Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

"Saya Masih Aktif Menyanyi" - Bienda

Tawaran menjadi penyampai radio tidak mahu dipersiakan.

0
comments
Bienda tidak pernah merajuk dengan industri.
Penyanyi yang popular dengan lagu Penantian, Bienda, 31, merantau jauh mencari rezeki sehingga ke Pantai Timur dan pasti ada yang menyangka anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda, sudah merajuk  dengan industri hiburan tanah air.

Menyelusuri perasaaan ibu kepada dua cahaya mata itu, jelasnya dia bukanlah merajuk atau terasa tersisih daripada  industri sebaliknya penghijrahannya itu kerana dia dilamar Radio Manis FM untuk menjadi penyampai (DJ) di stesen radio itu yang kini beroperasi di Kuala Terengganu (KT).

Menurutnya tiada sebab untuk dia merajuk atau berundur diri daripada dunia nyanyian kerana undangan persembahan masih ada meskipun tiada lagu baru.
 
“Saya  masih aktif menyanyi cuma tawaran daripada Manis FM sukar untuk dilepaskan. Sebelum hamil anak kedua, saya pernah menjadi DJ di RMKL.

“Selepas bersalin saya terus berhenti dan memberikan tumpuan kepada perniagaan tudung yang menggunakan jenama BiendaLavienda.

“Selepas agak lama berehat  daripada dunia penyiaran, saya dapat panggilan daripada KC Ismail yang juga konsultan Manis FM bertanya sama ada saya terikat dengan mana-mana stesen radio. Apabila saya katakan tidak, terus dia melamar saya untuk ke udara di Manis FM.

“Dengan tawaran gaji dan beberapa ganjaran lain yang menarik, anak pun semakin besar, saya terima meskipun terpaksa berulang alik antara KT dan KL (Kuala Lumpur),” katanya.

“Pengurusan Manis FM sentiasa bertolak ansur dengan saya dan tiada halangan untuk saya meneruskan kerjaya nyanyian cuma saya perlu beritahu kepada mereka,” katanya.
     
“Saya berharap dengan populariti saya sebagai artis dapat menarik lebih ramai pendengar baru untuk Manis FM,” katanya yang menggunakan tagline ‘bereh’ sebagai pengenalan dirinya di stesen radio itu.

Gembira dapat menumpukan perhatian kepada tugas penyampai radio, penyanyi dan juga ahli perniagaan.
       
Sebab lain Bienda terima tawaran Manis FM  kerana kampung halamannya terletak di  Kelantan dan memudahnya untuk menjenguk saudara maranya di sana.

“Kalau tidak, saya sekeluarga akan balik kampung pada Hari Raya atau apabila ada kenduri kendara. Sekarang bolehlah kerap balik Kelantan.

“Terengganu pula destinasi yang amat menarik untuk bercuti. Saya dan suami pula memang suka laut terutama aktiviti menyelam jadi sekarang Terengganu sudah menjadi tempat percutian wajib untuk kami sekeluarga.
   
“Anak pula bergilir-gilir tinggal dengan kami berdua, jika perlu saya akan bawa mereka ke KT. Syukur saya mendapat pembantu rumah yang baik jadi kalau mereka tinggal dengan papanya di Kuala Lumpur pun, saya tidaklah bimbang sangat,” katanya.

Bienda yang mempunyai kedai tudung di Busana@Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman,  juga bercadang untuk membuka kedai tudung di Gong Badak. Tudungnya juga boleh dibeli menerusi dalam talian.

“Alang-alang saya sudah berada di Terengganu, lebih baik saya mengambil peluang mengembangkan perniagaan di sana,” katanya.
 
 
Comments



Back to top