CLOSE
CLOSE

Lemah Jantung, Nafas Sesak Dan Tegang Urat - Ini 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton Munafik 2

Menghantui anda pada 30 Ogos ini.


  • Share:

Lemah Jantung, Nafas Sesak Dan Tegang Urat - Ini 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton Munafik 2

Lupakan sebentar seramnya filem hantu Hollywood seperti The Conjuring, Insidious dan Annabelle kerana filem terbaru karya Syamsul Yusof bakal buat anda tak senang duduk dalam panggung wayang.

Ustaz Adam berdepan saingan handal.

Syamsul sekali lagi kembali dengan naskah bercorak seram dan penuh dengan perisian keagamaan dengan gaya persembahan yang lebih bertenaga dan bermotivasi.

 

Munafik 2 mengisahkan tragedi hitam yang melanda Ustaz Adam (Syamsul Yusof) yang meneruskan tanggungjawabnya membantu orang-orang yang terkena gangguan sihir/jin di serata tempat. Namun, saingan Ustaz Adam kali ini bukan calang-calang, Abuja, seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampungnya.

 Lakonan Maya Karin cemerlang.

Berkesempatan berada di malam gala Munafik 2 malam tadi bersama barisan pelakon antaranya Syamsul Yusof, Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Mawi, Dato' Rahim Razali dan Wani Panca (pelakon Indonesia), kami senaraikan lima sebab kenapa anda perlu serbu ke pawagam berhampiran untuk menonton Munafik 2, 30 Ogos ini.

1. Skrip/dialog dan terjemahan ayat Al-Quran

Dari Munafik pertama lagi, Syamsul memberikan dialog-dialog yang belum pernah kita tonton dalam filem seram Malaysia lain. Dalam Munafik 2 ini, pertembungan dengan sihir dan jin lebih dasyat membuatkan Ustaz Adam menggunakan seluruh tenaga dan ilmunya untuk menewaskan mahkluk halus itu.

 

Setiap bait-bait surah Al-Quran yang dilafazkan dan terjemahannya membuatkan kita terpegun dengan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Tidak hanya Syamsul, Mawi turut sama bergandingan melawan anasir jahat ini. Setiap dialog dan skripnya mendapat kelulusan Jakim, Syamsul turut merujuk kepada golongan ustaz agar apa yang nak disampaikan itu jelas dan tidak disalah tafsir.

 Kemunculan hantu yang tak dijangka.

2. Maya Karin

Maya Karin layak digelar ratu filem seram. Jika sebelum ini dia sinonim dikaitkan dengan watak Mariam dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, Maya Karin adalah pelakon wanita yang tepat untuk watak Sakinah, ibu yang menderita akibat perbuatan Abuja (Nasir Bilal Khan) kerana tidak mahu berpaling dari ajaran Allah.

 

Maya Karin tidak sesekali dibayangi watak Nabila Huda dalam Munafik yang pertama kerana Maya Karin mempunyai kekuatan dan jiwanya dalam menghayati watak. Bak kata Syamsul ketika ditemui seusai tamat tayangan filem semalam, "ketika proses menyunting, saya tidak perlu menambah kesan yang banyak pada suara Maya kerana deraman dan penyampaiannya cukup menyeramkan."

 

3. Sarat pengajaran

Menurut Syamsul Yusof, di dalam Al Quran, antara golongan yang paling teruk dikeji Allah SWT ialah ulama yang tidak amanah dan mengharapkan habuan dunia. Tema yang dibawa kali ini bertepatan dengan isu-isu penunggang agama yang sering terpampang di media massa. Selain pengajaran utamanya untuk menghindarkan manusia menjadi seorang yang munafik, filem ini turut mengadaptasikan beberapa kisah Nabi untuk tauladan bersama.

4. Seramnya lain macam

Mawi turut membantu Adam menentang golongan munafik.

Baik dari segi solekan, kesan khas dan 'kemunculan' hantu yang tidak terduga, seramnya berganda dari Munafik yang pertama. Setiap kemunculan ini membuatkan penonton melompat tak senang duduk dan menutup mata. Bagi watak Syaitan atau wanita misteri, pelakon Indonesia, Weni Panca memainkan peranannya dengan cemerlang sekali. Setiap kata-katanya untuk memesongkan akidah Ustaz Adam dalam bahasa Indonesia seolah-olah begitu nyata dan 'kemunculannya' cukup membuatkan penonton berdebar.

5. Nasir Bilal Khan

Keji, jahat dan munafik, itu tiga perkataan yang dapat menggambarkan watak Abuja, seorang ketua ajaran sesat yang dilakonkan oleh pelakon tersohor, Nasir Bilal Khan. Dari segi pemakaian, ekspresi muka dan lontaran suara begitu meninggalkan kesan pada penonton. Sebagai ketua ajaran sesat, Abuja akan membunuh siapa sahaja yang menentang ajarannya dan yang tidak mahu tunduk padanya.

 Abuja, ketua ajaran sesat.

Namun, anda pasti tidak berpuas hati dengan pengakhiran yang berlaku pada Abuja. Selayaknya dia patut dihukum dengan lebih dasyat lagi dan setimpal atas segala dosa-dosa yang dilakukannya. Hilang terus watak baik penggali kubur, Tok Adi gara-gara kejamnya Abuja.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top