Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Ketandusan Filem Patriotik Sempena Hari Kemerdekaan Negara

Sembilan filem sejarah yang pernah diterbitkan masih diminati ramai penonton.

0
comments
Ketandusan Filem Patriotik Sempena Hari Kemerdekaan Negara
Filem Bukit Kepong, Tanda Putera dan Kapsul antara filem patriotik yang pernah mendapat sambutan positif penonton. (Gambar: produksi KRU Studios, Two Tones dan Tanda Putera)
Menjelang detik 12 tengah malam ini, rakyat Malaysia bersorak melaungkan merdeka sempena meraikan ulang tahun hari bersejarah tanah air. Meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak 59 tahun lalu, jasa perjuang kemerdekaan terus dikenang dan tidak seharusnya dilupakan generasi akan datang.

Dalam mengekalkan sejarah negara terus kukuh dalam ingatan segenap lapisan masyarakat di negara ini, penerbitan filem genre sejarah atau patriotik cukup penting untuk memelihara dan menyampaikan mesej pada penonton mengenai sejarah negara.

Menerusi agensi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), geran filem kenegaraan sememangnya diwujudkan untuk kemudahan penggiat perfileman tempatan menerbitkan filem sejarah. Namun, sejauh mana peluang ini dimanfaatkan warga industri filem atau produser kita tidak berani menerbitkan filem sebegini yang boleh dijangka kurang sambutan dan kutipan di pawagam atau kita sendiri sebenarnya sudah ketandusan idea menarik untuk dijadikan naskhah baru ke layar perak.

Apa yang menjadi persoalan, apakah sambutan hari kemerdekaan setiap tahun tanpa adanya filem patriotik baru memberi kesan pada penonton, industri perfileman tanah air atau sebaliknya. Namun, contoh filem patriotik yang pernah diterbitkan sebelum ini membuktikan ia masih digemari penonton.
 
Berikut sembilan filem patriotik yang pernah mewarnai industri perfileman tempatan. Moga karya-karya ini menjadi inspirasi pada rakyat Malaysia dan pembikin filem tempatan menghasilkan filem baru. Selamat menyambut hari kemerdekaan negara ke-59.

1. Sarjan Hassan (1958)


Poster filem Sarjan Hassan yang pernah ditayangkan pada 28 Ogos 1958. (Gambar: wikipedia.org)

Filem hebat arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee ini mengangkat erti perjuangan tentera Tanah Melayu ketika menentang Jepun. Watak utama Hassan lakonan P Ramlee digambarkan sebagai contoh anak muda yang mempunyai jiwa besar untuk berjuang demi bangsa, agama dan negara. Kesungguhan dan perjuangan Sarjan Hassan bersama rakan-rakannya dalam mempertahankan keselamatan negara ketika di medan pertempuran menjadi tarikan pada penonton meskipun ada dalam kalangan mereka menjadi pengkianat pada bangsa sendiri.

Menariknya, filem versi hitam dan putih ini ditayangkan pada 28 Ogos 1958 iaitu setahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Filem ini turut dibintangi Saadiah, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Salleh Kamil.

2. Bukit Kepong (1981)


Filem versi asal, Bukit Kepong dipelihara menerusi proses digital visual dan audio yang dilakukan United Studios Sdn Bhd dengan Prodigital Lab Sdn Bhd pada tahun lalu.

Filem arahan dan lakonan utama, Tan Sri Jins Shamsuddin ini pernah ditayangkan pada tahun 1981 membawa kisah benar serangan komunis di Bukit Kepong. Dibantu pelakon A Rahim, Hussein Abu Hassan dan Datuk Yusof Haslam, filem ini pernah memenangi lapan anugerah pada Festival Filem Malaysia ketiga. Filem ini memberi kesan mendalam pada penonton apabila ia mengisahkan semula pertempuran anggota polis dengan komunis sehingga nyawa mereka terkorban. 

Pada tahun lalu, filem ini dinaik taraf dalam aspek kerja restorasi digital merangkumi kerja visual dan audio sebelum ditayangkan semula di pawagam. Menerusi kerjasama KRU iaitu United Studios Sdn Bhd dengan Prodigital Lab Sdn Bhd, kualiti warna dan mutu audio filem ini dipertingkatkan termasuk proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan menyelaraskan 'lipsync' audio asal dengan visual, 'noise reduction' dan penambahan kesan khas bunyi.

3. Darah Satria (1983)


Kemunculan AR Badul dalam filem ini menyelitkan sedikit elemen komedi, (Gambar: teamdownloadmalaysia.blogspot)

Dijayakan pelakon komedi popular, AR Badul bersama Aman Shah, Lydiawati, A Galak, Allahyarham Mahmud June, Allahyarham M Rajoli dan Allahyarham ED Osmera, filem arahan Allahyarham Datuk Aziz Satar ini membawa kisah perjuangan tentera darat ketika berjuang mempertahankan keamanan negara daripada musuh. Plot filem ini yang ditayangkan pada tahun 1983 memberi fokus pada dua watak utama iaitu Leftenan Arif (Aman) dan Prebet Badul yang menjalankan tugas sebagai anggota tentera. Kemunculan Badul memberi kelainan menerusi filem sejarah yang pernah dihasilkan kerana ia menyelitkan elemen komedi yang menghiburkan penonton. 

4. Leftenan Adnan (2000)


Leftenan Adnan menjadi hero ketika tentera Melayu menentang Jepun pada Perang Dunia Kedua. (Gambar: wikipedia.org)

Filem arahan Aziz M Osman ini menyingkap perjuang negara, Leftenan Adnan bersama pasukan tentera Malaya ketika menentang tentera Jepun pada Perang Dunia kedua. Watak utama dilakonkan Hairie Othman memberi impak besar pada penonton menghayati karakter hero negara itu. Plot mengambil latar belakang tahun 1934 ketika tentera British mencari anak muda kampung untuk menjadi tentera.

5. Embun (2002)


Filem ini berjaya meraih enam anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) pada tahun 2003. (Gambar: wikipedia.org)

Filem arahan Erma Fatima ini juga membawa kisah kehidupan masyarakat negara ini ketika zaman penjajahan
Jepun ke Tanah Melayu. Ia merujuk kehidupan seorang gadis bernama Embun lakonan Datin Paduka Umie Aida bersama abangnya Bayu (Allahyarham Hani Mohsin) dan kekasihnya, Lefthenan Koishi (Aqasha). Apa yang disampaikan adalah semangat Embun mahu membebaskan masyarakat Melayu daripada penjajah British. Namun, dalam meneruskan perjuangannya itu dia menjadi mangsa rogol tentera Jepun selepas cuba membebaskan abangnya yang ditahan tentera berkenaan.

Pencapaian terbaik filem ini apabila meraih enam anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) pada tahun 2003 menerusi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Umie, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Allahyarham Izi Yahya), Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Poster Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

6. Paloh (2003)


Plot filem ini menyingkap kisah kehidupan dan perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika di era jajahan tentera Jepun pada tahun 1944. (Gambar: wikipedia.org)

Filem terbitan Filem Negara Malaysia bersama FINAS ini ditayangkan pada tahun 2003 menyingkap kisah kehidupan dan perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika di era jajahan tentera Jepun pada tahun 1944. Filem arahan Adman Salleh ini memberi fokus pada empat sahabat yang menyertai tentera Jepun dan berlaku konflik apabila mereka mengkhianati bangsa mereka sendiri demi membalas dendam. Filem ini menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Janet Khoo, Nam Ron, Gibran Agi dan Ellie Suriaty. 

Filem ini membelanjakan kos pembikinan sebanyak RM3 juta pernah memenangi anugerah Khas Juri pada Festival Filem Asia Pasifik ke-48 dan mengungguli lapan anugerah termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17.

7. 1957: Hati Malaya (2007)


Filem ini memfokuskan zaman Tunku Abdul Rahman ketika mahu mendapatkan kemerdekaan negara dan Datuk Onn Jaafar membangkitkan semangat nasionalisma Melayu menentang penubuhan Malayan Union. (Gambar: sundstedt.se)

Membawa kelainan daripada watak perjuang kemerdekaan ketika mempertahankan Tanah Melayu, filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba ini menyingkap sejarah perjuang negara menerusi lima watak anak muda pada zaman selepas merdeka iaitu Hali lakonan Rusdi Ramli, Salmi (Maya Karin), Rafik (Adlin Aman Ramlie), Ani (Sharifah Amani) dan Ang Lee (Douglas Lim) yang berusaha memahami peristiwa bersejarah yang pernah berlaku. Filem ini turut memfokuskan zaman Tunku Abdul Rahman ketika mahu mendapatkan kemerdekaan negara dan Datuk Onn Jaafar yang membangkitkan semangat nasionalisma Melayu menentang penubuhan Malayan Union.

Filem ini ditayangkan pada tahun 2007 berjaya meraih lima anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan dua anugerah iaitu Anugerah Khas Juri dan Penataan Bunyi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2008.

8. Tanda Putera (2013)


Filem Tanda Putera mencetuskan kontroversi apabila memaparkan adegan tragedi 13 Mei 1969. (Gambar: wikipedia.org)

Satu lagi kisah sejarah negara difilemkan pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba menerusi Tanda Putera yang pernah ditayangkan pada 29 Ogos 2013. Plot tertumpu pada kisah persahabatan Tun Abdul Razak dengan Tun Dr Ismail termasuk peristiwa berdarah, 13 Mei 1969. Dalam filem ini, penonton menyelami kehidupan Perdana Menteri Malaysia kedua itu yang merahsiakan penyakit leukemia daripada keluarganya selain bimbang keselamatan negara ketika itu ketika berdepan ancaman komunis termasuk pembunuhan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak.

Penyertaan filem ini menerusi Festival Filem Malaysia ke-26 juga membuahkan hasil apabila meraih enam anugerah termausk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Rusdi Ramli dan Anugerah Khas Juri. Filem ini juga mencetuskan kontroversi kerana paparan isu 13 Mei 1969 sehingga ia ditangguhkan tarikh tayangan dari 13 September 2012 kepada 15 November 2012. 

9. Kapsul (2015)

Kisah penggembaran Zohri membongkar rahsia Kapsul dan penampilan istiemewa, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan keistimewaan pada filem ini. (Gambar: TwoTones)

Masih memberi fokus pada sejarah sebenar negara, filem ini cuba merungkai rahsia di sebalik kapsul yang pernah ditanam mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya. Menariknya, watak utama, Zohri yang hidup pada tahun 2015 mengembara ke zaman silam termasuk menyelami jiwa seorang pejuang ketika askar Melayu berperang dengan Jepun di Kuala Kangsar pada tahun 1942. Malah, penggembaraan Zohri juga bertemu Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman dan menghayati perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak yang membangunkan tanah rancangan kepada masyarakat. 

Filem arahan Allahyarham Martias Mohd Ali ini dibintangi Faizal Hussein sebagai pelakon utama dibantu Datuk Rahim Razali dan penampilan khas, Tun Dr Mahathir ditayangkan pada 17 September tahun lalu.
 
 
 
Comments



Back to top