Rojak Daily Logo

(TERKINI) Keluarga Benjy Minta Privasi Mereka Tidak Diganggu.

Pejabat konsul general di Medan sedang cuba membantu.

0
comments
(TERKINI) Keluarga Benjy Minta Privasi Mereka Tidak Diganggu.
Benjy kini ditahan di Medan, Indonesia. (Gambar: Chempaka Nur Iman)

Susulan berita penangkapan Benjy di lapangan terbang Medan, Indonesia yang mencetuskan kejutan ramai semalam, adik pelakon itu, Elza Irdalynna meminta semua pihak menghormati hak peribadi keluarga mereka.

Katanya, keluarganya memerlukan privasi terutama ayah mereka, Khairil Anwar ZM Rashidi, 65, kini berada dalam keadaan tidak sihat selepas mengalami serangan angin ahmar.

“Terima kasih di atas sikap prihatin anda semua tetapi keluarga kami minta diberikan privasi terutama bapa kami yang mendapat serangan minor stroke, baru-baru ini.

“Harap pihak media dapat memahami perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, menerusi maklum balas dengan media, Khairil enggan mengulas lanjut berhubung penahanan Benjy selain mendakwa baharu mengetahui berita terbabit.

“Tiada apa yang hendak dikomen. Saya juga tidak boleh nak bercakap lama kerana tidak sihat. Saya tahu pun mengenai perkara ini selepas mula dihubungi pihak media," katanya.

Pada masa sama, Khairil juga memberitahu beliau belum mempunyai perancangan menemui Benjy di Medan malah tidak mampu terbang ke sana.

Baca kisah penangkapan Benjy di sini: Benjy Di Tangkap Lagi.

Benjy atau nama penuhnya, Khaeryl Benjamin, 38, ditahan di lapangan terbang Medan, selepas didapati cuba membawa masuk dadah jenis syabu seberat 14 gram.

Ketika penangkapan dibuat, pelakon itu menyembunyikan bahan terlarang berkenaan di dalam duburnya.

Berita itu disahkan Ketua Penyeliaan dan Perkhidmatan Kastam Kualanamu, Zaky Firmansayah.

“Dia mengaku membeli syabu daripada seseorang di Kuala Lumpur. Suspek memberitahu dia datang ke Medan kerana mahu mencari seorang deejay.

"Selepas pemeriksaan, dua paket syabu seberat 14 gram berjaya dikeluarkan dari duburnya," katanya sebagaimana dilaporkan Detiknews.

Sebelum ini aktor terbabit pernah ditahan empat kali di Malaysia membabitkan kes dadah dan kali terakhir pada 6 April lalu sebelum dia dilepas dan dibebas Mahkamah Majistret Muar, Johor atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 28.99 gram pada Mac 2015.

Menerusi laporan media tempatan, suspek boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan mengedar dadah.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengesahkan mengenai penangkapan pelakon itu.

“Pihak kami belum dapat notis tahanan secara rasmi. Bagaimanapun, Pejabat Konsul General kita di Medan sedang berusaha memberi bantuan yang perlu," katanya ketika dihubungi media.

 
 
Comments



Back to top