"Tiada Mesej Penghinaan Terhadap Islam" - Mufti Wilayah Beri Penjelasan Penuh Polis Evo 2

  • Share:

Filem Polis Evo 2 nampak gayanya telah menjadi 'buat mulut' ramai biarpun ia belum ditayangkan secara rasmi kepada umum. Ia berikutan trailer filem ini dikatakan menimbulkan fahaman dan kekeliruan masyarakat khususnya beragama Islam.
 
Namun, siapalah yang mampu memulihkan fahaman ini kalau bukan mufti kita sendiri, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


Mufti menerusi kenyataannya di Facebook rasminya tampil memberi penjelasan mengenai kegoncangan ini. Menurut beliau, Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad. 

Jelasnya, watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidak menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan pengganas atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis.
 
"Begitu juga, tidak ada langsung padanya ciri-ciri yang sering dibayangkan pada sosok pengganas atas nama agama dalam filem-filem Barat seperti berjambang, ucapan yang penuh dengan nukilan dalil, konsisten dengan ibadah dan lain-lain," katanya.
 
Selain daripada penjelasan berikut, Datuk Dr Zulkifli juga menyenaraikan beberapa pujian atau sisi positif di dalam filem ini.
 

#1 PENGIKTIRAFAN KEPADA WANITA 


Satu pengiktirafan kepada wanita apabila watak SACC Dato’ Azizat (Erra Fazira) memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan misi menumpaskan ajaran sesat. Watak polis, apatah lagi yang mengetuai misi-misi penting biasanya dimainkan oleh lelaki.

Namun, apa yang ditunjukkan oleh Polis Evo 2 adalah berbeza.
 

#2 PENDEDAHAN AURAT MINIMA


Pendedahan aurat dan juga ikhtilat yang sangat minima. Ini perkembangan baru yang sangat baik dalam filem tempatan. 
 

#3 SEMANGAT BERPASUKAN PDRM DAN PENJAGAAN SOLAT


Semangat berpasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan tanah air dan keamanan adalah mesej yang jelas dizahirkan.

Mereka juga digambarkan sebagai individu yang kuat pegangan agama dan mengutamakan solat berjemaah. Malah, SACC Dato’ Azizat juga seorang wanita yang lengkap bertudung dan berpakaian sopan serta menutup aurat.

RUMUSAN MUFTI


Secara umumnya, beliau berpandangan filem ini tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam. Sebaliknya lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

“Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan Syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

"Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem,” katanya.

PESANAN MUFTI


“Akhir kalam, bukanlah niat dan tugas kami untuk menapis semua filem-filem tanah air. Namun, ini dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanah air dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanahair.

"Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Semoga kenyataan ini meredakan ketegangan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia berkenaan Polis Evo 2.

"Kami pasti krew produksi Polis Evo 2 sudah melakukan yang terbaik. Ucapan penghargaan kepada YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh dan warga kerja ASTRO yang mengambil inisiatif ini," katanya.

Anda boleh lihat penjelasan penuh mengenai isu ini di sini.


Polis Evo 2 akan mula dipertontonkan menerusi tayangan awal di pawagam pilihan berhampiran bermula hari ini manakala di seluruh Malaysia bermula 22 November ini.

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top