[REVIEW] Lima Sebab Mengapa Polis Evo 2 Filem Paling 'Badass' Tahun Ini!

  • Share:

[REVIEW] Lima Sebab Mengapa Polis Evo 2 Filem Paling 'Badass' Tahun Ini!
Tahun ini menyaksikan perkembangan yang amat positif dalam industri perfileman Malaysia. Satu persatu filem berkualiti dilontarkan kepada penonton.

Dukun, Hantu Kak Limah, Munafik 2 dan PASKAL The Movie bagi pendapat saya antara yang paling menyerlah tahun ini. Apa yang pastinya kehadiran filem sebegini tidak terhenti setakat di situ sebaliknya penonton sekali lagi dihidangkan dengan karya hebat iaitu Polis Evo 2 (PE2)

Jika diimbas kembali Polis Evo yang pertama, boleh saya katakan ia antara filem yang cukup sifatnya. Tidak kiralah dari segi komedi, aksi mahupun emosi, semuanya diterjemahkan dengan cukup rencah.

Masih terngiang-ngiang gandingan hebat Zizan Razak bersama Shaheizy Sam serta runut bunyi yang masih kekal hingga sekarang. 

Persoalannya, adakah filem PE2 ini mampu menandingi karya pertama? Kami ringkaskan 5 sebab mengapa ia mampu menjadi filem terbaik tahun ini.

1.  JALAN CERITA LEBIH 'BERAT' TETAPI TIDAK MELERET


Sejujurnya naskah kali ini tidaklah mudah untuk 'dihadam' berbanding filem pertamanya. Namun begitu ia tidaklah terlalu complicated! Ia cukup untuk menjadi satu karya yang penuh pengisisan dan berbaloi untuk ditonton selama 2 jam 5 minit.

Secara ringkasnya PE2 mengisahkan Inspektor Sani dan Khai mengetuai misi keselamatan negara apabila sebuah pulau ditawan ektremis ajaran sesat. Misi kali ini jauh lebih mencabar kerana jumlah tebusan menjangkau 200 penduduk.

Mengapa saya kata ia lebih berat? 

Jika menyentuh kisah ekstremis ajaran sesat, maka ia bukanlah mudah untuk dihadam oleh sesetengah penonton. Sungguhpun begitu, filem ini padat dengan dialog-dialog yang membuatkan kita terfikir maksudnya. Daripada awal filem hinggalah pengakhiran babak. 

Antara dialog yang menarik perhatian saya adalah: 

“Kalau aku ahli neraka, kenapa tuhan takdirkan aku berdiri dan engkau melutut depan aku?” 

"Hanya darah dan daging memuaskan hati tuhan".

"Ada yang kita simpan, ada yang kita lepas"

2. AKSI JAUHHHHHH LEBIH HEBAT, TIDAK SENANG DUDUK BOH!


Jujurnya, selepas menonton Polis Evo pada 2015 dan PASKAL pada bulan lepas, jangkaan dan harapan saya pada PE2 amatlah tinggi. Risau sekiranya ia tidak memenuhi kepuasan maksima kerana PASKAL sudah meletakkan penanda aras yang tinggi.

Walau bagaimanapun, sebaik melihat babak pembukaan pada filem ini, saya sudah mampu menarik nafas lega. Melihat sinematografi pembukaan saja saya tahu PE2 bukan calang-calang dan bakal menjanjikan kepuasan. Hasilnya? Ternyata ia amat berbaloi.

Babak paling 'lit' bagi saya adalah ketika pengikut Hafsyam aka Saif menyerang penduduk pulau. Gabungan muzik latar yang menggerunkan serta efek asap yang mengelilingi perkampungan berjaya menaikkan bulu roma saya. Ia mengingatkan saya seperti filem The Purge!

Susunan babak ke babak yang lain serta plot juga kemas dan tidak memeningkan kepala. Dari segi aksi dan taktikal yang dipamerkan dalam filem ini juga, boleh saya katakan ia lebih baik daripada filem pertama. 

Kehadiran pasukan Unit Khas UKAP juga berjaya menambah aksi pertarungan menarik. Bayangkan hanya beberapa kerat anggota polis saja untuk melawan segerombolan ekstremis ajaran sesat! Selebihnya anda tontonlah sendiri nanti.

3. LAWAN INSPEKTOR SANI DAN KHAI BUKAN CALANG-CALANG!


Watak ketua dan pengikut ekstremis ajaran sesat bukan baru di layar perak, namun dalam PE2 ia dilihat lebih memberi impak terhadap emosi penonton. Geram, stres dan marah semua bercampur aduk melihat watak ketua ajaran Al-Minas, Hafsyam lakonan Hasnul Rahmat.

Kredit harus diberikan kepada Hasnul kerana membawa watak ini dengan penuh bersahaja. Mendengar nada suaranya saja sudah ‘annoying’.

Setiap bait dialog yang dilemparkan cukup untuk buat penonton ‘naik hantu’. Rasa geram dan cemas ini mengingatkan saya pada watak Bane dalam filem Batman The Dark Night Rises. 

4. LAKONAN ZIZAN RAZAK DAN SHAHEIZY SAM TINGGALKAN KESAN


Kedua-dua pelakon ini mungkin gandingan duo paling serasi pernah diterbitkan dalam filem Malaysia. Perbezaan karakter menjadikan mereka amat serasi di layar perak.

Dalam PE2 ini, penonton boleh melihat pembawakan emosi yang lebih daripada Zizan Razak. Masih kekal dengan lawak bersahaja hingga mencuit hati Mufti Wilayah, namun dalam pada masa sama emosi diterjemahkan pada watak Inspektor Sani juga boleh saya katakan menjadi.

Apa yang pasti jangan hairan jika ada penonton yang gelak ketika babak ini. Nak buat macam mana, Zizan kot! Tapi kalau nak lihat Zizan menangis bila lagi kan?

Shaheizy Sam pula tidak perlu dipertikaikan lah, sentiasa terbaik. Nampak gayanya kali ini Shaheizy Sam 'full throttle' menerusi watak Inspektor Khai. Ada satu babak Shaheizy dengan Zizan yang bakal membuatkan air mata anda berguguran! Tunggu!
 

5. PE2 BUKAN FILEM KOSONG, IA PENUH DENGAN MAKSUD DAN PENGISIAN TERSIRAT


Saya melihat apa mesej yang cuba disampaikan PE2 lebih besar daripada tanggapan oleh sebahagian netizen yang membuat andaian awal berdasarkan trailer awal filem ini. Tidak faham sebenarnya ada segelintir pihak yang mampu menilik keseluruhan jalan cerita hanya berdasarkan trailer!

Pada saya, permulaan filem ini saja sudah memberi mesej agama yang besar. Tidak kiralah sesibuk mana atau betapa tertekannya kerja, sebagai umat Islam sembahyang perlu dilunaskan. Ia dipaparkan apabila kesemua watak polis bersolat jemaah bersama.

Malah, pergolakan dalaman anggota polis untuk memilih nyawa sendiri atau nyawa orang awam juga diterjemahkan dengan baik. Nasihat Zizan kepada Mat Dan akan membuatkan anda berfikir seketika betapa besarnya risiko menjadi anggota polis.

So tak rugilah kalau bayar tiket tu boh!

EKSTRA: EFEK BUNYI YANG AMAT LIT!

Oh ya, tidak dilupakan jika anda menonton filem ini, jangan lupa pasangkan telinga besar-besar kerana efek bunyi PE2 memang cukup mantap. Ditambah pula dengan soundtrack, Sang Saka Biru yang gempak, memang terasa impaknya!
 

RUMUSAN


Tiada filem yang sempurna, namun kekurangan pada PE2 agak minima.

Terdapat beberapa adegan kelihatan sedikit draggy dan ending juga tidak cukup memberi impak yang besar. Runut bunyi sedih pada penghujung babak mungkin membantu, namun masih tidak cukup untuk meninggalkan kesan.

Bagaimanapun itu hanyalah pendapat peribadi saya kerana terdapat beberapa media menitiskan air mata di akhir tayangan. Ye lah hati manusia lain-lain kan!

Apapun, PE2 membuktikan hala tuju filem Malaysia kini berada di landasan yang betul. Malah PE2 membuktikan filem Malaysia sudah bersedia untuk belayar menembusi pasaran luar. Gabungan nusantara menunjukkan perkembangan maju dalam kerjasama antara negara jiran. 

Saya percaya di sebalik kontroversi ini, PE2 mampu mengangkat kejayaan seperti mana fenomena yang dihasilkan pada 2015 lalu. Dengan kualiti filem yang dihasilkan, tidak mustahil boh!

Rating Rojak Daily 4.5/5 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top