Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

[Eksklusif] Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai

Adman Salleh mahu pengarah filem banyak melakukan rujukan dan kajian filem terdahulu.

0
comments
[Eksklusif] Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai
Adman Salleh menyatakan faktor persekitaran menjadikan pembikin filem memilih dasar Islam sekular kerana sejarah negara pernah dijajah.(Gambar: Rojak Daily Kaw! dan FDAM)
Pemikiran pembikin filem tanah air sama ada produser mahupun pengarah berpaksikan kemajuan filem di Barat sebenarnya menjadikan filem tempatan terus gagal untuk dijual dan diterima penonton antarabangsa. Perkara itu ditekankan pengarah terkenal, Adman Salleh menyatakan kebergantungan pada pandangan penonton di Barat memberi kesan filem tempatan yang dihasilkan tidak jelas.

"Kemajuan Barat sendiri sebenarnya datang dari Islam dan kita sendiri tidak pernah mempersoal tetapi hanya mengikut saja 'world view' ini. Sebagai contoh, Jepun mempunyai identiti dan 'world view' kuat sebaliknya kita cuba menjadi darai dengan mencari peluang atau lompong untuk diisi. Malah, kita lebih suka jadi pengikut kononnya kita mesti pergi ke antarabangsa dengan memperbesarkan pasaran.

"Korea dan Thailand tidak buat macam itu tetapi diterima ramai kerana mesti ada kelainan. Kita pula belum matang tetapi mengambil acuan Barat sehingga menghantar filem pergi ke Cannes dan Sundance walhal Amerika Syarikat membuka kilang kasut di China dan Indonesia yang kemudian dijual ke serata dunia. Hakikatnya, kita hanya boleh buat filem pondan atau darai," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Rojak Daily Kaw! di Hulu Klang, Selangor, kelmarin.

Filem tempatan belum matang tetapi mengambil acuan Barat sehingga menghantar filem pergi ke Festival Filem Cannes. (Gambar: champions-speakers)

Tambahnya, faktor persekitaran menjadikan pembikin filem memilih dasar Islam sekular kerana sejarah negara pernah dijajah. Meskipun sudah wujud kesedaran untuk berubah tetapi perlu memulakan langkah seperti zaman pemerintahan Islam suatu ketika dulu.

Berbicara aspek 'lambakan' pengarah termasuk di televisyen yang kurang berpengalaman, beliau berpandangan televisyen seperti produk kilang yang sudah mempunyai acuan. Baginya, sesiapa saja boleh mengarah tetapi dalam menghasilkan karya berkualiti, perlu melakukan rujukan dan kajian secara mendalam terhadap filem terdahulu.

"Kita terikat dengan 'world view' negara luar. Begitu juga, industri perfileman dan drama televisyen seperti teknologi berubah sangat cepat. Apa jua teknologi, teknik, pendekatan dan strategi yang digunakan, kita kena buat dengan jelas.
 
"Mengapa Tan Sri P Ramlee membuat filem pertama mengenai Penarek Becha? saya rasa ia bukan ideanya kerana datang daripada kapitalis dan zaman kebangkitan komunis. Dalam 'opening scene' filem itu seolah tiada kaitan dengan cerita tetapi P Ramlee menggambarkan suasana jam 5 pagi apabila orang bergelimpang mencari nafkah, budak tak pakai kasut berlari dan ini semua adalah kapitalisme sedangkan kiblat kita bukan kapitalisme tetapi komunisme," ujarnya.

Filem Penarek Becha menggambarkan zaman kapitalis dan kebangkitan komunisme. (Gambar: listal)

Persoalan adakah P Ramlee seorang pengarah yang bagus, Adman menyatakan P Ramlee antara penghibur ketika zaman kegemilangan filem Melayu sejak pertengahan 50-an sehingga pertengahan 60-an termasuk M Amin yang tidak disedari ramai banyak memberi sumbangan seni pada ketika itu.

"Kita tidak pernah teroka secara mendalam mengenai sejarah seperti Quentin Tarantino ketika mengarah 3 filem tetapi ada 10 buku orang tulis mengenainya. Sebenarnya, apabila kita tonton filem Chuchu Datok Merah, isu cerita itu mengenai kisah pendatang menjadi orang kaya yang membawa pengaruh kapitalis. Zaman itu zaman sekular yang membuka kemasukan kaptalis pada tahun 1963 tapi orang tidak pernah kupas.

"Puncanya golongan elit kita belajar di Barat tidak diajar rahsia di sebalik ilmuan itu. Sebab apa P Ramlee membuat Penarek Becha kerana kebangkitan komunisme kemudian dalam filem Semerah Padi, ia kembali kepada pemerintahan Islam. Kita seolah hilang punca dan sekarang masuk semula kapitalisme kerana kita lupa asal kita disebabkan tidak pernah kupas atau mengkaji filem lama kita sendiri," katanya.

Adman yang juga pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali menerusi filem Bintang Malam dan Paloh menyatakan filem P Ramlee sepatutnya dijadikan bahan rujukan kepada pengarah filem dan drama. 

"Dalam filem Tiga Abdul, ia diejek terhadap kejatuhan pemerintahan Uthmaniyah di Turki. Situasi sebenarnya membentuk beliau ketika itu seperti kebangkitan sosialisme Datuk Usman Awang dan mogok Utusan Melayu. Sekarang kita terpaksa melahirkan pengarah darai yang tiada apa-apa akibat keadaan yang tidak membentuk mereka. Kita tidak boleh salahkan generasi sekarang kerana sejarah itu penting untuk dijadikan rujukan," katanya.

Filem P Ramlee sepatutnya dijadikan bahan rujukan kepada pengarah filem dan drama.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Biro Keahlian dan Undang-Undang, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Thorpe Ali menyatakan setiap pengarah di negara ini wajib menjadi ahli persatuan itu sebelum terbabit dalam mana-mana projek penggambaran. 

"Graduan yang ingin menjadi pengarah juga boleh memohon menjadi ahli bergantung kepada temuduga dan ujian bertulis yang disediakan FDAM. Apabila seorang pengarah itu mahu mengarah, dia wajib menjadi ahli persatuan ini jika tidak, dia tidak boleh mengarah. Sejak 1 Oktober tahun lalu, cop FDAM juga diperlukan pada Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum ia dikeluarkan. Ketika ini, FDAM mempunyai 1,150 ahli termasuk 800 Ahli Bersekutu dan 118 aktif mengarah," katanya.

Katanya, banyak isu membabitkan pengarah perlu diselesaikan seperti isu kira-kira 70 peratus ahli tidak aktif kerana tiada tawaran kerja baru yang berpunca isu pilih kasih produser dengan stesen televisyen, ego pengarah yang kurang berminat menimba ilmu dan kajian.


 
 
 
Comments



Back to top