Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Bukan Murid Jadi Mangsa, Siapa Patut 'Bermain' Ular?

Bekas anggota pasukan khas PDRM berkongsi pandangan bentuk latihan sepatutnya.

0
comments
Bukan Murid Jadi Mangsa, Siapa Patut 'Bermain' Ular?
Anggota bomba menunjukkan aksi berlatih bersama ular dan anggota TNI menjalani salah satu latihan ketenteraan. (Gambar: alwanisafiy.blogspot.my dan Twitter)
Kejadian sekumpulan murid sekolah rendah dipaksa melalui cabaran merentasi kolam air yang kemudian disergah dengan ular dicampak jurulatih Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kem bina semangat baru-baru ini nyata mencetuskan kemarahan ramai.

Bukan saja ibu bapa, malah sesiapa saja sebagai manusia yang mempunyai pemikiran waras pasti marah dengan situasi itu apatah lagi membabitkan kanak-kanak yang masih usia muda. Akibat insiden itu yang menjadi viral di media sosial selepas dikongsi orang ramai, ia menjadi isu nasional yang tidak boleh dipandang remeh.

Susulan kejadian itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan mengakui penggunaan ular bukan sebahagian daripada modul latihan pasukan itu dan sebenarnya, sebarang modul yang disediakan agensi itu tidak membabitkan haiwan, seperti dilaporkan Astro Awani.

Tambahnya, tindakan tiba-tiba seorang pembantu jurulatih mencampakkan ular ke dalam kolam bukan dalam pengetahuan dan perancangan APM. Latihan peserta masuk dalam kolam sebegitu adalah bertujuan membina kerjasama antara peserta merentasi air berkenaan dalam keadaan basah.


Rakaman video murid yang menjadi mangsa jurulatih APM dalam satu kem bina semangat dikongsi pengguna Facebook. (Gambar: Friends of PDRM)

APM yang kesal dengan kejadian itu berjanji menyiasat punca kejadian dan menilai kembali modul latihan sedia ada untuk memastikan kejadian sama tidak berulang. Meskipun jurulatih APM itu sudah digantung tugas dan pihak agensi itu bertemu murid terbabit yang memberi maklum balas tiada yang trauma tetapi kejadian itu perlu dipandang serius membabitkan semua jenis latihan kem bina semangat di mana-mana agensi khusus membabitkan peserta kanak-kanak.

Penggunaan ular dalam latihan sebenarnya lebih kepada aspek ketenteraan. Tentera elit Indonesia atau TNI turut meminum darah ular tedung untuk latihan hidup dalam hutan. Pengalaman sama juga dilalui tentera Thailand, Singapura, Jepun, Korea Selatan termasuk Malaysia dalam latihan dikenali Cobra Gold yang pernah dijalankan di pangkalan tentera laut di Sattahip, Thailand, tiga tahun lalu.


Anggota tentera TNI menunjukkan cara minum darah ular tedung kepada anggota tentera Amerika Syarikat dalam satu latihan yang dijalankan bersama. (Gambar: sindonews)

Seorang ahli bomba wanita juga berkongsi pengalamannya melalui latihan bersama ular di dalam blog miliknya yang menunjukkan dia bersama rakannya memegang dan mengangkat ular di atas badan. 

Bagi seorang bekas anggota pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang enggan dikenali berpandangan, latihan seumpama itu yang dijalankan ke atas murid sebagai peserta tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia diakui melanggar prosedur operasi standard (SOP) agensi itu.

"Ujian sebegitu seperti mahu menunjukkan kerjasama berpasukan apabila berada dalam air dan mahu menyelamatkan diri. Cukup sekadar pancut air pada peserta agar mereka berfikir cara melepaskan diri," katanya ketika dihubungi Rojak Daily Kaw!, hari ini.

Tambahnya, latihan membabitkan ular lebih merujuk pada cara meneruskan hidup di dalam hutan yang diajar pada anggota tentera. Mengambil contoh latihan bersama Biro Tatanegara (BTN), dia menyatakan latihan 'burung hantu' iaitu meletakkan peserta di dalam hutan pada waktu tengah malam dan berendam di dalam kawasan paya untuk tempoh beberapa jam antara latihan paling mencabar.

"Dalam latihan pasukan khas juga apabila diajar cara hidup di dalam hutan, anggota sebolehnya dinasihatkan mencari makanan lain yang halal dan boleh dimakan selain ular sebagai pilihan terakhir sekiranya terperangkap di dalam hutan," katanya.

    
 
 
Comments