Rojak Daily Logo

"Saya Tidak Sombong Atau Demand" - Siti Nordiana

0
comments
Nana sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepada beliau
Nana, 31, menafikan yang dia sekarang sombong dan mula ‘demand’ harga persembahan.
Tegasnya, dia masih sama seperti dulu dan tidak pernah lupa peminat yang  menyokongnya sehingga dia bergelar juara pada program Gegar Vaganza musim kedua.
“Harga yang saya letakkan berpatutan mengikut lokasi dan majlis  itu diadakan malah lebih rendah daripada kadar harga penyanyi terkenal lain.
“Tanpa mengira di mana dan siapa yang menjemput, saya sedia menghiburkan peminat. Bahkan saya turut memenuhi undangan daripada pelajar  pusat pengajian dan bayaran terpulang kepada kemampuan mereka.
“Peminat saya terdiri daripada pelbagai peringkat usia oleh  itu saya tidak boleh ketepikan sesiapa pun kerana mereka semua menyumbang kepada kejayaan saya,” katanya.
Sokongan peminat membuatkan saya seperti hidup semula

Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, melalui banyak cabaran hidup yang membuatnya amat mensyukuri rezeki yang diperolehinya kini.
Berkahwin dan kemudiannya bercerai. Rakan duetnya, Acik pula meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada 2010 dan setahun berikutnya bekas suaminya, pelakon Faizal Yusup pulang mengadap Ilahi kerana serangan jantung.
Semua tragedi itu memberi tamparan hebat kepadanya sehingga dia pernah dituduh sebagai perempuan yang membawa nasib malang.
Selepas kembali hidup bersendirian kerjaya nyanyiannya agak suram sehingga dia terpaksa berkerja di sebuah kolej.
“Semua itu sudah berlalu dan menjadikan saya manusia yang amat memahami erti sebuah kehidupan.
“Sekarang saya mampu membelikan saja yang emak dan ayah saya mahukan. Syawal lalu saya belikan emak sofa dan langsir baru.
“Membuat tabungan untuk anak tunggal saya (Muhammad Rayyan Nakhaie, 8) dan saya sendiri, katanya.
Selain daripada menyanyi, tawaran berlakon mula masuk mencurah untuk Nana.

Berpeluang meniti semula populariti yang pernah dikecapinya dulu, Nana mengakui dia kesuntukan untuk menghabiskan masa bersama anaknya.
“Mujur  Rayyan faham pekerjaan ibunya penyanyi dan ketiadaan saya memenuhi undangan, emak dan ayah saya yang menjaganya,” katanya.
Kesibukan terus melanda Nana apabila kemunculannya dalam drama Semanis Honey bersama Alif Satar membuatkan penonton jatuh cinta dengan watak mereka berdua.
Dia terima banyak tawaran berlakon dan sedang mempertimbangkannya.
“Rasanya untuk tahun ini, cukuplah saya berlakon  satu drama saja kerana fokus saya lebih kepada nyanyian dan sedang sibuk mempromosikan single terbaru saya berjudul Pesanan Teragung.
“Mungkin saya akan kembali berlakon awal tahun depan dengan pengarah Michael Ang,” katanya.     
Dalam meniti hidup sendirian adakala rasa sunyi menerjah dirinya tetapi untuk berkahwin lagi tidak mudah baginya.
“Pengalaman perkahwinan lalu mengajar saya untuk berhati-hati agar peristiwa lama tidak berulang. Saya tidak boleh tergesa-gesa mencari pasangan hidup.
“Mana-mana lelaki yang mahukan saya kena terima anak saya dan saya sendiri seadanya serta semoga  jodoh kali kedua itu berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.
 
 
Comments