Rojak Daily Logo

Siapakah 10 Artis Ini Sebelum Bergelar Bintang?

0
comments
Siapakah 10 Artis Ini Sebelum Bergelar Bintang?
Images: Kamal Adli, Astro, & Jihan Muse
Kehidupan para selebriti di Malaysia sebelum mengecapi populariti dan kemahsyuran sebenarnya sama seperti kita semua. Mereka manusia biasa yang bekerja demi mencari sesuap nasi untuk menyara diri dan keluarga. Tidak semua perjalanan mereka semudah yang kita sangka. Ada yang bersusah payah sehingga terpaksa mengutip tin untuk menyara diri da nada jugak yang sanggup meredah hujan, panas dan ribut demi menyiapkan tugasan diberi. Rojak Daily berjaya mendapatkan temu bual bersama beberapa orang artis Malaysia untuk mengetahui kerjaya dan kehidupan mereka sebelum bergelar seorang artis.

Sepahtu

Gambar: Sinar FM
Jep: Kerja terakhir saya adalah bersama Air Asia selama tiga tahun. Kalau saya jadi steward (pramugara) nanti orang tanya “ni naik kapal ke feri” sebab tu saya tak jadi steward, saya jadi pengangkat beg. Sebelum tu saya bekerja di New Straits Times sebagai machine cleaner dan sebelum tu lagi saya pernah menjual kasut. Tapi, antara benda paling susah yang saya pernah lalui adalah apabila saya sampai ke satu tahap di mana saya mengumpul tin dan kemudian menjualnya. Selain itu, saya pernah juga memasukkan pamphlet ke dalam sampul surat dengan bayaran hanya RM0.01 sehelai.

Jika saya tidak menjadi seorang pelawak, sudah tentunya cita-cita saya adalah untuk menjadi pemain bola sepak professional sepenuh masa. Saya menyimpan hasrat untuk bermain dengan kelab negeri kelahiran saya iaitu JDT. Kalau pada level international pula, saya nak bermain dengan Real Madrid sebab ada Cristiano Ronaldo!

Rahim: Sebelum menyertai Raja Lawak, saya adalah seorang pekerja kilang Panasonic. Saya bekerja di situ dari seorang operator sehingga berjaya memegang jawatan supervisor. Selain itu, saya pernah memegang suatu jawatan ‘maut’ iaitu sebagai seorang tukang sapu sampah di sebuah warehouse. Saya ditugaskan untuk menyapu sampah di pintu utama di mana lori akan keluar masuk. Walaupun kerja itu agak merbahaya dan mencabar, saya rasa saya antara pekerja yang paling hebat sebab tak sempat sampah jatuh ke simen, saya kutip dulu. Haha.

Pengalaman pahit saya pula, saya telah pergi ke ujibakat Raja Lawak sebanyak 3-4 kali tapi tak lepas. Akhirnya pada musim kelima saya berjaya hingga ke final. Tetapi ada satu benda yang saya kesalkan adalah adik saya tidak bersama saya hari ini. Mungkin rezekinya di tempat lain.

Hari ini, saya adalah seorang announcer radio untuk Sinar FM. Menjadi announcer radio ni adalah suatu pekerjaan yang paling seronok yang pernah saya buat sepanjang hidup saya. Saya digabungkan dengan dua orang rakan yang sangat serasi dengan saya iaitu Jep dan Syuib. Kalau korang nak tahu, kerja DJ ni antara pekerjaan yang saya paling tak sabar nak pergi kerja. Masa kerja kilang pula, saya ni antara pekerja yang paling tinggi MC. Hahaha!

Shuib: Sama seperti Jep, saya pernah menyandang tugas sebagai pengangkat beg di Air Asia. Jep lah yang mengajak saya bekerja bersamanya. Sebelum tu saya juga pernah bekerja di kilang seperti Rahim, tapi kilang lain lah, di Pulau Pinang. Pengalaman bekerja di kilang boleh dikatakan yang paling teruk yang saya pernah lalui dalam hidup saya kerana saya pernah bekerja selama 12 jam dan hanya mendapat bayaran sebanyak RM16 sahaja. 

Dulu pernah jugak pergi ke uji bakat Akademi Fantasia selama beberapa musim bersama Jep untuk menjadi artis. Tapi mungkin rezeki kami bukan di bidang nyanyian, saya dan Jep akhirnya memutuskan untuk menubuhkan kumpulan Sepah bersama Mamat dan hadir ke uji bakat Raja Lawak pada tahun 2009. The rest is history.

Hisyam Hamid

Gambar: Forum Cari
Di Singapura dulu, saya adalah seorang anggota bomba sepenuh masa. Sekiranya saya tidak menjadi pelakon, saya akan tetap meneruskan kerjaya saya sebagai seorang ahli bomba melawan api dan menyelamatkan orang.

Sebenarnya cita-cita saya bukanlah menjadi seorang anggota bomba tetapi saya teringin sangat menjadi polis. Apabila saya menerima surat untuk National Service, saya telah dipilh untuk menyertai program bomba. Saya agak kecewa pada mulanya tetapi selepas dah melalui pengalaman training sebagai seorang ahli bomba, rasa seronok pula. Lebih-lebih lagi apabila kami berjaya memadamkan api, selamatkan orang ataupun kucing sekalipun dapat memberikan suatu kepuasan kepada diri saya. It’s a very cool-feeling job.

Pengalaman paling sukar adalah semasa bekerja sebagai seorang pegawai bomba saya juga adalah seorang pelajar separuh masa. Pada waktu yang sama juga, isteri saya sedang sarat mengandung dan menunggu waktu untuk bersalin. Jadi pengalaman yang memang sukar dilupakan adalah sewaktu jangka masa ini, saya memang perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya, belajar dan keluarga. Alhamdulillah, kerjasama antara saya dan isteri dan juga sokongan dari keluarga, saya berjaya melalui fasa itu.

Kamal Adli

Gambar: mynewshub
Sebelum saya menjadi seorang pelakon saya sepatutnya menjadi Power Rangers. Haha. Takdelah, sebenarnya saya adalah seorang pelajar dalam bidang penyiaran dan juga model sambilan. Sebenarnya saya bercita-cita untuk belajar dalam bidang bisnes tapi tak lepas jadi saya terpaksa belajar broadcasting. Pada mulanya niat saya ingin bekerja di belakang tabir tapi tak sangka pula saya sesuai bekerja di hadapan kamera. Alhamdulillah rezeki saya di situ.

Antara pengalaman pahit pada awal karier saya adalah apabila ditipu dua kali oleh produser filem. Saya dah block date setahun demi menumpukan perhatian pada filem tersebut dan hanya mengambil job-job kecil untuk memastikan saya dapat memberikan komitmen yang penuh pada filem tersebut. Pada tahun berikutnya saya ingat dah takde dah benda macam ni, tapi benda sama nak jadi dan saya pun pasrah je lah. Yang paling kecewanya, saya dah membuat pelbagai persiapan dari segi membina badan, mempelajari seni mempertahankan diri dan juga diet kerana ianya sebuah filem aksi. Bayangkan perasaan saya selama setahun tu.

Nabil Ahmad

 

Hmmmm 😊 #tb#hint#faham2ye

A photo posted by Nabilzira (@nabilzira) on


Siapa yang tidak mengenali Nabil Ahmad? Hos dan pelawak popular ini mula mengukir namanya di negara kita setelah menjuarai program pencarian bakat Raja Lawak pada tahun 2008. Anak jati Negeri Sembilan ini telah membintangi beberapa filem dan drama tempatan namun namanya lebih menyerlah dalam bidang pengacaraan. Beliau kini merupakan pengacara bagi program MeleTOP bersama Neelofa dan juga penyampai radio ERA. Nabil telah melangsungkan perkahwinannya dengan bekas pramugari, Nazirah Ayub pada tahun 2011 dan telah dikurniakan dua orang cahaya mata. 

Sebelum Nabil bergelar seorang artis, kehidupannya tidaklah begitu senang. Lima tahun sebelum kemunuculannya di pentas Raja Lawak, Nabil bekerja sebagai dispatch untuk servis kurier GDex dengan gaji sebanyak RM600. Pelbagai pengalaman yang telah dikumpul sepanjang bergelar Mat Dispatch. Selain itu, beliau juga pernah mengambil upah membasuh pinggan di belakang restoran dan juga melakukan dua hingga ke tiga kerja sehari untuk mencari duit poket lebih. Jika Nabil bukan seorang pelawak seperti hari ini, kemungkinan besar beliau akan berusaha untuk menjadi Pengurus Cawangan syarikat dispatch yang beliau pernah berkhidmat dengan.

Jihan Muse

Gambar: InTrend
Gadis yang berasal dari Hulu Langat ini berjaya mencipta rekod dan memecahkan stigma bahawa perempuan tidak pandai melawak apabila berjaya meraih tempat kedua dalam program Raja Lawak pada tahun 2009. Sejak kebelakangan ini, nama Jihan makin menyinar dalam industri seni negara kita lebih-lebih lagi semasa mengacarakan program televisyen hiburan popular, GegarVaganza. Jadi siapakah Jihan sebelum bergelar bintang? Jangan terkejut, beliau sebenarnya bekas penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Walaupun beliau telah menyandang tempat kedua menerusi program Raja Lawak, beliau masih meneruskan tugasnya sebagai penguatkuasa MBSA dan akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2011 demi menumpukan perhatian pada karier seninya.

Kumpulan Zero

Gambar: Malaysia Gazette
Ahli kumpulan Zero terdiri daripada tiga orang adik beradik iaitu Atu, Sharif dan Syaiful. Tiga beradik yang berasal dari Kudat, Sabah ini merupakan anak kepada seorang nelayan dan suri rumah. Mereka melalui kehidupan sebagai ‘anak laut’ sebelum bergelar artis. Nasib mereka mula berubah setelah menyertai Raja Lawak pada tahun 2012 dan kemudiannya menjuarai Maharaja Lawak Mega pada tahun 2014.

Syaiful: Syaiful telah mengambil keputusan untuk berhenti sekolah semasa tingkatan satu untuk membantu bapanya menyara keluarga. Beliau bekerja sebagai pekerja kantin di sebuah sekolah dengan gaji RM82 (paling tinggi). Selepas puas bekerja sebagai pembantu kantin, beliau berhenti untuk menjadi nelayan. Selepas itu, beliau mengambil keputusan untuk bekerja di KFC dengan gaji RM400 sebulan.

Atu: Kisah Atu pula, beliau telah turun ke laut sejak berumur enam tahun. Dari kecil sehingga tingkatan lima, Atu banyak membantu ibunya menjual ikan hasil tangkapan bapanya dari rumah ke rumah dengan harga RM2 - RM3 sepinggan bergantung kepada jenis ikan. Semasa umurnya 13 tahun, beliau pernah bekerja sebagai buruh binaan. Beliau mendapat upah RM5 – RM10 sejam untuk mengangkat pasir dan membancuh simen. 

Sharif : Sharif juga telah mengumpul pelbagai pengalaman melalui bermacam jenis pekerjaan sebelum menyertai Raja Lawak. Dia pernah bekerja sebagai pembasuh pinggan di restoran dan juga kerap kali mengikut arwah bapanya ke pasar untuk menyaring hasil tangkapan, menimbang ikan, dan menjualnya. Bukan sahaja itu, beliau juga pernah menjadi caddy di Kelab Golf Kudat.

Kisah Zero ini boleh dijadikan inspirasi buat kita semua kerana mereka sememangnya from Zero to Hero! Kisah-kisah artis yang lain juga boleh dijadikan contoh dan pembakar semangat kepada kita semua kerana ianya terbukti bahawa mereka juga manusia biasa seperti kita yang melalui perjalanan tersendiri untuk mencapai cita-cita dan impian mereka.

Kredit temu bual bersama Shuib, Nabil, Jihan, dan kumpulan Zero: InTrend.
 
 
Comments