Rojak Daily Logo
Back to top

'Langsuir' VS 'Sebelum Iblis Menjemput' : Filem Mana Lebih Berbaloi Ditonton?

Kedua-dua filem akan berada di pawagam bermula esok.

0
comments
'Langsuir' VS 'Sebelum Iblis Menjemput' : Filem Mana Lebih Berbaloi Ditonton?

Selepas kemunculan filem seram komedi Hantu Kak Limah dan Munafik 2 di pawagam dua minggu lalu, dua lagi filem seram, Langsuir dan Sebelum Iblis Menjemput (SIM) bakal menemui penonton bermula esok.

 

Berkesempatan menghadiri tayangan perdana filem Langsuir dan Sebelum Iblis Menjemput dua hari berturut-turut minggu lalu, kedua-dua ini filem ini bakal menarik perhatian penggemar filem seram untuk ke pawagam.

 

Langsuir merupakan hasil garapan pengarah tersohor Osman Ali manakala SIM merupakan sebuah filem seram Indonesia yang diarahkan oleh sutradara Indonesia terkenal, Timo Tjahjanto.

 

Berdasarkan Langsuir dan SIM, ini teori kami mengenai filem ini berdasarkan lima kriteria - barisan pelakon, jalan cerita, faktor wow, faktor seram dan keaslian untuk melihat, filem mana yang lebih berbaloi untuk anda tonton.

 

1. Barisan Pelakon


Dua pelakon utama Langsuir.
Dua pelakon utama Sebelum Iblis Menjemput.

Filem Langsuir merupakan filem pertama bagi kedua-dua pelakon utamanya, Syafiq Kyle dan Hannah Delisha. Biarpun ada kemunculan Remy Ishak dan Amerul Affendi, kami berasa kecewa kerana kedua-duanya hanya muncul selama hampir dua minit di awal cerita sahaja. Hannah Delisha mungkin terlalu 'comel' untuk membawakan watak sebagai langsuir namun Syafiq Kyle dan dua pelakon pembantu yang lain agak cemerlang dalam membawakan watak masing-masing.

 

Bagi filem SIM, dua nama besar iaitu Chelsea Islan dan Pevita Pearce menyerlah dalam lakonan masing-masing. Chelsea yang sebelum ini cemerlang dalam filem Guru Bangsa: Tjokroaminoto, 3 Srikandi dan Ayat-Ayat Cinta 2, memberikan sisi lain bagi wajah jelita Chelsea. Bagi Pevita Pearce pula, ini filem seram pertamanya selepas filem-filem pecah panggung Indonesia seperti 5CM dan Tenggelamnya Kapak Ver Der Wijck. Lakonan watak seram Pevita ada kalanya agak canggung namun lakonan hantu oleh Karina Suwandi dan Ruth Marini berjaya menutup kekurangan itu.

 

Pemenang: Sebelum Iblis Menjemput

2. Jalan Cerita

Jalan cerita Langsuir agak klise.
Jalan cerita yang sedikit keliru.

Langsuir mengisahkan sekumpulan anak muda yang bercuti ke sebuah pulau yang menjadi tempat tinggal bagi hantu langsuir. Jalan cerita filem ini seperti agak ketinggalan, klise dan mudah dijangka buat peminat filem seram. Kegigihan dan kenakalan anak-anak muda ini untuk mencari langsuir demi 'keseronokan' mereka membuatkan kami agak terganggu. Cinta terhalang di antara manusia dan hantu menjadi intipati utama filem langsuir jadi kami sendiri tertanya apakah tujuan asal mereka untuk pergi bercuti atau mencari jodoh?

 

Filem SIM mengisahkan Alfie (Chelsea Islan) dengan sejarah keluarga yang suram. Setelah kematian misteri bapanya, membawa Alfie dan adik tirinya, Maya (Pevita Pearce) ke villa lama keluarga mereka dan terungkai sebuah rahsia hitam. Kisah tentang syirik dan khurafat sentiasa menjadi untuk sebuah filem seram. Kaya akibat pemujaan sehingga janji ditagih ke akhir hayat merupakan idea yang segar dan menarik perhatian. Plot twist dan pelbagai elemen khurafat di dalam filem ini boleh membuatkan anda sedikit keliru namun akhirnya bakal terjawab segala persoalan.

 

Pemenang: Sebelum Iblis Menjemput

3. Faktor Wow

Syafiq Kyle selaku pelakon utama.
Ruth Marini sebagai dukun.

Ada beberapa faktor wow dalam filem Langsuir yang menarik perhatian kami. Selain meletakkan dua nama pujaan ramai kini iaitu Syafiq Kyle dan Hannah Delisha sebagai teraju utama, keserasian antara kedua-dua pelakon itu sendiri seakan betul. Kedua-dua pelakon baru ini seperti tidak terlalu mencuba untuk saling jatuh cinta antara satu sama lain. Sinematografi filem ini boleh dipuji kerana setiap babak dipaparkan cukup baik. Lokasi penggambaran filem ini juga boleh memukau pandangan penonton. Siapa sangka ada pulau yang misteri tetapi cukup indah di Pulau Langkawi.

 

Bagi filem SIM, kemunculan dukun seawal 10 minit pertama pembukaan cerita sudah membuatkan kami ternanti-nanti apakah sebenarnya yang berlaku. Kemunculan dukun lakonan Ruth Marini seumpama gabungan Diana Dahlan dalam filem Dukun dan ibu dari filem Pengabdi Setan. Selain itu, solekan dan busana hantu-hantu dalam filem ini mampu beri anda mimpi ngeri bila tidur malam.

 

Pemenang: Langsuir dan Sebelum Iblis Menjemput. Kedua-dua filem seri dan punya keistimewaan masing-masing.

4. Faktor Seram

Langsuir lakonan Hannah Delisha.
Upacara syirik dalam filem SIM.

Langsuir yang cantik? Why not! Namun peranan Hannah Delisha agak kurang menyakinkan sebagai seekor hantu. Dari segi faktor ketakutan, filem Langsuir agak longgar kerana elemen percintaan lebih menonjol dari keseraman langsuir itu sendiri. Kemunculan Julia Farhana sebagai Dewi iaitu kakak kepada Hannah Delisha juga tidak membantu terutamanya apabila babak percakapan mereka berdua. Kami terdengar ada orang ketawa sepanjang diolog dua-beradik ini berlangsung. Ada beberapa babak seram namun ia tidak memberi tahap kepuasan seram maksimum yang diinginkan jika anda peminat filem seram.

 

Ada pendapat yang mengatakan filem SIM lebih seram daripada Pengabdi Setan. Betul, sepanjang filem ini hampir separuh babak buat kami tutup mata namun ia tidak menganggu fokus terhadap filem. Kemunculan hantu pada saat-saat yang tidak dijangka menaikkan mood seram anda ditambah dengan muzik background yang boleh menaikkan bulu roma, anda akan berasa sesak nafas terutamanya 30 minit yang terakhir. Namun ada beberapa babak seperti hantu dalam almari dan kemunculan hantu dari ruang bawah rumah seakan-akan sama dengan filem The Conjuring.  Biarpun sama, SIM padat aksi seram yang menakutkan!

 

Pemenang: Sebelum Iblis Menjemput

5. Keaslian

Langsuir agak goyah dari segi jalan cerita dan faktor seram.
Sebelum Iblis Menjemput boleh buat anda mimpi ngeri.

Kisah tentang sekumpulan anak-anak muda yang degil dan tidak mendengar kata apabila masuk ke tempat berhantu bukanlah baru dalam industri filem Malaysia. Pasti dalam kumpulan ini ada yang dianiaya dan ada juga watak jahat yang dibenci. Namun, elemen cinta terhalang antara manusia dan hantu dalam filem ini wajar dipuji kerana walaupun ia mustahil, ia membawa fantasi seolah-olah anda sedang menonton filem Twilight.

 

Elemen syirik, pemujaan dan perjanjian dengan syaitan juga sering kali digunakan dalam filem seram. Namun sejauh mana jalan cerita itu diolah supaya penonton tidak teringat pada filem-filem seram perjanjian syaitan lain antara yang menarik tentang filem ini. Saat Alfie dan Maya berlari ke dalam hujan untuk mencari rumah penduduk berdekatan antara babak yang paling menyeramkan. Dari situlah timbulnya plot twist yang bakal mengbongkar pelbagai kisah silam mereka.

 

Pemenang: Langsuir dan Sebelum Iblis Menjemput. Kedua-dua filem punya kekurangan dan keaslian tersendiri.

Jadi siapa pemenangnya?

Langsuir memperoleh 2 markah manakala SIM berjaya mendapat 5 markah. Untuk penggemar filem seram, filem Sebelum Iblis Menjemput berbaloi untuk anda tonton di pawagam.

Filem seram terbaru dari Indonesia.

Peminat Syafiq Kyle dan Hannah Delisha janganlah terlalu kecewa. Anda masih boleh pergi menonton filem Langsuir dan saksikan sendiri lakonan barisan pelakon-pelakon baru ini yang bakal menjadi pelapis dalam industri perfileman negara.

 

Langsuir dan Sebelum Iblis Menjemput bakal berada di pawagam seluruh Malaysia bermula 20 September ini.

 
 
Comments