Rojak Daily Logo

Afgan 'Sides' Live in Malaysia 2016

0
comments
Afgan 'Sides' Live in Malaysia 2016
Agfan mengakui tertekan untuk memberikan kelainan kepada konsert kali ini
Kerap mengadakan konsert di negara ini, Afgan, 27, mengakui agak tertekan kerana pastinya peminat mengharapkan kelainan daripadanya.
Bintang sensasi  Indonesia itu, akan kembali ke Malaysia untuk menjayakan konsert yang diberi nama Afgan ‘Sides’ Live in Malaysia 2016 sempena pelancaran album terbarunya berjudul ‘Sides’.
Konsert itu akan berlangsung pada 3 September ini di  Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Janji Afgan atau nama sebenarnya, Afgaansyah Reza, sebagaimana album terbarunya itu yang memaparkan kematangan dirinya apabila turut bertindak selaku penulis lirik untuk semua lagu yang terkandung dalam album itu, dia juga akan memberikan persembahan terbaik dalam konsert itu nanti.
Dia terkenal dengan lantunan suara yang hebat menerusi lagu-lagu seperti Katakan Tidak, Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Knock Me Down.
Bakal menyerlahkan kematangan beliau ketika konsert berlangsung nanti

Jelas Afgan pada sidang media konsert itu, persembahannya nanti akan dibahagi kepada tiga segmen iaitu rock & roll, honourable atau lebih bersifat emosi dan ketiga urban serta moderate.
“Sebagaimana pemahaman erti Sides itu sendiri, saya akan tonjolkan diri saya daripada pelbagai sudut berbeza, kematangan saya sebagai penyanyi yang kini turut mencuba mencipta lagu dan menulis lirik.
“Sepanjang hampir dua jam konsert itu berlangsung saya akan menyanyikan  22 lagu daripada dua album saya terdahulu termasuk  lima lagu daripada album Sides.
“Saya juga akan membawa 30 pemuzik daripada Indonesia. Dewan Merdeka  besar yang  boleh memuatkan hampir 2,000 penonton jadi saya akan pastikan pentas serta dewan yang gah itu benar-benar terisi,” katanya.
Dia juga akan menyelitkan segmen tribute untuk artis Malaysia yang diminatinya namun ia masih dirahsiakan.
Untuk menghangatkan lagi malam konsert itu, Afgan turut menampilkan rapper terkenal tanah air iaitu SonaOne sebagai penyanyi undangan.
SonaOne turut mencipta dua lagu dalam album Sides iaitu Roller Coaster dan X. Afgan juga menampilkan suara SonaOne dalam X.
Bakal bertemu dengan peminat-peminat melalui konsert di Indonesia, Malaysia dan Singapura

Sebelum berlangsungnya konsert di Malaysia, terlebih dulu Afgan mengadakan konsert di Indonesia iaitu di Medan, Bandung, Surayabaya dan Balik Papan.  
“Selepas selesai konsert di Malaysia, saya akan bertemu peminat di Singapura pula,” katanya.
Meskipun penat, mesti  menjaga hati peminat dan mood nya sendiri dalam memastikan kejayaan konsertnya, tiada istilah berehat untuknya.
“Ketika saya menyambung pengajian saya di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur selama tiga tahun pada 2011 saya sudah di anggap ‘berehat’ dalam bidang nyanyian dan sekarang saya tidak boleh berehat lagi,” katanya.
Kepada yang mahu menyaksikan konsert itu, tiket berharga RM118 (gangsa), RM288 (perak), RM388 (emas), RM488 (platinum), RM588 (diamond) dan RM788 (diamond VIP untuk pakej sesi bertemu peminat. Tiket boleh dibeli menerusi Ticket Charge, di www.ticketcharge.com.my.
 
 
Comments