Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Kepala Melekat Pada Sejadah, Mimpi Hari Kiamat Antara Petanda Selebriti Berhijrah

Seramai 10 selebriti sudah berhijrah mempunyai pelbagai kisah berbeza dikongsi bersama peminat.

0
comments
Kepala Melekat Pada Sejadah, Mimpi Hari Kiamat Antara Petanda Selebriti Berhijrah
Neelofa, Yatt Hamzah dan Diana Amir antara selebriti yang terbuka berkongsi pengalaman hijrah mereka bersama peminat. (Gambar: neelofa, yatthamzah_mrs_zul dan dianaamir - Instagram)
Tinggal 4 hari lagi umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul iaitu hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Sebagaimana kita tahu, pelbagai kisah pengajaran daripada baginda bersama sahabat dijadikan panduan pada umat Islam untuk mendalami Islam dan memperbaiki kehidupan sendiri ke arah lebih baik.

Begitu juga, berubah ke arah kebaikan dan bersikap positif untuk menjadi insan yang lebih baik adalah perkara yang dituntut tidak kira dalam mana-mana agama sekalipun. Manusia itu tidak sempurna dan tidak pernah terlepas melakukan kesilapan tetapi masih belum terlewat untuk bertaubat selagi masih bernyawa.

Bagi golongan selebriti, mereka terus menjadi tumpuan khalayak sebagai bahan hiburan sehingga dijadikan idola pada peminat. Namun, di sebalik dunia glamor mereka sama ada sebagai pelakon atau penyanyi, terdetik perasaan mahu berubah pada segelintir mereka. Sebenarnya, sudah ramai selebriti yang terkenal dan popular berhijrah kerana melalui sesuatu peristiwa atau diberi petunjuk untuk berubah.

Terbaru, pelakon jelita Nastasha Husdon juga berhijrah apabila menampilkan imej lebih sopan dengan berniqab. Dia turut berkongsi imej terbarunya itu di media sosial, Instagram miliknya. (Baca lagi: Natasha Hudson Tampil Dengan Imej Berniqab).

Berikut beberapa selebriti yang berkongsi kisah penghijrahan bersama peminat yang boleh dijadikan sumber inspirasi pada peminat untuk mengikut jejak langkah mereka.

1. Azmil Mustapha - Hijrah Ke Syria dan Thailand

Wajah terkini Azmil Mustapha. (Gambar: Sinar Harian)

Populariti filem Ali Setan di era 80-an cukup meninggalkan nostalgia pada ramai peminatnya. Namun, siapa menduga aktor terkenal ini membawa diri bersama empat anaknya ke Syria kira-kira sembilan tahun lalu untuk memulakan hijrah pada diri sendiri menambah ilmu pengetahuan mengenai Islam. Akuinya, di awal penghijrahan hatinya masih kosong sebelum melakukan solat hajat dan mendapat petunjuk untuk ke Syria.

Azmil, 64, seorang duda juga pernah berhijrah ke Pattani, Thailand untuk membina sebuah sekolah agama di sana tetapi impiannya itu tidak kesampaian, seperti dilaporkan Mstar. Dia yang selesa dengan imej berjubah menolak pelbagai tawaran berlakon yang diterima kerana berasakan ia tidak lagi sesuai dengan imejnya selepas berhijrah.

Baginya, gelaran Ali Setan padanya bukan dianggap masalah besar apabila disapa kerana menganggap siapa yang menentukan dirinya adalah Allah SWT. Dalam laporan Sinar Harian, Azmil menyatakan dia tidak menyesali keputusannya terbabit dalam bidang seni yang dianggap sebahagian daripada kehidupannya sejak di zaman sekolah sehingga melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. Ketika di ambang populariti, Azmil pernah berkongsi cerita hatinya terdetik untuk berubah selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran ketika habis siaran di televisyen pada masa itu ketika dia baru saja pulang ke rumah. 

2. Sham Kamikaze - Dikecam bekas isteri

Sham berhijrah ke arah keagamaan secara drastik sambil menyatakan kehidupannya lebih tenang tidak seperti di zaman glamor. (Gambar: Sham Kamikaze - Facebook)

Kisah gitaris terkenal, Sham Kamikaze berhijrah dua tahun lalu menarik perhatian ramai peminat apatah lagi bekas isterinya mendakwa imej Islamik selebriti itu hanya pura-pura. Wanita itu juga menyatakan hatinya hancur melihat Sham atau nama sebenarnya, Shamril Salleh berubah imej berjubah dan berkopiah, seperti dilaporkan Astro Awani.

Bagaimanapun, Sham tampil memberi penjelasan adalah menjadi hak bekas isterinya jika tidak berpuas hati dan menuduhnya dengan pelbagai cerita untuk meraih simpati orang ramai demi kepentingan peribadi. Sebagai seorang muslim, dia menyatakan tidak perlu menjawab kepada sesiapa mengenai tuduhan tersebut kerana mereka tiada lagi apa-apa hubungan.

Seorang rakannya, Meor Yusof Aziddin pernah berkongsi cerita mengenai gitaris berusia 40 tahun itu yang bermain gitar sejak pada usia muda, 12 tahun sebelum menjadi pemuzik profesional yang berkebolehan memainkan pelbagai genre muzik seperti jazz, pop dan rock. Tambahnya seperti dilaporkan Malay Mail Online, beberapa tahun selepas Sham menubuhkan band Kamikaze, dia berhijrah ke arah keagamaan secara drastik sambil menyatakan kehidupannya lebih tenang tidak seperti di zaman glamor dan rezekinya juga bertambah.  

3. Bob Lokman - Masuk politik untuk masuk Islam

Bob Lokman aktif memberi ceramah kepada orang ramai. (Gambar: abunuhacorner)

Mungkin ramai peminat sudah terlupa kehebatan dan populariti lagu seperti "Isabella" nyanyian Search, "Pada Syurga Di Wajahmu" (Datuk Nash), "Rendang Tak Berbuah" (Datuk Hattan) dan "Taman Rashidah Utama" (Wings) adalah ciptaan Bob Lokman yang juga pelakon terkenal. Pada tahun 2004, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman pernah menyatakan hasrat bersara daripada lakonan dan penulisan lirik kerana mahu memberi tumpuan pada bisnes kopinya, seperti dilaporkan Utusan Online.

Bagaimanapun, mengenai kisahnya berhijrah mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila Bob menyatakan dia perlu masuk politik untuk masuk Islam. Jelasnya seperti dilaporkan Mykmu, menjadi tanggungjawabnya menyertai kumpulan untuk menyampaikan dakwah dan 1Malaysia bukan bermaksud semuanya Islam. Bob yang aktif bersama satu parti politik sering hadir ke pelbagai lokasi untuk mengadakan ceramah agama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Bob tidak menafikan parti politik yang disertainya itu menggunakan kredibilitinya sebagai artis untuk meraih kepercayaan pengundi. Di sebalik kisah Bob yang aktif berceramah dengan parti politik, ramai peminatnya juga gemar mendengar ceramahnya di masjid mahupun di surau. Sepertimana dalam tulisan di blognya, boblokman.blogspot, dia kembali mencari jalan yang benar dengan melakukan taubat nasuha.

4. Yatt Hamzah - Kisah kepala melekat atas sejadah

Yatt menyatakan niatnya bertudung pada 5 April 2012 adalah hidayah yang diimpikan. (Gambar: yatthamzah_mrs_zul - Instagram)

Berbeza dengan aksinya ketika di awal pembabitan dalam bidang lakonan menerusi filem Impak Maksima arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Yatt Hamzah kemudian mengambil keputusan berhijrah sejak empat tahun lalu. Pelakon berusia 36 tahun ini menceritakan niatnya bertudung pada 5 April 2012 adalah hidayah yang diimpikan, seperti dilaporkan Utusan Online.

Menariknya, Yatt berkongsi pengalaman menakutkan berlaku pada dirinya apabila kepalanya melekat setengah jam di atas sejadah sehingga terlihat gambaran wanita yang diseksa. Meskipun, kisah pengalamannya itu dipertikai segelintir pihak tetapi dia sekadar berkongsi untuk memberi kesedaran pada wanita beragama Islam yang lain. 

Tambahnya pada Sinar Harian, Yatt mengakui dia masih terima tawaran baru dalam bidang seni tetapi lakonan bukan lagi keutamaan selain melakukan kerja dakwah dan kebajikan. Dia yang juga aktif memberi ceramah dan mengacara lebih selesa bersikap selektif memilih watak dan plot yang sesuai terhadap tawaran yang datang. Sebagai selebriti, Yatt menyatakan dia sering djemput ke majlis di universiti dan masjid untuk berkongsi pengalamannya. 

Dalam pada itu, Yatt mengakui wujud produksi yang memilih artis tidak bertudung dan 'ditudungkan' dalam cerita mereka. Namun, dia berpandangan senario sebegitu tidak seharusnya menjadikan golongan selebriti yang sudah berhijrah dan bertudung terpinggir. 

5. Pierre Andre - Berdakwah secara langsung dalam majlis anugerah

Pierre Andre berhijrah dan menyertai kumpulan tabligh. (Gambar: MIG dan cinemaonline)

Membina karier seni bersama produser terkenal, David Teo menerusi pelbagai filem lakonannya seperti Potret Mistik, Cinta Fotokopi dan Main-Main Cinta, Pierre Andre juga mencipta populariti selepas filem pertama arahannya, Jangan Pandang Belakang meraih sambutan menggalakkan daripada penonton termasuk di Filipina. 

Pada tahun 2012, anak kepada pelakon Khatijah Tan ini terbuka berkongsi cerita dengan peminat mengenai penghijrahannya mendekati agama. Dia menyatakan apa yang dilakukan bukan secara drastik dan dia takut pada fitnah selepas memulakan kehidupan baru. Dalam ucapan kemenangannya menerima trofi Anugerah Yasmin Ahmad pada majlis Anugerah Skrin 2012, Pierre menyatakan anugerah paling hebat adalah kalimah 'lailahailallah' yang perlu dijaga dalam  diri sambil mengucapkan cinta pada Allah dan Nabi Muhammad S.A.W.

Tambahnya seperti dilaporkan Kosmo!, ucapannya itu sebagai satu dakwah daripadanya yang disampaikan kepada masyarakat menerusi majlis anugerah yang disiarkan siaran langsung pada malam itu selepas 10 tahun terbabit dalam bidang seni. Dia juga membuat pengakuan sudah lima bulan menyertai kumpulan tabligh ketika itu dan ketika dia menjadi pengarah pada usia 21 tahun, dia menyedari kehidupan sebenarnya kosong.

6. Al Mawlid - Hijrah bersama selepas bertemu di masjid

Anggota kumpulan ini bertemu secara tidak sengaja di sebuah masjid sebelum Al Mawlid ditubuhkan. (Gambar: CMD Malaysia)

Sebuah kumpulan nasyid digelar Al Mawlid ditubuhkan empat tahun lalu yang memperjuangkan muzik berkonsepkan marhaban yang membawa mesej menyemai rasa cinta masyarakat pada Rasulullah S.A.W. Menariknya, anggota kumpulan ini terdiri daripada penyanyi yang pernah popular bersama kumpulan muzik masing-masing iaitu Amer Munawer Yusoff bersama Azan Addin yang merupakan bekas anggota Ruffedge, Zaf dan Lah Ahmad (V.E), Pot Amer (Innuendo) dan Adib (Fabulous Cats) serta Ustaz Khyrel (Marjan).

Jelas Amer, ketika mula berhijrah dia tidak tahu ramai rakan artisnya yang lain turut sama berhijrah sehingga dia bersama anggota kumpulan ini bertemu secara tidak sengaja di sebuah masjid, tiga tahun sebelum kumpulan Al Mawlid ditubuhkan, seperti dilaporkan Mstar. Tambahnya, hubungan mereka menjadi rapat selepas bersama-sama menghadiri kelas agama di sebuah masjid di Setiawangsa.

Bercerita lanjut penubuhan kumpulan mereka itu, Amer menyatakan mereka tidak berhasrat menubuhkan kumpulan nasyid pada peringkat awal tetapi atas faktor minat mendalam pada bidang seni mendorong Al Mawlid ditubuhkan. Baginya, muzik bukan satu kesalahan tetapi ia perlu disampaikan dengan cara betul.

7. Wardina - Dikecam pengguna media sosial

Wardina pernah dituduh terbabit dengan satu parti politik pembangkang dan menyokong perhimpunan haram. (Gambar: Wardina Safiyyah OfficialPage - Facebook)

Bagi peminat sitkom Spanar Jaya, pastinya merindui lakonan Wardina Saffiyah Fadlullah. Ketika masih aktif berlakon, Wardina pernah menyatakan hasrat mendalami ilmu psikologi di sebuah universiti di Australia untuk membantu masyarakat membendung penyakit sosial, katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Mengenai di peringkat awal hijrah ke arah Islamik pada tahun 2001, Wardina yang tampil bertudung masih aktif sebagai pengacara dan pelakon. Ketika itu, dia juga membintangi filem Cinta 200 Ela bersama bekas jaguh badminton negara, Rashid Sidek. Bagaimanapun, dia yang aktif memberi ceramah dituduh terbabit dengan satu parti politik pembangkang dan menyokong perhimpunan haram selepas hadir dalam satu program bersama masyarakat, seperti dilaporkan Mstar

Jelasnya, dia terkejut apabila kehadirannya itu dimanipulasi pihak tertentu sehingga gambar silamnya tidak bertudung disiarkan beberapa blog bersama kenyataan yang negatif. Susulan kejadian itu, dia terpaksa berehat mengacara satu program bual bicara di sebuah stesen televisyen selama dua bulan. Dalam pada itu, kelantangan Wardina menyuarakan pandangannya menerusi media sosial terhadap sesuatu isu menarik perhatian ramai pengguna termasuk dikecam antaranya isu menyemak semula kandungan penyampaian ustaz Don Daniyal, isu anak masuk gereja dan pandangannya terhadap kes buli yang didakwa berpunca daripada filem membawa kisah gangster.

8. Catriona Ross - Kemalangan jalan raya petanda untuk berubah

Catriona juga dikecam dengan gelaran ustazah jadi-jadian tetapi tetap positif dalam perubahan diri yang dilakukan(Gambar: catrionabrianross - Instagram)

Pelakon Catriona Ross atau nama sebenar, Catriona Norhayati Rose Bahrain Rose mengakui dia pernah diejek rakan termasuk dalam kalangan rakan artis selepas mengambil keputusan berhijrah. Dia yang tampil bertudung pada tahun 2011 terbuka berkongsi pengalamannya berhijrah sebaga muslimah dengan niat bukan mahu menunjuk-nunjuk.

Dalam laporan Utusan Online menyatakan keputusannya berhijab diterima baik anggota keluarganya dan perubahan positifnya itu berlaku selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya empatan tahun sebelum itu yang menyebabkan kedua kakinya patah. Dia juga dikecam dengan gelaran ustazah jadian tetapi tetap positif dalam perubahan diri yang dilakukan sambil mengajak rakan artis lain mengikut jejak langkahnya.

9. Neelofa - Berhijab Ketika Ramadan

Neelofa mengakui dikritik peminat apabila lakonan menerusi filem Pilot Cafe arahan Osman Ali ditayangkan pada tahun lalu. (Gambar: neelofa - Instagram)

Pelakon jelita berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini menarik perhatian ramai peminat ketika di awal pembabitannya sebagai pelakon. Kejelitaannya bukan saja membuatkan peminat terpesona tetapi menjadi pilihan ramai produser filem dan drama.

Namun, penghijrahan pengacara program hiburan popular, Meletop ini sejak dua tahun lalu memberi kejutan pada peminatnya. Menariknya, dia mengambil keputusan berhijrah dengan imej bertudung ketika Ramadan. Ketika dia sudah berhijrah, dia turut dikritik peminat apabila lakonan menerusi filem Pilot Cafe arahan Osman Ali ditayangkan pada tahun lalu menampilkan lakonan dengan imej sebelum berhijab. Malah, dia juga berkongsi poster filem tersebut yang menampilkannya tidak bertudung.

Neelofa tampil memberi penjelasan imej tidak bertudung dan lakonan romantisnya bersama pelakon utamanya, Fahrin Ahmad adalah penggambaran yang dijalankan pada tahun 2013. Perubahan positif pada diri Neelofa juga berlaku pada lakonannya apabila menerusi drama bersiri popular, Suri Hati Mr Pilot, dia langsung tidak bersentuhan dengan pelakon utamanya, Fattah Amin serta dia tidak mendedahkan rambutnya meskipun adegan dalam bilik tidur. 

10. Diana Amir - Mimpi buruk tentang hari kiamat

Diana menyatakan mimpi itu mengingatkannya terhadap kematian yang semakin hampir dan ia terus membelenggu dirinya selepas itu. (Gambar: dianaamir - Instagram)

Jika menonton filem Aku Masih Dara, ramai peminat tidak menyangka pelakon Diana Amir mengambil keputusan drastik memakai tudung dan berubah sepenuhnya dalam aspek penampilan diri. Bercerita tindakannya itu, Diana sebenarnya mendapat petanda sejak tiga bulan sebelum berhijrah mengenai mimpi buruk tentang hari kiamat.

Jelasnya pada Mstar, dia menyatakan mimpi itu mengingatkannya terhadap kematian yang semakin hampir dan ia terus membelenggu dirinya selepas itu sebelum mengambil keputusan berhijab serta mendalami agama. Hasrat Diana untuk berubah mendapat sokongan rakannya, Irma Hasmie yang kemudian membawanya berjumpa dengan Wardina untuk mendapat tunjuk ajar dan sokongan.
 
 
 
Comments