Road To 200 Million - Kualiti Filem Lebih Penting Daripada Kuantiti

Munafik 2, Hantu Kak Limah, PASKAL, Polis Evo 2 dan Dukun!


  • Share:

Road To 200 Million - Kualiti Filem Lebih Penting Daripada Kuantiti

Tahun 2018 menyaksikan perkembangan yang hebat buat industri perfileman Malaysia.

 

Lihat sahaja pada filem-filem pecah panggung yang mendapat sambutan hangat peminat tempatan. Filem "Munafik 2" berjaya mengutip sebanyak RM43 juta, "Hantu Kak Limah" cemerlang dengan RM38 juta, "PASKAL The Movie" meraih RM30 juta diikuti filem "Dukun" dengan kutipan RM12 juta.

 Paskal cemerlang dengan RM30 juta.

Sehingga November 2018 ini sahaja, kutipan filem-filem tempatan sudah mencecah RM150 juta dan ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi industri filem tempatan.

 

Bagi penutup tahun 2018 ini juga menyaksikan filem tempatan "Polis Evo 2" antara yang terakhir berada di pawagam. Mampukah filem ini meletakkan kutipan filem tempatan mencecah RM200 juta?

 Dijangka dapat mengutip RM50 juta.

Berkesempatan menyertai siri jelajah Polis Evo 2 di Kuantan baru-baru ini, kami berpeluang bertanyakan perkara ini kepada teraju utama Polis Evo 2, Shaheizy Sam tentang mampukah industri filem negara mencapai sasaran RM200 juta menjelang Disember 2018.

 

Bagi Sam yang memegang watak sebagai Inspektor Khai, dia optimistik yang #RoadTo200Mil boleh dicapai.

 Teraju utama Polis Evo 2.

Menurut Sam, "alhamdulillah, tahun ini ibarat penanda aras yang baik buat industri filem tempatan apabila banyak filem yang berjaya tahun ini, maka makin banyaklah pembikin filem yang akan menghasilkan filem yang bagus."

 

"Untuk mencapai sasaran yang tinggi, tidak semestinya kita perlu buat berpuluh filem setahun. Ia boleh jadi beberapa filem sahaja tetapi nilai yang dibawa itu tinggi dan menepati citarasa penonton", kata Sam.

 Serlahkan kualiti berbanding kuantiti.

Amat bersetuju dengan kempen #RoadTo200Mil yang dijangka boleh dicapai sehingga penghujung 2018, industri filem yang sihat tahun ini layak dijadikan contoh bukan sahaja untuk pembikin filem malah turun hingga ke penonton.

 

Ramai perlu buka mata bahawa kita perlukan kualiti berbanding kuantiti. Tambah Sam lagi, "cukuplah dengan filem yang sedikit tetapi mesej dan nilai yang dibawa memberi impak. Seandainya kita capai kutipan 200 juta tahun ini, ia membuka mata ramai produser filem untuk bangkit menghasilkan filem yang berkualiti.

 Sam, Zizan dan Hasnul bersama peminat di Kuantan.

"Kita dah tak boleh buat filem 'satu filem bajet satu juta'. Pembikin filem memang perlu laburkan wang kerana lebih banyak wang yang diperuntukkan untuk sesuatu filem itu, hasilnya akan lebih baik", ujar Sam.

 

Tidak menyalahkan penonton yang lebih gemarkan filem luar, buatlah berpuluh filem setahun pun jika tidak kena dengan citarasa, tidak sampai mesejnya kepada penonton, filem itu mungkin terperap dan berlalu pergi begitu sahaja di pawagam.

 Sokong filem tempatan!

Filem-filem tahun ini seperti "PASKAL The Movie", "Hantu Kak Limah", "Munafik 2", "Dukun" mahupun "Polis Evo 2" sendiri diharap dapat membuka mata para pembikin filem bahawa ia bukanlah setakat kuantiti filem yang dikeluarkan tetapi, seberapa banyak usaha yang diletakkan dalam sesuatu filem itu yang diambil kira. Harapan Sam agar semangat ini berterusan untuk tahun-tahun akan datang.

 

Polis Evo 2 telah berada di pawagam dan ia mengisahkan sekumpulan pengganas menyerang sebuah pulau terpencil di pantai timur dan penglibatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani dalam sebuah misi menyelamatkan penduduk kampung tersebut.

 

Buat anda yang masih belum menonton Polis Evo 2, baca review kami di sini dan ayuh tutup tahun 2018 anda dengan menonton filem aksi yang mendapat pujian ramai. Pasti tak menyesal!

 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top