Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Rangkuman 2016: Artis Malaysia Terbaik Di Pentas Dunia

Sebanyak 10 kejayaan diraih sepanjang tahun 2016.

0
comments
Rangkuman 2016: Artis Malaysia Terbaik Di Pentas Dunia
Harith Iskander dinobatkan pelawak nombor satu dunia manakala filem Redha menjadi sandaran Malaysia untuk menang anugerah pertama pada Academy Awards ke-89 dan Golden Globe ke-74, pada tahun 2017.
Nama Malaysia di atas peta dunia mungkin dianggap kecil tetapi sumbangan dan jasa anak seni tempatan mengharumkan nama negara di pentas dunia memang tidak tandingan. Menerusi bidang seni seperti filem, muzik dan komedi, selebriti tempatan berjaya membuktikan mereka adalah terbaik dan mampu bersaing di peringkat global. Berikut 10 kejayaan karya dan artis tempatan yang dilakar sepanjang tahun 2016:



1. Pekak

Filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures mencipta kejayaan apabila meraih dua anugerah pada International Motivational Film Festival Bridge Of Arts 2016 (IMFF 2016) yang diadakan di Russia pada Ogos lalu. Pelakon utamanya, Zahiril Adzim pula dipilih sebagai pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Skrip Terbaik. Pencapaian filem arahan Mohd Khairul Azri ini adalah suatu yang membanggakan industri perfileman tempatan selepas ia turut ditayangkan di Cannes, Perancis menerusi acara Marche du Film 2016 sebelum itu.
 

2. Redha

Meskipun ia membawa kisah pengorbanan ibu bapa membesarkan anak mengidap autism, ia menjadi tema yang diterima di peringkat antarabangsa untuk pencalonan filem kategori bahasa asing. Menariknya, filem arahan Tunku Mona Riza ini dipilih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa untuk bertanding ke acara anugerah berprestij, Academy Awards ke-89 yang akan berlangsung pada 26 Februari 2017. 

Sebelum itu, filem ini juga meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Perdana Antarabangsa 2016 di Manila, Filipina serta Anugerah Merit di Awareness Film Festival (LAAFF2016) dan tiga anugerah pada Festival Filem Muslim Antarabangsa Kazan ke-12 menerusi Anugerah Khas Pencalonan oleh Presiden Republik Tatarstan untuk Kemanusiaan dalam Sinematografi, Anugerah Khas 'The Russian Guild Of Cinema Critics' serta Aktor Terbaik Filem Cereka untuk Nam Ron, Harith Haziq and Izzy Zulkhazreef.

Redha juga mewakili negara ke Minggu Filem Asia Casa ke-4 di Barcelona dan Anugerah Skrin Asia Pasifik ke-10 di Brisbane, Australia pada November lalu dan menjadi sandaran Malaysia meraih anugerah pada Golden Globe ke-74, pada tahun hadapan.



3. Interchange

Filem Interchange arahan Dain Said meraih perhatian dunia apabila ia ditayangkan di Festival Filem Locarno ke-69, Switzerland pada 5 Ogos lalu yang dianggap sebagai satu pengiktirafan pada filem tempatan yang mendapat peluang tayangan di peringkat antarabangsa. Apa yang menarik perhatian, filem ini dipertontonkan kepada 8,000 penonton secara terbuka menerusi skrin layar gergasi. 

Filem lakonan utama, Shaheizy Sam bersama Nicholas Saputra ini pernah ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis dan diedarkan Reel Suspects untuk pasaran antarabangsa. Pencapaian filem ini juga mengikuti jejak langkah Bunohan yang menyertai Festival Filem Antarabangsa Toronto pada tahun 2011. Filem ketiga Dain ini turut mencuri tumpuan ketika ditayangkan pada Festival Filem London BFI, pada Oktober lalu.



4. Datuk Zainal Abidin

Penyanyi popular dengan lagu "Hijau", Datuk Zainal Abidin antara penghibur yang meraih perhatian peminat muzik antarabangsa apabila beliau berkongsi pentas dengan penyanyi ‘tenor’ Itali terkenal, Andrea Bocelli, David Foster yang pernah menang banyak anugerah Grammy dan pelakon teater muzikal, Elaine Paige.

Menerusi persembahan istimewa, Music for Mercy, Zainal bersama tiga artis antarabangsa ini beraksi di Roman Forum, Rome, Itali pada 26 Julai lalu. Bagi Zainal, peluang mengadakan persembahan ini sebagai satu pengiktirafan mewakili negara dan lebih manis, persembahannya yang diiringi pemuzik orkestra juga menyakskan beliau menyampaikan lagu popularnya, "Hijau". 



5. Mat Redho

Bekas Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua, Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai Mat Redho sekali lagi mencatat rekod peribadi buat dirinya apabila menyertai satu pertandingan permainan lasak peringkat antarabangsa, Sasuke Viet Nam. Mempunyai 81,400 pengikut di Instagram, kejayaan jejaka berusia 28 tahun ini turut didorong isteri dan anaknya yang hadir memberi sokongan ketika pertandingan berlangsung.

Malah, video aksi hebat Mat Redho mewakili negara ke pertandingan itu juga menjadi viral selepas dikongsi pengguna di Facebook. Kejayaan Mat Redho ini meskipun hanya menerusi pertandingan permainan lasak antarabangsa, ia tetap menjadi kebanggaan buat masyarakat Malaysia.



6. Harith Iskander

Pelakon terkenal dan juga pelawak popular tanah air, Harith Iskander berjaya membuktikan dia pelawak nombor satu dunia apabila menjuarai pertandingan Funniest Person in the World 2016 yang berlangsung di Levi, Finland pada 10 Disember lalu. Kejayaannya itu mengatasi empat peserta lain yang bertanding di peringkat akhir iaitu Alex Calleja dari Filipina, Katerina Vrana (Greece), Mino van Nassau (India) dan David Kilimick (Israel). Selaku juara, Harith menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM442,150).



7. Tan Sri Michelle Yeoh

Pelakon berasal dari Ipoh Perak yang mencipta nama di pentas perfileman antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh bakal membintangi drama bersiri terbaru, Star Trek: Discovery. Beliau yang popular menerusi pelbagai filem Hollywood antaranya Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Tomorrow Never Dies akan membawa watak kapten kapal bernama Han Bo yang mengetuai sebuah kapal bernama Shenzhou. Berita mengenai perkara ini disahkan pengarah yang bakal mengarahkan drama berkenaan, Nicholas Meyer.



8. Sandakan Tears
 
Pelakon dan pengarah filem terkenal, Afdlin Shauki dijangka meneruskan projek filem terbarunya bersama produksi Hollywood menerusi filem yang diberi judul Sandakan Tears. Filem berskala besar ini yang sebelum ini menyatakan akan bekerjasama dengan pengarah, Roger Christian dilaporkan memerlukan bajet sebanyak RM67.2 juta. Jika filem ini dikatakan mahu mendapatkan khidmat aktor terkenal, Hugh Jackman, filem ini juga cuba menggambarkan semula kejadian yang pernah berlaku sewaktu perang dunia kedua iaitu kisah tentera Australia dan Britain yang terkorban ketika dipaksa tentera Jepun berjalan dari Sandakan ke Ranau sejauh 140 kilometer.



9. Datuk Rosyam Nor

Aktor popular tanah air, Datuk Rosyam Nor mengakui dia berpuas hati apabila terbabit membintangi sebuah filem Tamil, Kabali. Baginya, meskipun hanya ditawarkan watak kecil beliau tetap berbangga kerana diberi peluang bergandingan dengan superstar Tamil terkenal, Rajinikanth dan percaya impak lakonannya bersama hero kegemaran ramai itu turut memperkenalkan namanya di persada dunia termasuk meraih peminat baru dari India. Menariknya, Rosyam menyatakan beliau tidak malu terima watak kecil dalam filem ini kerana melihat Rajinikanth sendiri pada usia 66 tahun masih berlakon dan mengekalkan jenamanya.



10. Ola Bola

Di sebalik kejayaan filem Ola Bola terbitan Astro Shaw meraih kutipan RM15.58 juta dan menang tiga anugerah pada Festival FIlem Malaysia ke-28 (FFM28) menerusi kategori Pereka Kostum/Busana Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik ("Arena Cahaya"), filem ini juga meraih kejayaan di peringkat antarabangsa di Taipei, pada November lalu. Lagu "Arena Cahaya" nyanyian Zee Avi dan komposer, Rendra Zawawi itu menang anugerah Lagu Filem Asal Terbaik pada acara Festival Filem Golden Horse Awards ke-53.
 
 
Comments