Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Dirasuk Semangat Hutan

Novel karya Ramlee Awang Murshid diangkat ke layar perak.

0
comments
Dirasuk Semangat Hutan
Ramlee Awang Murshid cukup terkenal di kalangan peminat karya tempatan. Dialah penulis novel thriller nombor satu di Malaysia yang telah melahirkan 28 buah karya sepanjang 12 tahun bergelumang dalam bidang penulisan novel secara profesional. Dan sepanjang tempoh itu, inilah kali pertama karya yang ditulis 18 tahun lalu bakal diangkat ke layar perak.

Tombiruo, kisah penunggu rimba yang menjadi legenda di hutan keningau. Dia bukanlah hantu tetapi wira tidak berwajah manusia yang berselindung di sebalik topeng bagi menyembunyikan kemelut dan kesepiannya. Insiden hutan, rumah tempat tinggalnya diceroboh untuk dibangunkan projek empangan sehingga mengorbankan bapanya Pondoluo menyemarakkan dendam dalam hati pemuda ini yang nekad memburu mereka yang bertanggungjawab. Bermulalah pengembaraan Tombiruo yang membawa kepada satu dunia baru yang mengubah perspektif dan dimensi hidupnya.

Sejak desas desus karya ini bakal diangkat ke layar perak, peminat novelis Ramlee Awang Murshid (RAM) mula berteka teki gerangan pelakon yang bakal membawakan watak utama. M. Nasir dan Bront Palarae antara nama yang menjadi sebutan. Akhirnya, Zul Ariffin, pelakon sasa berkulit cerah diumumkan sebagai teraju utama Tombiruo: Penunggu Rimba disamping beberapa pelakon lain dalam satu sidang media yang diadakan di First Avenue pada 19 Ogos lalu. Filem yang baru memasuki tiga minggu penggambaran dijadual akan ditayangkan pada tahun 2017 nanti!

Dua Pengarah Satu Filem?
Menariknya filem ini bukan sahaja terletak pada populariti novel serta novelis dan para pelakon serta jalan cerita, filem ini turut diarahkan oleh dua pengarah berpengalaman, Nasir Jani dan Seth Larney. Nasir Jani telah 30 tahun terlibat dalam dunia pengarahan namun telah sekian lama tidak muncul di arus perdana. Dia terkenal dengan filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87. Seth Larney pula berpengalaman bekerja di bawah produksi Australia yang terbabit mengarahkan filem popular The MATRIX Reloaded, Revolutions, Star Wars: Revenge of the Sith, Xmen Origins: Wolverine, Stealth, Superman Returns, Fools Gold dan The Chronicles of Narnia: Voyage of the Dawn Treader. Nasir Jani ketika mengulas tentang hal ini mengakui tidak wujud sebarang masalah mengarahkan satu filem yang sama kerana mereka telah berbincang dua bulan awal. Seth Larney juga diberi tanggungjawab mengarahkan bahagian teknikal sedangkan dirinya lebih kepada jalan cerita.

Para pelakon yang terlibat dalam filem Tombiruo (Gambar: Semangat Rimba)
Siapa Tombiruo, Amiruddin dan Wan Suraya?
Tubuh sasa dan berkulit cerah antara kriteria utama yang digambarkan Ramlee ketika menulis watak Tombiruo atau Ejim. Tombiruo, pemuda kelahiran Keningau yang sememangnya diketahui penduduk di sana memiliki kulit cerah. Ramlee turut menggambarkan Tombiruo sebabagi lelaki hutan bertubuh sasa tetapi bukanlah terlalu kekar. Untuk itu Zul Ariffin yang menggalas tanggungjawab membawa watak ini  terpaksa menurunkan berat badan sebanyak 13 kilogram dalam tempoh tiga minggu dan membina six pack bagi menggambarkan watak Ejim yang digambarkan penulis. Selain itu cabaran utama terletak pada watak itu sendiri yang tidak berpakaian tetapi menutup kecacatan wajahnya dengan topeng khas.
 
Farid Kamil pula membawa watak Amiruddin, seorang lelaki yang tinggal di kota metropolitan namun mempunyai ikatan yang kuat dengan Ejim.
 
Watak Wan Suraya, wartawan yang ditugaskan menyiasat kes pembunuhan secara tidak sengaja telah bertemu Ejim. Pembaca novel Ramlee tentunya mengetahui bagaimana perasaan Wan Suraya terhadap Amiruddin dan perasaan Ejim terhadap wanita ini. Nabila Huda yang membawa watak ini bukan sahaja perlu mempelajari selok belok dan gaya seorang wartawan bagi mencantikkan lakonannya malah menyesuaikan diri dengan penggambaran yang kebanyakan scene dilakukan di hutan.

Selain tiga teraju utama, filem ini turut dibantu Faizal Hussein yang membawa watak Pondoluo, bapa kepada Ejim, Dato’ M. Nasir sebagai Tan Sri Berham yang akan bergandingan dengan isterinya Datin Marlia Musa membawa watak Bonda. Faye Kusairi dan Dynas Mokhtar sebagai Salina dan Baizura dan beberapa pelakon lain seperti Farah Ahmad, Hasnul Rahmat, Micheal Chen, Artu, R Azmi Ismail dan Muhammad Al-Rayyan.

Sejauh mana versi filem ini mampu memberi kepuasan seperti novel yang dibaca? Ramlee Awang Murshid sendiri mengatakan 85 peratus persamaan dapat pembaca dan penonton saksikan. Tentunya ramai yang teruja menanti hasil garapan hebat yang membabitkan kerjasama antara empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan syarikat RAM sendiri Layar Sunan. 

 
 
 
Comments



Back to top