Rojak Daily Logo

"Dakwaan Itu Semua Bohong Belaka" - Azrel

0
comments
Segala tuduhan dan dakwaan itu semuanya karut - Azrel
Seiring kejayaan dikecapinya kini, gossip mula melanda Azrel Ismail, 32,  apabila tercetus cerita kononnya dia bercinta dengan pelakon baru, Ruhainies, yang menjadi heroinnya dalam drama Menantu Ting Tong, yang sedang bersiaran di slot Dahlia, TV3.

Menepis segala dakwaan dan prasangka itu, Azrel menegaskan dia tidak bercinta dengan sesiapa.
“Semua itu bohong belaka, saya tidak bercinta dengan Ruhainies mahu pun dengan mana-mana gadis. Isu timbul timbul selepas ada yang bertanya saya mengenai Ruhainies dan tanggapan saya kepadanya dia seorang yang baik.

“Itulah peribadinya yang saya kenal ketika kami berlakon bersama dalam drama Menantu Ting Tong, lebih daripada itu saya tidak tahu ,” katanya.

 Ujar Azrel, gossip itu tidak menjejaskan perasaan dan rutin hariannya kerana dia bercakap benar.

“Tiada apa yang saya nak bimbangkan kerana saya bercakap benar dan tiada apa yang nak diselindungkan.

 “Jadual kerja saya sibuk sehingga Disember ini. Pada September ini, saya akan menjalani penggambaran filem berjudul Pulang di Liverpool, United Kingdom, terbitan GBSB ( Grand Brilliance Sdn  Bhd).


Beruntung banyak menerima tawaran berlakon di luar negara

 “Saya sudah dikira ‘terlewat’ menyertai dunia lakonan jadi saya tidak mahu membuang masa terbabit dalam sebarang perkara yang boleh menghalang impian saya,”  katanya.

 Jelas Azrel lagi, dia amat bertuah kerana ada saja tawaran berlakon di luar negara bermula dengan penggambaran drama Fajar Di Bhukara yang dirakamkan di Usbezkistan diikuti Gondola Cinta Di Venice (Venice dan Rom) dan Pulang pula memilih lokasi di Liverpool.

“Sambil bekerja dapat juga saya bercuti setahun sekali. Saya tak boleh juga ke luar negara selalu kerana akan terlepas peluang tawaran berlakon yang lain,” katanya.

Dalam usaha mengekalkan kedudukannya dalam industri, Azrel sentiasa menjaga disiplin dan menjaga hubungan baik dengan  orang sekeliling.

Dia juga jenis yang akan bangun awal pagi meskipun tiada penggambaran pada hari itu.  Azrel turut memastikan dirinya sentiasa cergas dengan bersenam dan  menjaga pemakanan.

“Saya tidak terlalu memaksa diri untuk berdiet dan tetap menikmati makanan kegemaran saya tetapi saya seimbangkan semula dengan senaman
.
“Selain itu saya ke salon untuk rawatan wajah kerana dalam industri hiburan, diri ini seperti satu produk.

“Peminat nak nampak yang bagus saja, lagipun setiap hari berlakon wajah saya disolek, disimbahi mentari dan cahaya lampu yang boleh menyebabkan kulit muka kusam,” katanya.
 
 
Comments