Rojak Daily Logo

Tiga Kategori FFM28 Dimansuhkan, Satu Kategori Baru Diwujudkan

0
comments
Tiga Kategori FFM28 Dimansuhkan, Satu Kategori Baru Diwujudkan
Mekanisma baru diwujudkan iaitu calon akhir Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan adalah daripada lima filem calon Filem Terbaik yang menggunakan bahasa Kebangsaan. (Gambar: FINAS)
Setelah pelbagai pandangan dan kritikan dilontarkan penggiat seni terhadap penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada tahun ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akhirnya memutuskan kategori anugerah Filem Terbaik dibuka pada semua karya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyatakan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak termasuk penggiat perfileman dan orang ramai.

Dalam kenyataannya seperti dilaporkan Bernama semalam, beliau sentiasa mendengar keluhan orang ramai terutama penggiat perfileman dan pada masa sama tidak mengabaikan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan.

Meskipun pertikaian terhadap kategori anugerah Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia sudah selesai, penganjuran FFM28 yang akan berlangsung pada 3 September nanti menjadi lebih meriah apabila satu kategori baru turut diperkenalkan iaitu Filem Terbaik Dalam Bahasa Kebangsaan.

Susulan kenyataan Menteri itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) selaku penganjur FFM28 pula menyatakan mekanisma baru diwujudkan iaitu calon akhir Filem Terbaik Dalam Bahasa Kebangsaan adalah daripada lima filem calon Filem Terbaik yang menggunakan bahasa Kebangsaan.

“Tiga kategori yang diumumkan sebelum ini iaitu Filem Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia), Pengarah Terbaik (Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia) dan Lakonlayar Terbaik (Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia) adalah dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagi calon akhir kategori yang dimansuhkan secara automatik dipertandingkan bersama calon sedia ada di dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakonlayar Terbaik manakala kategori lain adalah kekal dan tidak berubah.
 
 
 
 
 
 
Comments