Rojak Daily Logo
Back to top

Kenakan Bayaran Masuk Terlalu Mahal, Tarikan Terbaru Di Sabah Ini Terima Kecaman Netizen

RM40 untuk pemandangan, segelas air dan buaian?

0
comments
Kenakan Bayaran Masuk Terlalu Mahal, Tarikan Terbaru Di Sabah Ini Terima Kecaman Netizen
Foto: Sabah Info

Masuk sahaja tahun baru, makin banyak tarikan menarik yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Tidak hanya di semenanjung, di Sabah dan Sarawak juga tidak kurang hebatnya.

 

Bakal jadi lokasi hipster, sebuah tarikan terbaru yang terletak di Menggatal, Sabah baru sahaja membuka pintunya kepada pengunjung. Menjanjikan panorama indah bandaraya Kota Kinabalu, Kokol Elf yang terletak di Menggatal, 40 minit dari pusat bandar nampaknya dikecam apabila mengenakan bayaran masuk dengan harga yang terlalu mahal.

 Keindahan Kokol Elf pada waktu malam.

Menerusi satu entri di Facebook, Kokol Elf mengenakan bayaran masuk RM40 bagi warganegara Malaysia dan RM120 bagi pelancong asing. Bayaran masuk ini termasuklah akses penuh, satu minuman, pas harian tidak terhad, buaian besar, tempat duduk sangkar burung dan pemandangan insta-worthy untuk para pengunjung.

 

Entri tersebut telah menerima hampir 2,000 komen dan rata-ratanya tidak berpuas hati dengan bayaran masuk yang dikenakan dan cara pengurusan tempat ini yang dikatakan tidak profesional. Tidak hanya itu, rata-rata pengunjung turut memberikan komen yang jujur tentang tempat tersebut. 

Antara komen jujur pengunjung yang sudah sampai.

Namun setelah menerima pelbagai kecaman dan kritikan membina dari netizen, Kokol Elf tampil dengan satu entri terbaru dengan permohonan maaf.

 

Berkesempatan untuk bertanyakan isu ini kepada anak jati Sabah, pelakon, pengacara dan kini pengurus stesen radio KK12 FM, Farish Aziz, 35 tahun, bayaran masuk yang terlalu tinggi mahal itu bukanlah isu yang besar kerana masyarakat perlu dididik untuk menghargai usaha yang sesuatu tempat itu telah laburkan.

  Saujana mata memandang.

Namun apa yang mengundang kemarahannya apabila cara pihak pengurusan yang tidak profesional dalam menerima kritikan, dilihat tidak cerdik daripada segi pemasaran ditambah tempat itu baru sahaja dibuka.

 

Kokol Elf menerusi Facebooknya juga jelas tahu tentang demografi dan khalayak sasaran mereka apabila menulis, 'Ya, benda yang cantik dan jarang dijumpai sememangnya mahal'.

 

"Sepatutnya mereka perlu berterima kasih dengan setiap komen dan kritikan yang diberikan pada mereka, tidak kira negatif atau positif. Cuma teliti apa yang dikritik itu untuk penambahbaikan dan profesional dalam menjawab apa sahaja komen netizen di laman sosial", jelas Farish yang merupakan seorang pencinta alam.

  Akan siap sepenuhnya tak lama lagi.  

Mahu menjernihkan keadaan, pihak pengurusan Kokol Elf telah mengambil inisiatif dengan mengadakan hari masuk percuma pada 17 Januari ini, 9 pagi hingga 7.30 malam dan ia terhad pada 100 pengunjung pertama. Anda yang tidak mahu membayar bayaran masuk RM40 tetapi mahu melihat keindahan tempat ini, daftarkan nama anda di Facebook Kokol Elf.

 

Satu langkah yang bijak dari pihak Kokol Elf, meminta maaf dengan rendah dirinya dan memberi peluang sehari untuk pengunjung masuk tanpa bayaran. Benda yang baik, pastinya netizen akan sokong dan jika ada kritikan yang membina, harap terimanya dengan hati terbuka.

 

Jadi, apa kata anda? Sanggupkah anda bayar RM40 untuk menghabiskan masa, lepak minum, ambil gambar dan kemudian muat naik di Instagram? Kalau tanya kami, kami dah pernah masuk salah satu mercu tanda ikonik dunia, Taj Mahal di India dengan bayaran masuk RM55, jadi... tepuk dada tanya selera.

 
 
Comments