Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Selebriti Menangis, Rasa Bersalah, Bersyukur Antara Pengalaman Sertai Misi Kemanusiaan

Seramai lima selebriti berkongsi pengalaman menarik mereka terbabit dalam aktiviti sukarelawan.

0
comments
Selebriti Menangis, Rasa Bersalah, Bersyukur Antara Pengalaman Sertai Misi Kemanusiaan
Faizal Tahir, Aizat Amdan dan Noh Hujan antara selebriti yang meraih peluang menyertai misi kemanusiaan #1moment4them membantu pelarian Syria di Jordan. (Gambar: One Moment For Them - Facebook)
Tragedi gempa bumi yang berlaku di Banda Aceh, Indonesia baru-baru ini yang mengorbankan 97 mangsa manakala 273 orang penduduk cedera menjadi satu lagi sejarah hitam pada masyarakat di negara itu. Apa yang berlaku tidak seharusnya dipandang sebelah mata tetapi ini juga adalah isu kemanusiaan global yang memerlukan perhatian masyarakat di seluruh dunia.

Namun, apakah peranan yang boleh kita lakukan. Selain sumbangan wang, kita juga sebenarnya boleh menyertai aktiviti sukarelawan yang memberi ruang pada peserta turun padang membantu mangsa yang terjejas.

Dalam konteks menarik perhatian orang ramai terhadap aktiviti sebegini, sukarelawan memerlukan penyertaan selebriti untuk turut serta. Selebriti berstatus popular yang mempunyai ramai peminat di media sosial mampu menghebahkan aktiviti misi ini yang dijalankan dan paling penting, terbabit sama menjayakan misi kemanusiaan di lokasi bencana.

Pelakon terkenal, Angelina Jolie dan Miley Cyrus serta vokalis band U2, Bono antara selebriti antarabangsa yang aktif menjalankan misi kemanusiaan. Bagaimana pula artis Malaysia? Kita juga sebenarnya mempunyai ramai artis tempatan terbabit menjalankan misi kemanusiaan ini meskipun ia bukanlah platform untuk melaram, glamor mahupun meraih bayaran lumayan. Berikut beberapa selebriti tanah air yang berjuang untuk membantu masyarakat dunia:

1. Faizal Tahir - Kanak-kanak Syria menangis dengar "Assalamualaikum"

Faizal Tahir bersama kanak-kanak penghuni Rumah Anak Yatim Serambi Melaka, Gampong Neuhun Aceh, Indonesia. (Gambar: iAMFAITHMEN - Facebook)

Penyanyi popular ini pernah berkunjung ke Banda Aceh beberapa bulan sebelum tragedi gempa bumi berlaku baru-baru ini untuk menjalankan misi kemanusiaan bertujuan mengeratkan persaudaraan dan menyalurkan bantuan. Misi Kembara Kemanusiaan itu disertai 33 peserta anjuran Usrah Billionaire dengan kerjasama iAMFAITHMEN dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Aceh membantu anak yatim dan golongan yang memerlukan susulan kejadian tsunami yang berlaku, 12 tahun lalu.  

Faizal berpandangan, usaha menjalankan misi kemanusiaan perlu diteruskan dalam membantu apa jua bentuk sumbangan dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat, seperti dilaporkan Mstar. Pembabitan Faizal dalam aktiviti sukarelawan bukan perkara baru kerana dia pernah aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aqsa Syarif yang dinaungi bapanya sendiri sejak 4 tahun lalu. Dia kemudian mengambil keputusan menubuhkan pertubuhan sukarelawan sendiri yang dikenali sebagai iAMFAITHMEN yang meneruskan misi kemanusiaan membantu masyarakat di mana saja.



Jelasnya pada Sinar Harian, hasratnya menubuhkan iAMFAITHMEN tercetus sejak sebelum menjadi penyanyi dan ia juga menjadi platform menggalakkan masyarakat sentiasa bersikap positif pada setiap masa. Menariknya, Faizal banyak menghasilkan lagu membawa mesej kesedaran pada masyarakat dunia antaranya "Assalamualaikum" dan "Kullulhubbi" bergandingan dengan rakan artis lain, Noh Salleh, Aizat Amdan dan Mu’adz Dzulkefly menerusi sebuah kumpulan dikenali FAITHMEN PROJECT yang membuat persembahan dengan matlamat hasil kutipan jualan album disalurkan pada tabung iAMFAITHMEN.

Menerusi misi #1moment4them sebelum ini, Faizal pernah mengadakan konsert membantu kanak-kanak Syria di Jordan pada tahun lalu yang turut disertai Aizat, Noh, Muad dan Mizz Nina. Dalam satu rakaman video di YouTube, nyanyian Faizal mendendangkan lagu "Assalamualaikum" di hadapan kanak-kanak Syria membuat mereka menitiskan air mata.

2. Noh Salleh - Menangis melihat semangat sukarelawan

Noh bersama seorang kanak-kanak pelarian Syria. (Gambar: One Moment For Them - Facebook)

Vokalis band Hujan ini antara anggota pasukan sukarelawan, #1moment4them yang berusaha membantu masyarakat Syria ketika berkunjung ke kem pelarian di Jordan, tahun lalu. Dia berkongsi cerita menarik apabila terpaksa menyamar sebagai pelajar yang menuntut di negara itu tanpa mendedahkan identiti sebenar kumpulan tersebut ketika melalui pemeriksaan keselamatan di sana.

Tambahnya, dia tertarik menyertai misi kemanusiaan itu atas matlamat selain menyalurkan bantuan dan memberi sokongan moral, sukarelawan juga membantu kanak-kanak di sana untuk mendapatkan pendidikan asas. Dalam berkongsi pengalaman menariknya itu, Noh memberitahu Malaysia Digest, dia bersama sukarelawan lain mahu menyebarkan mesej kesedaran pada seluruh masyarakat dunia mengenai kehidupan sebenar pelarian Syria.

Tanpa berselindung, Noh juga menyatakan dia banyak menangis ketika berada di sana bukan sebab simpati terhadap kehidupan yang dilalui pelarian Syria tetapi mengagumi usaha, kesungguhan, keberanian dan keikhlasan pasukan sukarelawan Fatiha Shuib and Friends yang banyak membantu pelarian di sana.

3. Mizz Nina - Jadikan diri lebih bersyukur

Mizz Nina berpandangan misi kemanusiaan bukanlah satu percutian tetapi membawa matlamat membangkitkan ceria pada pelarian Syria khususnya kanak-kanak dan warga emas. (Gambar: Mizz Nina)

Penyanyi yang membawa imej muslimah ini turut serta dalam misi kemanusiaan #1moment4them pada tahun lalu mengakui berdoa pada Allah agar memudahkan jalan untuk membantu orang lain sehingga menggerakkan semangat dan kemampuan dirinya membantu menjayakan misi tersebut.

Bercerita lanjut pengalaman sendiri dalam misi selama lapan hari di Jordan itu, dia menyatakan ia bukanlah satu percutian tetapi membawa matlamat membangkitkan ceria pada pelarian Syria khususnya kanak-kanak dan warga emas, seperti dilaporkan Intrend. Menjadi pengalaman pertama kali ketika berada di kem pelarian di sana, kehidupan pelarian di sana membuatkan dirinya berasa bersyukur dibandingkan nasib mereka yang serba kekurangan.

Menerusi aktiviti sukarelawan seperti meluangkan masa bersama kanak-kanak dengan bermain, aktiviti mewarna dan berbual memberi ruang pada dirinya mendekatkan diri dengan pelarian Syria. Baginya, meluangkan masa bersama umpama sedekah atas apa yang termampu dilakukannya di sana.    

4. Aizat Amdan - Terkesan melihat penderitaan pelarian

Aizat gemar merakam gambar menerusi kamera video ketika menyertai misi kemanusiaan.

Bagi Aizat, pengalaman berharga ketika menyertai misi kemanusiaan dikongsi menerusi rakaman video yang dilakukannya sendiri sebagai satu kepuasan pada diri. Dia yang berhasrat mendokumentasikan kehdiupan seharian mengakui obses merakam aktiviti harian menggunakan kamera video.

Katanya, sebagai anak seni dia banyak berkongsi dari mata hati dan bersyukur menerusi rakaman video yang dikongsinya. Menerusi aktiviti misi kemanusiaan #1moment4them, Aizat melihat impiannya membantu golongan yang tidak bernasib baik menjadi kenyataan. Dalam berkongsi pengalamannya itu, dia mengakui terkesan melihat penderitaan yang dilalui pelarian Syria.

Seperti mana dilaporkan Harian Metro, pelarian yang menjadi mangsa perang bukan saja memerlukan bantuan kewangan tetapi paling penting mendapat sokongan moral.  

5. Afdlin Shauki - Dibelenggu perasaan bersalah

Afdlin bersama kanak-kanak Palestin ketika di Gaza. (Gambar: Twitter)

Popular menerusi filem arahannya seperti Baik Punya Cilok dan Papadom, Afdlin Shauki tidak melepaskan peluang menyertai misi kemanusiaan dalam memberi sumbangan pada masyarakat. Akuinya, sepanjang 22 tahun sebagai artis, dia menyifatkan hanya menggunakan platform untuk kepentingan diri dan keluarga.

Meraih peluang sebagai duta Aqsa Syarif sebelum ini, Afdlin melihat dia dibelenggu perasaan bersalah jika tidak melakukan sesuatu terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di serata dunia. Menerusi laman sesawang Aqsa Syarif, dia yang turut menjadi duta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebelum itu menyatakan bukan niat mahu menjadi duta tetapi niat ikhlas membantu golongan yang ditindas. Pembabitannya bersama kumpulan sukarelawan itu memberi peluang padanya membantu masyarakat Palestin ketika berkunjung ke Gaza.


  
 
 
Comments