Rojak Daily Logo
Back to top

OlaBola The Musical - 5 Sebab Kenapa Anda Akan Beri 'Standing Ovation' Di Akhir Persembahan

Wajib tonton, luar biasa.

0
comments
OlaBola The Musical - 5 Sebab Kenapa Anda Akan Beri 'Standing Ovation' Di Akhir Persembahan
Foto: Enfiniti

Filem pecah panggung OlaBola yang telah mencetuskan fenomena pada tahun 2016 kembali dalam versi teater muzikal. Telah membuka tirainya pada 8 Februari hingga 11 Mac 2018 bertempat di Istana Budaya, OlaBola The Musical mencipta rekod sebagai persembahan paling lama jumlah hari pementasan yang pernah diadakan. 

Poster OlaBola The Musical.

OlaBola The Musical menampilkan barisan pelakon berbakat tanahair seperti Iedil Putra yang membawa watak sebagai Rahman, Stephen Rahman-Hughes sebagai Coach Henry Mountain, Altimet sebagai Sarjan Ahmad, Melissa Ong sebagai Chow Mei Ling dan Douglas Lim sebagai Mr. Wong. 

 

Pasukan Harimau Malaya pula terdiri daripada pelakon Brian Chan sebagai 'Tauke' Chow Kwok-Keong, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu, Kai Chalmers sebagai Eric serta Luqman Hafidz dan Lim Jian Wen yang membawakan watak asal mereka di dalam filem OlaBola, iaitu Ali dan Ah Cai. 

 

Berkesempatan menonton teater ini pada malam pembukaannya, kami senaraikan lima sebab anda akan berdiri sambil memberikan 'standing ovation' di akhir persembahan. 

1. Lagu dan lirik dalam OlaBola The Musical cukup memberikan impak.

Daripada persembahan pertama dan persembahan kedua, lagu-lagu OlaBola The Musical membuai rasa penonton. Menerima sentuhan Mia Palencia selaku komposer dan lirik oleh Altimet dan Mia Palencia sendiri, anda pasti akan terkesima dengan lagu rancak, rap baik lagu berentak perlahan yang dipersembahkan sepanjang teater muzikal ini. Lagu pilihan kami, Luar Biasa, Rahman's Dream serta I Cover You ciptaan Mia Palencia dan Altimet. 

 2. Babak bola sepak

Perlawanan bola sepak yang cukup sengit.

Di atas pentas Panggung Sari, Istana Budaya itulah berlangsungnya adegan bola sepak pasukan Harimau Malaya menentang negara Brunei dan Korea Selatan. Dari segi kareografi dan kemahiran bermain bola sepak, boleh dipuji kerana aksi perlawanan dilakukan dengan cekap. Satu panggung bersorak apabila ada aksi ulang tayang perlawanan bola sepak dilakukan, sama seperti anda menonton perlawanan bola sepak di TV. Bila pasukan Malaysia menjaringkan gol, kami turut bersorak GOL.

3. Kesan visual animasi

Kesan visual animasi memberi impak bertenaga.

Masuk sahaja ke dalam Panggung Sari, anda akan disambut oleh ribuan 'penonton' di dalam Stadium Merdeka dari tiga panel utama di atas pentas. Teater ini juga sarat dengan kesan visual animasi yang kami rasakan saling melengkapi persembahan ini. Paling menyerlah, babak helikopter mendarat dan terbang di akhir latihan intensif Angkatan Tentera dan perlawanan sengit Malaysia menentang Korea Selatan. 

4. Mutu lakonan yang mantap

Rahman dan Tauke.

Baik dari pelakon utama sehinggalah kepada pelakon kanak-kanak, setiap pelakon memberikan 100 peratus penghayatan dan komitmen dalam menjayakan watak mereka. Pujian harus diberikan kepada watak Rahman, lakonan Iedil Putra sehingga boleh membuatkan anda terlupa kepada watak asal Rahman dalam filem OlaBola. Sesi komentar Rahman pada perlawanan babak akhir cukup mencuit hati dan menggamatkan panggung. Tahniah juga diucapkan kepada penulis skrip, Shamaine Othman dan Tiara Jacquelina sendiri. 

5. Pupuk semangat cintakan negara

Coach yang membawa sinar kegemilangan pada pasukan Harimau Malaya.

Sepanjang 2 jam 45 minit persembahan berlangsung, elemen perpaduan dan semangat cintakan negara diterapkan cukup baik tanpa berlebih-lebih. Paduan pelakon yang berbilang kaum, lirik-lirik lagu berjiwa bangsa serta semangat cintakan negara diadun sempurna membuatkan kami mahukan suasana negara kita kembali ke zaman itu. Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama. 

 

Cukup dengan lima sebab ini, kami sarankan untuk anda juga merasai pengalaman yang sama. Sebulan teater muzikal ini akan dipersembahankan di Istana Budaya, urusan tempahan tiket boleh dibeli di sini. Tahniah pada seluruh pasukan produksi OlaBola The Musical, luar biasa!

 
 
 
Comments