Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Lima Persatuan Sambut Baik Mekanisma Baru FFM28

Satu pertemuan diadakan Menteri bersama lima persatuan ini baru-baru ini.

0
comments
Lima Persatuan Sambut Baik Mekanisma Baru FFM28
FINAS selaku penganjur FFM28 mengambil setiap maklum balas dan pandangan pemimpin persatuan, penggiat seni dan masyarakat sebagai medium perkongsian untuk menambahbaik penganjuran acara ini pada masa akan datang. (Gambar: FINAS - Facebook)
Lima persatuan hiburan menyambut baik keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengenai Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang memansuhkan tiga kategori iaitu Filem Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia), Pengarah Terbaik (Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia) dan Lakonlayar Terbaik (Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia).

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, penjelasan berkaitan mekanisma baru FFM28 selaras dengan pemansuhan tiga kategori tersebut telah dilakukan dalam satu pertemuan antara Menteri dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) pada 16 Ogos lalu.

"Pihak persatuan telah menerima dengan baik pencerahan yang diberikan Menteri dalam pertemuan itu berlandaskan semangat untuk terus memartabatkan industri kreatif tanah air, memupuk perpaduan dan semangat toleransi pelbagai kaum serta menekankan peri pentingnya mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia khususnya dalam soal bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi milik seluruh
warganegara tanpa mengira kaum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, FINAS selaku penganjur FFM28 mengambil setiap maklum balas dan pandangan pemimpin persatuan, penggiat seni dan masyarakat sebagai medium perkongsian untuk menambahbaik penganjuran acara ini pada masa akan datang.Tiga mekanisma baru yang diumumkan perlu dihormati dan dilihat dari aspek positif. 

"Kategori Anugerah Filem Terbaik Nasional adalah anugerah utama Kebangsaan kepada filem terbaik yang dihasilkan rakyat Malaysia menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan filem selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perlembangaan Malaysia.

"Anugerah Filem Terbaik adalah anugerah terbaik festival kepada filem yang dihasilkan rakyat Malaysia dengan menggunakan sebarang bahasa yang dituturkan rakyat Malaysia sebagai bahasa pertuturan filem.

"Kategori Pengarah Terbaik dan Lakonlayar Terbaik bagi Filem Bukan Bahasa Malaysia telah dimansuhkan dan semua filem akan bertanding dalam kategori tersebut tanpa mengira bahasa. Anugerah untuk kategori lain yang sebelum ini dipertandingkan tanpa mengira bahasa adalah dikekalkan," katanya.

 
 
 
Comments



Back to top