Kisah Benar 35 Pelajar Sekolah Kampung Tunjang Filem Adiwiraku

Jalan ceritanya cukup kuat tanpa perlukan pelakon gred A.


  • Share:

Kisah Benar 35 Pelajar Sekolah Kampung Tunjang Filem Adiwiraku
Gambar: YouTube

Jika dikupas dari sebuah kisah benar, pasti filem itu akan meninggalkan kesan pada diri kita. Adiwiraku, kisahnya cukup ringkas. Menjadikan kegigihan 35 orang murid sebuah sekolah kampung dalam menyertai pertandingan choral speaking peringkat negeri dan usaha dua orang guru bahasa Inggeris dalam mendidik mereka tanpa lelah. Melihat pada trailernya sahaja, membuatkan kami ternanti-nantikan filem ini di pawagam yang telah menemui penonton pada 9 Mac (semalam).

Berkesempatan menemui pengarah filem Adiwiraku, Eric Ong, penerbit, Jason Chong dan pelakon utama, Sangeeta Krishnasamy, jelas mentafsirkan mesej mereka disebalik filem ini, adiwira sebenar adalah diri anda sendiri. Bagi Sangeeta, percubaannya dalam menjadi tunjang utama filem bahasa melayu memberikan kepuasan. Bagi seorang pelakon yang bukan siapa-siapa dan dikenali menerusi karya tamil lokal, ini merupakan kejayaannya yang terbesar.

Membawakan karakter yang masih hidup, cikgu Cheryl Ann Fernando sekaligus cemerlang menjulang nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal, Sangeeta agak gementar. “Rasanya ramai orang tahu pasal cikgu Cheryl selepas kisahnya dan SMK Pinang Tunggal menjadi viral. Dia berjaya kumpulkan 35 orang pelajar, berlatih dan menang pertandingan choral speaking adalah satu perkara yang luar biasa. Pada mulanya, saya sendiri ragu-ragu pada kemampuan diri, boleh ke saya membawakan watak dominan ni. Tapi sebagai pelakon, saya sememangnya idamkan watak sebegini dan sahut cabaran untuk memberikan sepenuh keadilan pada watak cikgu Cheryl”, jelas Sangeeta.

Gambar: Eksentrika

Menurut Sangeeta lagi, "saya sendiri nak tahu siapa sebenarnya cikgu Cheryl bila tahu saya akan membawa watak ini. Jadi saya buat kajian tentang cikgu Cheryl, cari dia di laman sosial, YouTube dan sebagainya. Saya pelajari bagaimana untuk menjadi seorang cikgu Cheryl yang begitu disayangi dan menjadi idola oleh murid SMK Pinang Tunggal. Konon sudah bersedia menggalas watak tersebut, saya agak takut untuk mengetahui penerimaan pelajar-pelajar cikgu Cheryl terhadap saya. Jadi bila pertama kali menjejakkan kaki ke sana, bertemu sendiri dengan 35 orang pelajar ini, penerimaan mereka sangat baik. Mereka menerima saya dengan tangan yang terbuka. Di samping itu, mereka juga ajar saya macam mana gaya cikgu Cheryl mengajar, berjalan dan macam mana cikgu Cheryl lipat lengan baju kurung pun mereka ajar saya. Jadi jelaslah mereka begitu sayang, menyanjungi dan baik dengan cikgu Cheryl dan menerima saya untuk membawakan watak cikgu kesayangan mereka. Mereka ternyata memberikan saya inspirasi untuk menjayakan watak ini dengan sebaiknya".

Cikgu Cheryl Ann Fernando bersama pelajarnya. (Gambar: Aforadio)

Bagi tuan pengarah, Eric Ong, memilih kisah benar untuk difilemkan adalah keputusan sebulat suara diantara dirinya dan penerbit eksekutif, Jason Chong. Tertarik dengan jalan cerita kisah benar yang begitu menyentuh hati membuatkan Eric memilih untuk menggarap Adiwiraku sebagai filem pertama arahannya.

“Cerita tentang sekolah sangat dekat dengan diri kita kerana setiap daripada kita pernah melalui pengalaman manis pahit ketika di sekolah. Pemilihan pelajar sekolah berlakon dengan tanpa sebarang pengalaman seharusnya dipuji. Pada mulanya saya agak was-was dengan keupayaan mereka namun segala jangkaan saya meleset apabila dengan hanya empat hari bengkel lakonan, mereka boleh memberikan komitmen, berdedikasi, berdisplin dan menjayakan watak dengan cemerlang. Ibu bapa mereka juga memberikan sokongan yang padu.”, ujarnya.

Gambar: YouTube

Menurut Eric lagi, mesej yang ingin disampaikan cukup jelas agar ia dapat memberikan inspirasi pada seluruh rakyat Malaysia. Mereka turut menerima banyak komen positif terhadap filem ini sejak dari trailer Adiwiraku disiarkan hinggalah sekarang. Kekuatan filem Adiwiraku terletak pada jalan ceritanya sendiri tanpa memerlukan pelakon kelas A. Inilah masanya masyarakat dihidangkan dengan sebuah bingkisan yang jujur, segar dan membanggakan. Selain Sangeeta, antara pelakon yang menjayakan Adiwiraku ialah Xavier Fong sebagai Cikgu Constant Wong, Fara Safwan sebagai Kemboja dan Wan Azlyn sebagai Alia serta 60 orang pelajar sebenar di SMK Pinang Tunggal.

Penerbit eksekutif merangkap penulis skrip, Jason Chong juga meyakinkan kami bahawa adiwiraku itu sendiri ada dalam setiap individu, kita sendiri boleh jadi superhero jika kita ingin berubah ke arah yang positif. Menceritakan pengalamannya sepanjang proses penggambaran, banyak cabaran yang pasukan Adiwiraku harungi namun segalanya berjalan dengan lancar dan memakan masa yang singkat. Tambah Jason, "harapan kami untuk filem ini setinggi gunung. Kami tahu risiko buat filem yang dianggap tidak komersil seperti ini tapi berilah kami peluang untuk tonjolkan setiap elemen komersil yang kami ada. Kami adun filem ini dengan gelak ketawa, kasih sayang dan air mata untuk penonton ambil secukup rasa. Bagi penonton yang mahukan sesuatu yang berbeza dan segar, sokong filem ini di pawagam". 

Gambar: YouTube

"Sakit itu sementara. Kegemilangan itu selamanya"

Ini pula respon netizen terhadap filem Adiwiraku setelah berada di pawagam bermula 9 Mac:


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top