Rojak Daily Logo

3 Pelakon Popular Malaysia Ini Super Berbakat

0
comments
3 Pelakon Popular Malaysia Ini Super Berbakat
Pelakon popular Malaysia. (Gambar: Glam dan Glam Lelaki)

Bergelar seorang pelakon memerlukan bakat yang mantap. Menempa populariti atas dasar mutu lakonan pastinya memberikan kepuasan kepada seseorang pelakon. Namun, tidak semua populariti boleh dikejar dengan hanya bersandarkan bakat. Tiga pelakon super popular ini membuktikan walaupun hanya berlakon pada kadar biasa, anda masih mampu meraih jutaan peminat sekaligus jutaan ringgit.

1) Nora Danish

Gambar: InTrend

Mula menapak dalam industri hiburan sebagai pelakon, Nora Danish melangkah setapak demi setapak menuju ke puncak populariti. Berbekalkan wajah yang comel, Nora Danish dilihat menjadi buruan pembikin filem dan semakin laris setelah bernaung di bawah pengurusan MIG. Sejujurnya, masih belum ada lakonan Nora Danish yang berkesan sehingga mampu melekat dalam ingatan ini. Jika ditanya pada seorang peminat drama tempatan, watak Nora yang paling diingati adalah Puteri Fara Nordin menerusi drama bersiri Puteri. Lakonan Nora masih belum mencapai tahap terbaik dan boleh dibanggakan. Namun itu tidak menghalang populariti Nora Danish untuk mekar mewangi. Tidak putus-putus filem lakonannya di wayang dimainkan, Nora sedikit sebanyak dilihat memperbaiki mutu lakonannya. Pernah memenangi beberapa anugerah seperti Hot Chick Award, Nora masih belum memenangi sebarang anugerah lakonan dan dia perlu membuktikan lakonannya berada di tahap terbaik. 

 

 

Gambar: glam.my

Dengan hampir 3.6 juta pengikut di Instagram, dia semakin menempa nama bukan dari bidang lakonan. Kisah peribadinya turut meyumbang kepada populariti Nora. Daripada kes penceraian kepada kisah percintaan, ia sedikit sebanyak menjulang nama Nora dan menjadi rebutan jejaka diluar sana dan hatinya kini telah dimiliki. Otak geliga Nora membuatkan dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan kelihatan semakin berkembang maju. Mempunyai kedai kopi dan jenama pakaian dan hijab tersendiri serta hebat bergelar duta produk, Nora Danish jelas membuktikan populariti boleh diraih dan anda hanya perlu bijak mencarinya.

 

Filem/telefilem :

Gila-Gila Pengantin Popular, Senario: Pemburu Emas Yamashita, Jangan Pandang Belakang 2, Cuti-Cuti Cinta, Seru, Aku Terima Nikahnya, Lagenda Budak Hostel, Mencari Cinta, 2 Kalimah, BenCinta, Pengantin Malam, Anak Jantan, Gudang Kubur, Hantu Bungkus Ikat Tepi, Suami Aku Ustaz, Suamiku Jatuh Dari Langit, Polis EVO, Poyo, Celak Pak Andam, Jujur Aku Dayus, Di Bawah Langitmu dan Cikgu Timah Sekolah Bandar.

Drama: 

Puteri, Pendekar 5, Gadis Cuci 1, Sumpah Bunian, Tiga Serumah 1 dan 2, Arjuna, Putera Katak, Ana Lu’lu, Khurafat The Series, Tentang Dhia dan Ariana Mikhail.

2) Rozita Che Wan

Gambar: InTrend

Rozita Che Wan mungkin lebih dikenali menerusi kisah peribadi dan gosip murahan terhadap dirinya berbanding hasil lakonannya sendiri. Wanita berusia 43 tahun ini cukup terkenal dengan siri komedi Kiah Pekasam yang berjaya meletakkannya sebagai salah seornag pelakon komedi wanita. Biarpun terkenal dengan watak-watak komedi, Che Ta pernah menerima pencalonan Pelakon TV Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu TV Wanita Terbaik di Anugerah Skrin untuk lakonan yang serius menerusi drama Masih Ada Harapan dan Wasiat Fitrah. Dek kerana lebih banyak menempa populariti daripada cerita panas dirinya, lakonannya juga dilihat agak tenggelam dan kurang menyerlah. 

Gambar: Youtube

Menggunakan pelbagai kebolehan yang ada pada dirinya, Rozita kini semakin menempa nama sebagai ahli perniagaan dan duta produk. Dengan syarikat produksi, hijab dan kini mempunyai wangian tersendiri, Che Ta bijak mencari peluang untuk membuatkan namanya terus berada di puncak dan ia tidak datang menerusi bakat lakonannya. Tidak hanya itu, permata Che Ta dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana turut membawa tuah pada pasangan ini. Apa yang pasti, Che Ta kini boleh ucapkan selamat tinggal pada bidang lakonannya yang agak suram dan teruskan usahanya dalam bidang perniagaan. 


Filem/telefilem: 

Cinta Terhalang, Relung Kasih, Aku Bukan Buaya, Wasiat Fitrah, Masih Ada Harapan, Madu, Dunia Baru The Movie, Madu 4, Misteri Balan-Balan dan Adik Manja Returns.

Drama: 

Diari Ramadan Rafique, Kiah Pekasam, Iparku Diva, Miss Octopus, Sesuci Cinta Sofiya, Jelatang, Manjalara, Susuk 2 dan Ummu Hani.

3) Scha Al-Yahya

 

Gambar: Men's Health

Nama Scha Alyahya cukup dikenali selepas dia memenangi pertandingan Dewi Remaja dan terus mendapat pass ekspres untuk bergelar pelakon. Mula membintangi drama siri dan juga beberapa filem, dia semakin mendapat tempat selepas membawa watak Dania dalam siri Awan Dania dan boleh dikatakan, itu sahaja watak Scha yang diingati. Namun pujian harus diberikan kepada Scha kerana dia dikenali dengan kebolehannya berlakon walaupun agak kurang impak dan bukan kerana cerita-cerita panas dan bersifat peribadi. Walaubagaimana pun, Scha turut pernah dicalonkan di dalam kategori Pelakon Wanita Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia.

 

Gambar: Instagram

Bergelar seorang ibu kini, Scha dilihat agak menyepi dalam bidang lakonan sehinggalah muncul di dalam sebuah drama bersiri di Astro baru-baru ini. Lebih sibuk bergelar pengacara dan duta produk, nama Scha semakin popular. Ditambah dengan buah hati pertamanya, Lara Alana, Scha semakin popular dengan sisinya yang berbeza sebelum mula-mula menceburkan diri dalam industri hiburan. Lebih gemar berkongsi kisah santai, keluarga dan gaya hidup di laman sosialnya, ternyata Scha memberikan inspirasi buat ibu muda diluar sana dengan citarasa dan gayanya yang hebat. 

 

Filem/telefilem

Antoofighter, Histeria, Papadom, Dimensi Cinta, Evolusi KL Drift 2, Libas, Aku Bukan Tomboy, Awan Dania The Movie, Papadom 2, Dampak, Terlalu Istimewa, Naik Hantu, Lemas Dalam Cinta, Prebet Jamilah, Geisha Melayu Terakhir, Prebet Jamilah 2, Cikgu Timah Tukar Sekolah dan Sweet Lola

Drama: 

Impian Illyana, Honeyz, Sadiq & Co, Luna Fantasiku, Awan Dania 1,2 3, Bella, Chef Jo, K.I.T.A Carefree, Dunia Kita, Mimi Mencari Cinta, Kelaaas Kau Maria, Jodoh, 3 Campur 2, Isteri  vs Tunang

 
 
Comments