.

"Disebabkan kos pengeluaran al-Quran braille di sana sangat mahal, jadi kita membelinya di sini sebelum membawanya ke sana. Sumbangan ini dijangka dimanfaatkan golongan terbabit di beberapa masjid dan pertubuhan di sana. Sebanyak 100 naskhah akan disumbangkan dan ia dijangka boleh digunakan selama 2 tahun," katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw! pada sidang media acara tersebut di Ampang, Selangor, semalam.

Sebanyak 10 lokasi perhentian untuk memberi sumbangan berupa al-Quran braille, braillet, bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, tudung dan bantuan makanan.

Tambahnya, mengikut perangkaan terdapat 20,000 golongan buta di Thailand. Masalah lain yang turut dikenal pasti adalah golongan istimewa ini mempunyai keinginan menulis tetapi tiada alat khusus. Justeru, menerusi satu inovasi dicetuskan Persatuan Braille Malaysia yang mendapat kelulusan SIRIM, satu teknologi terbaru dikenali Braillet diperkenalkan untuk kegunaan golongan ini.

"Braillet ini berharga RM30 setiap satu dan ia mempunyai fungsi sama untuk menulis iaitu dengan pen khas dan memasukkan kertas untuk menulis. Dalam acara jelajah ini juga kami membeli 500 braillet untuk dibawa ke sana," katanya.

Jelasnya, acara jelajah ini suatu yang istimewa diadakan bersempena meraikan 60 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Thailand. Menariknya, acara ini yang akan bermula pada 26 April ini selama 6 hari turut disertai 40 pegawai tabir dan diplomatik bersama penaja sebagai rakan strategik, beberapa kementerian dan jabatan kerajaan lain, institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta lain.

Sebanyak 10 lokasi perhentian untuk acara ini untuk memberi sumbangan berupa al-Quran braille, braillet, bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, tudung dan bantuan makanan iaitu di Masjid Putra (Putrajaya), Masjid Osmaniyah Padang Besar (Perlis), Konsulat General Malaysia (Songkla), Yayasan Pusat Islam Thailand, Pejabat Gabenor (Bangkok), Pejabat United Nations Development Program (UNDP), Masjid Assoris Sunnah (Bangkok), Kedutaan Besar Malaysia (Bangkok), Sheikul Islam Thailand dan Masjid Kamalul Islam (Nongchok).

 
 
Comments



Back to top