Rojak Daily Logo

"Saya Tidak Malu Berlakon Kabali" - Rosyam Nor

0
comments
Rosyam Nor terbabit dalam beberapa adegan dalam filem Kabali termasuk satu adegan berlawan dengan Rajinikanth.

Setiap yang besar bermula daripada kecil. Begitu juga pendirian pelakon popular, Datuk Rosyam Nor apabila menerima banyak kritikan daripada peminat termasuk rakan artis sendiri yang menyatakan kekecewaan melihat aksinya menerusi filem terbaru, Kabali.

Rosyam yang lebih dikenali sebagai hero dalam kebanyakan filem dan drama tempatan yang pernah dilakonkannya hanya tampil dengan watak kecil dalam filem terbaru lakonan superstar Tamil, Rajinikanth. Baginya, beliau berpuas hati terhadap filem tersebut yang mengangkat Rajinikanth sebagai hero apatah lagi ditayangkan untuk pasaran antarabangsa.

”Filem ini menampilkan gaya Rajinikanth berbeza yang mungkin tiada dalam filem lakonannya sebelum ini. Malah, filem ini juga menarik kerana memainkan isu masyarakat India di Malaysia dan saya sendiri gembira apabila terbabit sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kabali | Rojak Daily
Rosyam positif menerima kritikan peminat terhadap lakonannya menerusi Kabali.

Menjawab komen produser, Mohd Noor Kadir seperti dilaporkan Rojak Daily Kaw! semalam (Filem Kabali Satu Penghinaan Pada Hero Malaya?), beliau positif terhadap lakonannya kali ini dan menganggap berlakon dalam filem luar negara seperti ini memberi peluang besar untuknya dikenali peminat secara global.

”Saya berterima kasih pada mereka yang memberi komen terhadap lakonan saya dan mereka tahu kemampuan saya dalam filem sepatutnya lebih besar. Namun, saya tidak malu terima watak kecil dalam filem ini kerana saya melihat Rajinikanth sendiri pada usia 66 tahun masih berlakon dan mengekalkan jenamanya,” katanya.

Kabali | Rojak Daily
Rosyam yakin lakonan kali ini memberi impak besar untuknya dikenali peminat antarabangsa.

Jelas Rosyam, beliau mengambil kesempatan berlakon filem ini untuk beberapa adegan termasuk satu adegan berlawan dengan Rajinikanth. Beliau percaya lakonannya kali ini memberi impak besar pada dirinya untuk dikenali di peringkat antarabangsa termasuk mendapat peminat baru dari India.

“Bekerja dengan superstar seperti Rajinikanth membuatkan saya teruja untuk kembali bekerjasama. Ini adalah peluang yang jarang pelakon lain di dunia dapat dan di India sendiri, ada pelakon yang mempunyai nama besar sanggup berlakon secara percuma.

“Meskipun dialog saya kurang tetapi selepas saya dikenali di Malaysia, Singapura dan Brunei, kini peluang saya untuk menempa nama di peringkat antarabangsa. Rajinikanth sendiri tidak kenal saya sebelum berlakon tetapi selepas filem ini, dia juga menyebut nama saya.

 

”Impak Kabali juga memberi rezeki pada saya apabila menerima satu lagi tawaran berlakon daripada pelakon Tamil, Siddharth untuk filem terbarunya berjudul The House Next Door. Ketika ini saya masih menunggu jadual penggambaran mereka dan saya berharap dapat merealisasikan filem baru ini,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran filem KL Special Force di Kuala Lumpur.

Kabali | Rojak Daily
Rosyam akui teruja berlakon di samping superstar Tamil, Rajinikanth. (Gambar: iamrosyam – Instagram)
Kabali | Rojak Daily
Kabali turut mengetangahkan isu masyarakat India di Malaysia.
 
 
Comments