Rojak Daily Logo

"Kenakalan Melampau, Gemar Ketuk Kepala Antara Simptom Autisme" - Ahmad Idham

Pengarah filem terkenal ini menubuhkan Eden Firdaus Centre for Special Education membantu kanak-kanak autisme.

0
comments
Ahmad Idham menyatakan struktur dan silibus Eden Firdaus Centre for Special Education diambil dari Saint Clare School for Special Educations, Singapura yang sudah terbukti berjaya sejak 20 tahun lalu. (Gambar: Eden Firdaus Centre for Special Education - Facebook)

Isu yang mungkin dianggap remeh bagi segelintir ibu bapa tetapi ia adalah perkara penting yang sepatutnya diberi perhatian sekiranya mempunyai anak yang cenderung ke arah ciri-ciri autisme. Mungkin juga tidak ramai yang tahu kanak-kanak yang tidak fokus dan memberi respons ketika bercakap, kenakalan melampau, gemar ketuk kepala dan memukul orang lain antara simptom yang boleh menjurus pada autisme.

Menyedari kepentingan memberikan pendidikan khas pada golongan autisme bermula di peringkat awal, pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mewujudkan 'Eden Firdaus Centre for Special Education' yang beroperasi di Kota Damansara,Petaling Jaya, Selangor sejak setahun lalu.

"Memang ibu bapa yang ada anak autisme sentiasa mencari platform untuk meletakkan anak mereka di pusat pembelajaran khas seperti ini manakala ada pula ibu bapa yang tahu anak mereka mengidap autisme tetapi 'lost' dan hanya menunggu maklumat datang. Dua cara ini kami cuba dekati dan pada tahun lalu kami tidak agresif kerana mahu memperkukuhkan struktur dengan tenaga pengajar dan silibus," katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw!.

Tambahnya, silibus yang diajar di tempatnya sama seperti sekolah swasta lain iaitu mengikut kelas dari usia 3 sehingga 6 tahun, kelas junior (7 sehingga 12 tahun) dan kelas senior (13 tahun ke atas). Meskipun masih baru, struktur dan silibus di pusat ini diambil dari Saint Clare School for Special Educations, Singapura yang sudah terbukti berjaya sejak 20 tahun lalu.

Sehingga kini, pusat ini mempunyai 20 pelajar dan menariknya, ia turut menerima bantuan Dana Pendidikan Khas Negeri Selangor sebanyak RM100,000 yang bertujuan membantu pusat ini mengambil pelajar yang separa kemampuan untuk masuk ke sekolah ini yang turut diiktiraf sebagai salah sebuah pusat pembelajaran pendidikan khas terbaik.

Eden Firdaus Centre for Special Education menyediakan pakej lengkap iaitu belajar terapi dan kelas di bawah satu bumbung.

Tahap kesedaran mengenai autisme

Sempena sambutan hari autisme pada bulan ini, Ahmad Idham menganjurkan satu acara khusus, 'Mini Carnival for Autism Awareness' yang akan diadakan di Red Carpet Avenue, Strand Mall, Kota Damansara pada 29 April ini. Acara yang dijangka bermula jam 9 pagi menyediakan pelbagai program menarik seperti 10,000 langkah bersama ibu bapa, kanak-kanak autisme dan selebriti tempatan, pemberian dana kepada pelajar serta pelbagai permainan untuk kanak-kanak.

"Kami juga akan mengadakan khidmat kaunseling secara percuma kepada ibu bapa dan pengunjung mengenai autisme. Ibu bapa sebenarnya tahu tahap kesedaran mereka kurang mengenai autism seolah hidup dalam menidakkan anak mengidap autisme sehingga ada juga yang menyorok kerana malu selain faktor kewangan dan kurang pendedahan ilmu berkaitan.

"Jika 20 tahun lalu, mereka bercakap tidak tahu mengenai autisme, kita boleh terima tetapi pada hari ini di zaman teknologi apabila kita boleh mendapat maklumat menerusi telefon bimbit, ia menjadi agak mustahil berkata tak tahu melainkan ibu bapa itu sendiri tidak mahu mengambil tahu,"katanya.

Ahmad Idham menyatakan khidmat kaunseling secara percuma kepada ibu bapa dan pengunjung mengenai autisme turut diadakan.

Jelasnya, ibu bapa tidak boleh hanya mengharapkan program kesedaran sebegini untuk tahu lebih lanjut mengenai autisme tetapi sepatutnya lebih pantas mencari jalan penyelesaian apabila menyedari anak tidak normal berbanding kanak-kanak biasa yang lain.

"Ibu bapa boleh bermula pergi berjumpa doktor. Jika kanak-kanak berusia 2 tahun tidak boleh bercakap,dia ada sesuatu yang kita risaukan. Ciri-ciri asas mengenai autisme perlu kita tahu dan tak perlu belajar tinggi.

"Menerusi Eden Firdaus, kesannya kita boleh nampak apabila ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini bercakap mengenai tempat ini dan mereka juga memberi rekomen pada orang lain. Mereka memberi publisiti kerana ibu bapa sendiri nampak hasil anak mereka bagaimana.

"Malah, ada anak-anak ini yang bersedia masuk sekolah aliran biasa. Namun, selalu kebanyakkan kanak-kanak yang kami ambil sudah terlewat seperti ada berusia 12 tahun dibandingkan luar negara, diagnosis perlu bermula seawal 3 tahun," katanya.

Pengarah filem popular, Hantu Bonceng dan Jangan Pandang Belakang ini juga menyatakan kewujudan Eden Firdaus bukan mahu bersaing dengan sekolah pendidikan khas lain tetapi sebagai alternatif pada ibu bapa untuk mendidik anak-anak yang mengidap autisme. Yuran dikenakan antara RM1,500 sehingga RM2,500 sebulan bergantung pada dianogsis permasalahan kanak-kanak itu.

"Kos agak tinggi kerana ia adalah swasta dan saya bawakan sekolah taraf antarabangsa dalam pendidikan khas ini seperti cara anak-anak ini belajar, diberi perhatian, silibus dan guru berbeza. Di sini, kami menyediakan pakej lengkap iaitu belajar terapi dan kelas di bawah satu bumbung," katanya.

 
 
Comments



Back to top