Rojak Daily Logo
Back to top

Kisah Benar Pengkhianatan Kawan Baik - 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton 'Beddua'

Lebih seram dari Munafik 2.

0
comments
Kisah Benar Pengkhianatan Kawan Baik - 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton 'Beddua'
Foto: TGV

Memasuki bulan Oktober, sememangnya banyak filem seram keluar panggung. Salah satu filem seram yang bakal menghantui hidup anda bulan ini adalah Beddua: The Curse, filem seram dari negara Turki.

 

Jika anda meminati filem seram 'Sicchin', pastinya anda perlu menonton filem in kerana ia hasil pengarah yang sama iaitu Alper Mestci.

 Beddua, 4 Oktober di pawagam.

Berkesempatan menonton filem ini pada hari Selasa, boleh kami simpulkan Beddua: The Curse merupakan filem seram yang memberikan kepuasan maksimum pada penggemarnya.

 

Mula berada di pawagam bermula hari ini, kami sediakan lima sebab kenapa anda perlu menonton Beddua.

1. Jalan Cerita

Rakan baik mereka sendiri jadi hantu.

Jalan cerita Beddua mungkin tipikal dengan corak filem seram masa kini. Balas dendam, ilmu hitam dan pengkhianatan menjadi tunjang filem ini. Seawal setengah jam, filem ini berlalu agak perlahan namun ia tidak membuatkan anda bosan terlalu lama.

 

Jalan ceritanya mudah dan mustahil untuk anda tidak faham biarpun filem ini berbahasa Turki. Seakan-akan tekan minyak kereta, klimaksnya pasti akan membuatkan anda terkejut! Walaupun klise, jalan ceritanya masih releven dan segar dengan berpaksikan dendam kesumat sahabat baik.

2. Watak

Pelakon Turki yang menawan.

Kami tidak kenal satu pun pelakon dalam filem ini dan kami pasti anda juga. Namun setiap watak dibawakan dengan penuh penghayatan dan cukup baik. Kredit harus diberikan pada dua watak utama dalam filem ini, Beyzanur Mete (Melek) yang menjadi mangsa kerakusan dan dukun yang bernama Havel.

 

Tiga pelakon yang lain juga agak cemerlang dalam penghayatan masing-masing dalam membawakan watak yang diambil dari kisah sebenar ini.

3. Plot twist

Havel, dukun berpuaka.

Jangan hanya pandang luaran, isi dalaman lebih bermakna. Plot twist dalam filem ini boleh kami katakan, ternganga. Persoalan pertama yang terlintas di fikiran kami adalah serius la?! Jalan ceritanya terus bertukar 360 darjah.

 

Jika di awal cerita anda akan menyumpah dukun durjana yang menyusahkan hidup empat sahabat ini, tapi jangkaan anda akan meleset di akhir cerita. Plot twist yang sangat kreatif dan tak dijangka!

4. Faktor ketakutan

Ketakutan level 9999.

Kalau anda rasa Munafik 2 sudah cukup seram, tunggu bila anda tonton Beddua. Sesak nafas, menjerit sambil menutup mata dan elemen terkejut yang dihidangkan bertubi-tubi membuatkan anda tak senang duduk.

 

Benar kalau kami simpulkan, inilah hantu yang tak pernah rehat. Ada sahaja masa dia untuk mengacau empat sahabat ini. Solekan, kesan-kesan khas, kostum serta kesan bunyinya cukup memberikan anda rasa ngeri hingga duduk melekat di kerusi.

 

Anda tidak akan jangka bila kemunculan Havel dan hantu Melek akan tiba. Percayalah, ia akan datang di saat-saat tak terduga, bakal membuatkan anda melompat. Ibu mengandung, kanak-kanak dan pesakit jantung dinasihatkan untuk tidak menonton filem ini.

5. Nilai yang diangkat

Kawan makan kawan.

Setiap cerita pasti ada pengajaran dan mesej yang mahu disampaikan. Dalam Beddua, elemen setiakawan digarap cukup baik sehinggalah ia dirampas di akhir cerita. Kawan baik yang boleh kita harapkan, yang berikrar akan sehidup semati tidak selama-lamanya akan bersama kita.

 

Nilai kekeluargaan dan kasih sayang juga ditambah secukup rasa dan tidak seperti filem seram lain, mujurlah hantu tidak mengacau ahli keluarga yang tidak bersalah.

Berapa markah kami bagi untuk filem ini?

Keseluruhannya, kami beri markah empat dukun daripada lima dukun bagi filem Beddua: The Curse.

   

Filem ini mengisahkan empat sahabat, Melek, Burcu, Eda dan Ayla disumpah dan diganggu oleh seorang dukun yang bernama Havel.

 

Satu peristiwa misteri yang menimpa Melek menyebabkan rakan-rakannya yang lain turut menerima tempias tersebut. Malah mereka turut menuduh Havel adalah punca segalanya-galanya.

 

Pelbagai misteri terus melanda sehinggalah Melek tersedar sesuatu yang menjadi punca mengapa sumpahan tersebut terpalit pada mereka. Saksikan Beddua: The Curse di pawagam berhampiran anda bermula hari ini.

 
 
Comments