'The Possession Of Hannah Grace' - Inilah Risiko Menjadi Pengurus Rumah Mayat

  • Share:

'The Possession Of Hannah Grace' - Inilah Risiko Menjadi Pengurus Rumah Mayat

Kami tabik spring kepada semua pekerja rumah mayat. Tak semua orang mampu menjadi warga kerja rumah mayat. Hanya yang berani dan berjiwa kental sahaja layak mengisi jawatan ini. Lebih hebat, bekerja pada shift malam.

 

Mengapa kami sebut tentang penjaga rumah mayat? Inilah intipati utama bagi filem Hollywood terbaru, 'The Possession Of Hannah Grace' (TPOHG), sebuah filem seram yang bakal menerjah pawagam pada 29 November ini.

 

Berkesempatan menonton filem ini minggu lalu, apa yang boleh kami simpulkan, pekerja rumah mayat merupakan satu pekerjaan yang mulia. Mereka menguruskan mayat dari awal sehingga akhir dan tabah berdepan dengan sebarang peristiwa mistik.

 

Jalan Cerita

Mayat Hannah Grace.

Jika filem Khurafat dulu turut mengetengahkan kerjaya pegurus rumah mayat, itu jugalah yang dipaparkan dalam TPOHG.

 

Kisah seorang bekas polis, Megan Reed (Shay Mitchell) yang mengalami satu peristiwa hitam serta berdepan dengan masalah ketagihan ingin memulakan hidup baru dan memilih kerjaya sebagai pengurus rumah mayat.

 

Hari-hari normalnya bertukar seram apabila terpaksa berdepan dengan sekujur mayat gadis bernama Hannah Grace yang dirasuk syaitan. Kejadian diganggu syaitan ini cukup membuatkan kami tak senang duduk.

 

Malam Megan terasa begitu panjang kerana syaitan itu membunuh setiap manusia yang ada untuk penyembuhan dirinya. Jalan cerita segar, filem arahan Diederik Van Rooijen ini boleh dihadam dengan mudah tanpa adegan serabut.

 

Watak

Megan, selaku penjaga bilik mayat.

Lakonan mantap dan penuh emosi daripada Shay Mitchell, yang turut membintangi siri kegemaran ramai, Pretty Little Liars. Filem ini tidak memerlukan ramai pelakon, cukup hanya sepuluh pelakon untuk membawakan naskah seram ini ke tahap yang seterusnya.

 

Watak Hannah Grace lakonan Kirby Johnson juga tidak menghampakan. Kezaliman jasadnya yang dirasuk syaitan itu membuatkan kami geram. Patutlah filem ini menggunakan tagline 'death is only the beginning' kerana luaran sahaja nampak mati, dalamnya penuh dendam kesumat.

 

Kekuatan skrip dan penghayatan yang ditunjukkan menambah seram kami yang di dalam panggung. Patutlah filem ini diberikan rating 8.3/10 di IMDb.

 

Faktor ketakutan

Dirasuk syaitan.

Ada beberapa ketika kami tutup mata dan menjerit apabila adegan seram ditonjolkan. Sunyinya bilik mayat di hospital tersebut sudah membuatkan bulu roma meremang apatah lagi Megan bekerja pada shift malam, seorang diri.

 

Apabila ada mayat yang dihantar, antara proses yang perlu dilakukan sebelum meletakkan mayat tersebut dalam peti adalah mengambil gambar keadaan mayat seperti luka dan kesan jenayah. Kemudian cap jari perlu diambil untuk mengenalpasti mayat tersebut.

 

Ruang bilik mayat yang canggih juga tidak membantu. Gunalah sehebat manapun teknologi, lampu hanya hidup dengan adanya pergerakan manusia dengan level nyalaan di skala satu. Jadi bayangkan kalau Megan berada di mejanya dan lampu di persekitaran bilik mayat menyala? Tak ke melompat?

 

Berapa bintang kami beri? 3/5!

Secara keselurhannya, filem TPOHG menghiburkan dan memberikan gambaran tentang kerjaya sebagai pekerja bilik mayat.

Beri gaji RM10,000 pun belum tentu kami sanggup menerima jawatan itu. Kepada semua pekerja bilik mayat, anda memang hebat.

Tonton 'The Possession Of Hannah Grace', bermula 29 November di pawagam berhampiran anda!

 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top