Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Paduan Suara 4 Jejaka Untuk Peminat

Jamal Abdillah, Ameng, Zamani dan Jamilul Hayat berkongsi pentas di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

0
comments
Paduan Suara 4 Jejaka Untuk Peminat
Jamal menawarkan tiket percuma kepada mereka yang membawa 50 pembeli tiket kepadanya untuk menyaksikan Konsert 3 Suara di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 22 sehingga 25 September ini. (Gambar: Rojak Daily Kaw!)
Antara penyanyi Datuk Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani, ketiga mereka sukar dibuat perbandingan atau dihitung siapa yang lebih hebat dari segi vokal dan muzik. Hakikatnya, masing-masing mempunyai kekuatan dan pengaruh sendiri terhadap industri muzik tanah air.

Buat peminat mereka yang merindui kemunculan ketiga penyanyi ini berkongsi di atas sebuah pentas, impian itu menjadi kenyataan menerusi Konsert 3 Suara yang akan diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 22 sehingga 25 September ini.

Jamal yang akan beraksi kali keenam di Istana Budaya kali ini menggunakan khidmat orang lain sebagai pengarah persembahan memandangkan dia mengakui peminat memberi komen terhadap masalah bunyi dan muzik yang berlaku dalam persembahannya yang diuruskan sendiri sebelum ini. 

"Persembahan kali ini juga akan diringi Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin Mustafa Fuzer Nawi dan Raja Mohd Sham Raja Saari. Konsert pada 22 September nanti, saya beri penghormatan pada Persatuan Pengasih Malaysia dan sebahagian kutipan daripada tajaan akan terus kepada Pengasih," katanya pada sidang media acara itu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, konsert kali ini akan menampilkan segmen Beradu Suara menyaksikan masing-masing antara mereka menyanyikan lagu bukan lagu sendiri. Saya akan menyanyi lagu Ameng untuk satu rangkap, Zamani juga begitu dan masing-masing cuba sampaikan satu rangkap.

"Dalam segmen Santai pula, ia belum pernah dibuat orang lain apabila sambil kami berbual, kami akan memilih  lagu secara spontan untuk dinyanyikan. Perbualan ini menjadi relaks dan santai serta saya berhajat segmen itu akan menjadi lebih menarik, teratur dan sempurna. 

"Bagi mereka yang mempunyai Facebook dan Instagram, sesiapa yang boleh membawa 50 pembeli pada saya, saya bagi tiket percuma padanya," katanya.

Sementara itu, Jamal juga menjemput Jamilul Hayat menyanyi bersama mereka. Katanya, Jamilul sebelum ini sudah tidak berminat menyanyi tetapi masih ramai peminat yang bertanyakan khabar adiknya itu.Baginya, persembahan kali ini memberikan sesuatu nilai untuk dikongsi bersama peminat meskipun mereka pernah melalui kesilapan lampau.

Bagi Ameng, dia mengakui tidak pernah menyanyikan lagu penyanyi lain tetapi kali ini menganggap sebagai persaingan sihat apabila berduet dan membuat persembahan bersama di satu pentas. Akuinya sebagai penyanyi tidak boleh menolak permintaan menyanyikan lagu.

Zamani pula, berasa berdebar untuk konsert kali ini apatah lagi berkongsi pentas dengan Jamal yang dianggap sebagai idolanya. Dia pada mulanya takut peminat akan membuat perbandingan kehebatan vokal dan persembahan antara dia dengan Jamal mahupun Ameng tetapi yakin paduan ke empat suara antara mereka memberikan kekuatan sehingga memberikan keyakinan padanya memberikan persembahan terbaik nanti.
 
 
Comments



Back to top