Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Raja Azura Tersingkir Dengan Perbezaan 0.2 Markah Sahaja

Bukan tidak bagus tapi ada yang lebih bagus.

0
comments
Raja Azura Tersingkir Dengan Perbezaan 0.2 Markah Sahaja
Tetap memberi cabaran pada peserta lain. (Pic: Aishah Aziz)

Menampilkan persembahan memukau menerusi lagu Perhaps, Raja Azura punya alasan untuk tersenyum bangga meskipun akur meningggalkan pentas Gegar Vaganza 4 (GV4) pada konsert Ahad lalu.

Empunya diri mengakui dirinya kalah bermaruah dan tidak ralat meninggalkan pentas kerana puas dengan persembahan yang ditampilkan. Percaya pada rezeki, Raja Azura atau lebih mesra dengan gelaran Kak Engku berkata dia gembira kerana mendapat pengalaman berharga bertahan selama tiga minggu.

Timba pengalaman baru.

"Saya sebenarnya agak berkira-kira untuk menyertai GV4 namun saya teruskan juga kerana mendapat sokongan anak-anak yang mahu lihat saya bertanding.

"Syukur kerana saya mendapat banyak pengalaman baharu dan saya belajar banyak perkara walaupun orang fikir saya sudah punya banyak pengalaman," katanya.

Dia berkata, dirinya sendiri sudah boleh mengagak akan meninggalkan pentas itu selepas sedar suara dan nyanyiannya ada gangguan akibat batuk berpanjangan sebelum naik ke pentas.

Malah ketika menyampaikan lagu berkenaan, dia hampir terbatuk namun bertahan hingga ke akhirnya.

"Sebab tu kalau perasan Datuk Ramli ada tegur nyanyian saya, memang saya tahu ada masalah berbanding sesi latihan.

Sedia terima undangan nyanyian.

"Saya terima semua ini sebagai ketentuan dan saya percaya soal rezeki," katanya sambil menambah akan menerima undangan persembahan yang bersesuaian selain tetap aktif sebagai pengacara.

Raja Azura berkata dia realistik dan tidak akan merakamkan single sebaliknya lebih selesa menerima undangan persembahan nyanyian sahaja.

"Saya sedar situasi industri muzik sekarang tidak begitu baik, jadi untuk apa saya buat album atau single kalau tak ke mana, lebih baik fokus pada yang memberikan manfaat," katanya.

Kalah sangat tipis!

Sementara itu, juri tetap Hetty Koes Endang berkata, Raja Azura tersingkir bukan kerana dirinya tidak bagus, tetapi ada penyanyi lain yang lebih bagus.

Melihat kepada perbezaan mata yang sangat tipis iaitu 0.2 jelas menunjukkan Raja Azura memberikan saingan.

"Ini semua soal rezeki. Bukan bagus atau tidak bagus," katanya.

Mengenai prestasi peserta lain, Hetty berkata kesemuanya sudah semakin sedar mereka sedang dalam pertandingan dan mula mempamerkan kelebihan yang dimiliki.

Dia berkata peserta pastinya mempunyai strategi masing-masing untuk mencatur pertandingan mereka sepanjang perjalan GV4.

"Mereka perlu lebih motivasi dan memberikan nyanyian yang luar biasa untuk terus kekal.

"Kesemuanya ada kelebihan masing-msing dan perlu keluarkan kelebihan yang ada," katanya.

Kalah bermaruah.

Kedudukan peserta sebaik selesai konsert minggu ketiga GV4:

1. Liza Hanim - 83.4

2. Firman - 77.6

3. Lan Kristal - 77.6

4. Hazami - 75.6

5. Tia - 75.6

6. Aishah - 75.6

7. Syura - 73.8

8. Haida - 71.8

9. Aqasha - 63.4

10. Elyana - 61.4

11. Raja Azura - 61.2 (Tersingkir)

 
 
Comments