Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

"Saya Tidak Pernah Memilih Wartawan" - Dayana Roza

Tidak mahu hal peribadi dan kontroversi terlalu digembar gemburkan

0
comments
Tidak pernah memilih media mana yang boleh menemubual beliau.
“Saya tak pernah memilih wartawan untuk ditemubual tetapi saya  hanya akan  berjumpa media kalau ada cerita baru. Saya tak mahu jadi seperti tin kosong, ambil gambar sana sini tetapi tiada cerita menarik untuk dikongsikan bersama media dan peminat,” jelas Dayana Roza, 25, menangkis dakwaan yang dia bersikap  memilih wartawan.
Menurut pelakon yang dilahirkan menerusi program realiti Anak Wayang itu, siapalah dia untuk memilih  wartawan kerana dia terus berada dalam industri ini pun dek sokongan mereka yang memberikan publisiti kepadanya.
“Kematangan usia dan pengalaman juga membuatkan saya lebih suka memberi tumpuan kepada kerjaya saja. Saya tak mahu lagi orang banyak bercakap mengenai peribadi saya sebagaimana  hebohnya cerita saya bercinta dengan pemain bola sepak kebangsaan dulu. Akhirnya selepas digembar-gemburkan, cinta itu hancur di tengah jalan.

Mahu lebih menumpukan masa kepada kerjaya daripada bercerita tentang hal peribadi.

“Saya tak mahu perkara sama berulang. Sekarang  saya  sibuk dengan penggambaran drama. Dua drama baru lakonan saya akan disiarkan di Astro Prima dan Astro iaitu Lara Aishah dan Abang Bomba I Love U. Apabila ada produk baru, barulah seronok  berjumpa wartawan,” katanya.
Selain itu kata Dayana Roza atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin, jika ada penggambaran dia tak suka ‘lari’ daripada set untuk ke sesi fotografi dengan akhbar atau majalah kerana sayangkan mekap yang disolek mampan oleh jurusolek.
“Apabila sudah disolek dan didandan, sayang pula nak tanggalkannya. Ini kerana apabila tiba di lokasi semula, saya terpaksa mencuci solekan itu dan diganti dengan solekan yang bersesuaian watak.  Lebih senang jika saya pergi ke sesi fotografi tanpa ada komitmen lain kerana tidak perlu terburu-baru,” katanya.
Walaupun sudah tujuh tahun Dayana berkecimpung dalam arena seni namun nama dan wajahnya  mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama Asam Pedas Untuk Dia yang disiarkan di TV3, Januari tahun lalu. Bergandingan mantap dengan Syukri Yahya.
“Kesan berlakon drama itu memberi impak kepada kerjaya lakonan saya. Memang benar, adakala rezeki itu datang sekelip  mata tetapi ada juga yang mengambil masa tetapi akan bertahan lama,” katanya.
Beralih kepada perihal peribadi, akui Dayana sudah ada insan yang mengisi kekosongan hatinya tetapi kali ini dia memilih orang biasa.
Lebih matang dan dewasa dalam mengharungi pelbagai rencah hidup anak seni

“Saya  tak mahu lagi bercinta dengan orang terkenal kerana ada saja yang nak tahu. Bukan saja media malah peminat pun dah jadi macam paparazi. Teman lelaki saya sekarang orang biasa yang ada kerjaya. Saya mahukan lelaki yang matang, bertanggungjawab dan sentiasa berusaha memperbaiki diri demi masa depan.
“Hubungan kami tenang kerana apabila dia bukan orang terkenal, tiada siapa yang akan mencari dan mengorek ceritanya. Sebab lain saya tidak mahu lagi menjaja cerita cinta, kerana kalau tak jadi, saya juga yang malu,” katanya.
Perkembangan lain, Dayana juga sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan menjual produk spray rambut dan bercadang mencuba bisnes makanan.
“Saya sedangkan fikirkan  satu produk yang boleh dinikmati secara santai seperti berniaga di kiosk. Konsepnya lebih kepada lepak-lepak dengan menyediakan satu minuman khusus dengan dua tiga menu yang ringan-ringan saja,” katanya.
 
 
Comments



Back to top